SHAH ALAM, 3 NOV : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penganjuran program 'Seksualiti Merdeka' yang hangat dipromosi beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) dan individu sebagai permulaan penghancuran terhadap kehidupan beragama.
Nik Aziz berkata dengan program yang mengiktiraf kecenderungan seks songsang - gay dan lesbian seperti ini harus ditentang dan dicegah.
"Jika hak asasi untuk melakukan homoseks dibenarkan, maka adakah akan timbul pula hak asasi untuk mencuri, hak asasi untuk merompak, membunuh dan pelbagai lagi jenayah yang disandarkan ke atas hak asasi?.
"Justeru, ia perlu dihalang dengan segala kemampuan yang ada," katanya.
Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya 'Queer Without Fear' berlangsung sejak 1 Nov hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.
Program yang kononnya berteraskan perjuangan hak asasi manusia(human right), menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.
Mengulas lanjut, Nik Aziz menerusi kenyataan medianya hari ini berkata bahawa Islam menjamin kemuliaan agama, nyawa, harta, akal dan keturunan daripada sebarang usaha yang mengakibatkan keruntuhan terhadap tamadun manusia.
"Sesungguhnya Islam tidak menyekat hak asasi manusia tetapi ia hendaklah selari dengan hak asasi Pencipta alam ini iaitu Allah SWT.
"Setiap akal waras manusia pasti akan menolak budaya ini untuk diamalkan dalam masyarakat,"katanya
Khuatir dengan perkembangan ini, Nik Aziz berharap pihak kerajaan bertindak segera dalam menangani gejala songsang seperti ini.
"Saya yakin kerajaan dengan segala kekuatan dan kuasa yang ada mampu bertindak terhadap penganjuran program sebegini tanpa menunggu desakan dari mana-mana pihak," katanya.TVS
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.