Followers

Wednesday, April 27, 2011

TAWARAN WANG JUTAAN $$$$ - Oleh : Lanh

 
SAYA mengenali Ali tahun lalu selepas memberinya risalah dakwah bertajuk ‘It all began with ‘Read’ – A Jewish computer programmer accepts Islam’. Sekalipun namanya menggambarkan dia seorang Islam, hakikatnya pemuda Negro dari Guinea di benua Afrika Barat ini adalah seorang KristianSelepas pertemuan pertama pada suatu malam dalam bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Melaka, Ali kerap menghubungi saya kerana katanya dia tertarik dengan Islam dan bercadang memeluknya.

Sepanjang perjalanan dua jam Kuala Lumpur-Melaka; banyak juga kami membicarakan perbandingan agama Islam-Kristian. Ali menyatakan Islam bukanlah jauh daripada dirinya. Dia mendakwa ayahnya seorang Islam manakala ibunya seorang Kristian; selepas dewasa ia memutuskan untuk menjadi seorang Kristian.

“Apa yang awak cakap sama dengan apa yang bapa saya cakap. Malah watak awak pun sama macam bapa saya. Jadi izinkan untuk saya memanggil awak Papa,” kata Ali tanpa saya mengesyaki apa-apa.


Apabila Ali menyatakan dia berhajat memeluk Islam, saya pun melayan karenah dia dengan lebih baik lagi. Pada awalnya dia berkata mahu berjumpa dengan saya di Melaka, tetapi saya meminta maaf kerana lebih kerap berada di Kuala Lumpur. Lagipun lebih baik berjumpa di Kuala Lumpur daripada membawa seorang Negro ke rumah saya. Saya cemas memikirkan tanggapan keluarga dengan kehadiran Negro itu.


Ali kerap menghubungi saya. Dia menggunakan panggilan Papa yang membuatkan saya benar-benar terfikir hajatnya untuk memeluk Islam. Keraplah kami membicarakan hal agama; saya berjanji untuk menghadiahkannya senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris.


Dalam satu perbualan, dia menyatakan saya telah banyak berjasa kepadanya, jadi dia benar-benar mahu membalas budi. Katanya, sebagai orang yang dianggap bapanya, dia benar-benar mahu berjumpa dengan saya. Saya pun bersetuju, lebih-lebih lagi memikirkan pada pertemuan itu bolehlah saya menyerahkan naskhah Quran terjemahan itu kepadanya.


Ketika Ali menelefon, saya dan beberapa rakan sedang minum di sebuah restoran. Selepas berbincang dengan rakan-rakan, mereka mengesyorkan saya tidak membawa Ali ke pejabat sebaliknya bertemu di sebuah kedai kopi berdekatan. Saya bersetuju dengan pandangan mereka dan apabila Ali menelefon, memberitahunya supaya pergi ke sebuah stesen minyak berhampiran.


Kerana bimbangkan keselamatan diri, saya mengajak seorang sabahat bersama; syukurlah dia menerimanya. Kami berada di pekarangan stesen minyak itu lebih awal daripada awal kedatangan Ali. Sejurus kemudian, sebuah teksi berhenti dan turunlah Ali. Saya nampak dia menghulurkan sekeping not kepada pemandu itu, seorang lelaki Cina. Teksi itu segera beredar, Ali mendapatkan kami.


Ali, sahabat saya itu dan saya menaiki kereta saya, bergerak menunju ke sebuah restoran. Dalam kereta, Ali yang duduk di bahagian depan, di sebelah saya yang memandu; tidak putus-putus berterima kasih kepada saya. Dia kerap memanggil saya Papa, Papa, Papa. Kerap benar diucapkan perkataan Papa itu. Lama kelamaan kawan saya pun terikut-ikut memanggil saya Papa.


Dalam perjalanan itu, Ali menunjukkan wang not RM50. Dia kemudian mengapitkan not itu antara dua kertas kosong. Kemudian dia menutupnya dengan sehelai kain. Tangannya bergerak-gerak di bawah kain itu. Sekalipun sedang memandu saya dapat melihat apa yang dilakukannya. Tentunya kawan saya yang menjenguk dari kerusi belakang dapat menyaksikan dengan lebih jelas apa dilakukan lelaki Negro itu. Ali kemudian mencurahkan sejenis cecair ke atas kertas tadi. Keluar sedikit asap.


Selepas seketika, Ali mengambil kertas yang sudah berdebu-debu itu dan mengosok-gosoknya. Muncullah dua keping not RM50 selain daripada not RM50 asal tadi. Dalam perjalanan singkat yang tidak sampai 10 minit itu Ali telah berjaya menghasilkan wang RM100! Dia memberikan not itu kepada saya dan rakan saya untuk menelitinya.


Apabila sampai di restoran; saya menyerahkan naskhah Quran yang dijanjikan kepada Ali dan bercakap mengenai Islam. Sebaliknya Ali bercakap mengenai betapa berterima kasihnya kepada saya dan sebagai balasannya akan menghadiahkan kekayaan kepada saya. Tidakkah Papa mahu wang ribuan dan jutaan ringgit?


Saya tidak pedulikan tawaran Ali sebaliknya terus bercakap pasal Islam. Sahabat saya berkata kepada Ali, tidak guna bercakap pasal wang jutaan ringgit itu kerana saya tidak mendengarnya.


Ali terus mendesak tetapi konklusinya tidak dicapai di restoran itu. Disebabkan malam sudah agak lewat, saya dan sahabat saya itu menghantar Ali ke sebuah stesen LRT yang berhampiran untuk dia pulang ke hotelnya.


Ali yang melambai kami dengan tangannya memegang naskhah al-Quran berjanji akan menghubungi saya bagi mendapatkan jawapan. Saya tidak menjawab banyak panggilan Ali; akhirnya hubungan itu putus begitu saja.


Apakah rahsianya Ali mahu jadikan saya seorang jutawan? Katanya, dia mahu menjadikan saya rakan kongsi – dia mencetak wang dan tugas saya hanya memasukkan wang berkenaan dalam bank. Sebagai warga asing tentunya sukar bagi dia memasukkan wang itu ke dalam bank tempatan tetapi tiada masalah bagi saya melakukannya!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.