PETALING JAYA: Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, perlu segera dimansuhkan kerana ia dapat melahirkan generasi pelajar yang lebih berani dan bertanggungjawab pada masa hadapan, kata Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Abdul Aziz Bari.
Aziz berkata kerajaan perlu segera memansuhkan akta berkenaan kerana mahasiswa pada hari ini wajar diberi ruang untuk melihat arena politik semasa kerana ia dapat mengembangkan pemikiran mereka apabila keluar dari universiti kelak.
"Pelajar hari ini perlu diberi ruang untuk libatkan diri mereka dengan politik supaya dapat lahir generasi yang berfikiran terbuka mindanya sekali gus dapat memajukan negara pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata AUKU boleh dipinda atau dihapuskan sekiranya mahasiswa memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa 'digagahi' oleh pihak lain.
Muhyiddin dipetik sebagai berkata kerajaan memperkenalkan AUKU pada 1971 disebabkan oleh beberapa insiden, dan pengenalan akta itu ialah supaya pelajar dapat menumpukan sepenuh masa dalam pelajaran di universiti serta kolej dan tidak 'diganggu' dengan kegiatan luar.
Mengulas lanjut, Aziz berkata penguatkuasaan AUKU akan hanya melahirkan generasi yang berfikiran sempit.
"Negara kita tidak akan maju dengan generasi seperti ini, mereka menjadi jumud dan mengamalkan pemikiran sempit dan ia tidak akan memberi sebarang manfaat kepada negara.
"AUKU hanya melahirkan golongan berfikiran tidak matang dalam menangani cabaran pada masa hadapan," ujarnya.
Justeru, beliau berkata institusi pengajian tinggi perlu menjadi tempat yang mampu membentuk mahasiswa menjadi pemimpin yang boeh dicontohi generasi akan datang.
"Universiti patut jadi tempat yang dapat menghasilkan golongan intelektual yang mampu memajukan negara. Tapi hari ini, universiti kita telah mengeluarkan ramai pelajar yang kurang berkualiti serta tidak mempunyai sifat kepimpinan," katanya.
Mahkamah Rayuan, pada 31 Oktober lalu, memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.(mstaronline)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.