Followers

Tuesday, April 12, 2011

Monolog Omega

Namaku Omega. Aku bukan seperti orang lain seperti Casio, Tag Heuer, Rado, Rolex, Swatch, Chrocodile atau Puma. Aku sangat istimewa kerana khabarnya, Neil Armstrong memakaiku ketika menjejakkan kakinya ke bulan.

Aku juga disifatkan sebagai jam paling tepat waktunya. Kawan-kawanku yang lain kadang-kadang nyanyuk juga walau pun masih muda. Justeru, aku dikagumi dan sering dijadikan hadiah istimewa terutama kepada pembesar-pembesar.

Akhir-akhir ini, di sebuah negara ‘Islam’ yang ada kilang arak, namaku sering disebut. Pada mulanya aku kurang pasti sebabnya, bahkan aku merasa pelik. Wartawan sebut nama aku, blogger sebut nama aku, aku sering ditanya kepada Uncle Google.

Menariknya, Uncle Google tidak pernah mengecewakan mereka. Gambar aku dipaparkan. Semua orang puas kerana rupa aku memang menawan. Kebanggaanku bertambah. Kalau dulu aku hanya ditatap oleh orang-orang berada sahaja, kini aku ditatap oleh semua orang.

JKKK, tok penghulu, penarik beca, drebar teksi, tukang sapu, tukang bancuh simen, turut menyebut-nyebut namaku. Memang aku pelik, mengapa semua orang menyebut namaku? 

Walau pun hidungku kembang-kempis, namun kadang-kadang aku naik meluat kerana ada yang menyebut namaku itu tidak gosok gigi. Mulut busuk.


Sekarang aku menjadi bahan kontroversi. Aku dikatakan ditinggalkan oleh tuanku di bilik yang terpapar dalam video yang dipromosikan oleh ‘Tiga Boroi’. Tuanku menafikannya. Isterinya berkata, aku berada di tangannya.

Aku geram apabila wartawan meminta aku ditunjukkan kepada mereka kalau benar aku tidak ditinggalkan di dalam bilik video tiga boroi berkenaan. 

Tuanku berkata, buat apa ditunjukkan kepada mereka, itu bukan satu keperluan. Beliau hanya bersedia menyerahkan aku kepada polis, itu pun jika diminta.

Aku cuma jam. Aku boleh dipindahkan, dicuri atau disalah letak. Orang boleh curi aku, letak dalam bilik video tiga boroi tu dan macam-macam lagi. Aku tidak boleh buat apa-apa sebab aku tidak punya daya sendiri untuk bertindak.

Apakan dayaku, aku dihadiahkan kepada orang itu. Kalau aku dihadiahkan kepada PM negara ‘Islam’ sekarang tentu aku tidak berhadapan dengan situasi ini. Atau, setidak-tidaknya, aku dihadiahkan kepada ‘First Lady’, tentu aku tidak akan menghadapi semua ini.

Namun, kalau aku diberi pilihan, aku tidak mahu menjadi hadiah kepada PM negara ‘Islam’ itu. Aku tahu dia bukan bersih, cuma dia tidak disiasat. 

Kalau dia disiasat macam tuanku disiasat, aku percaya rakanku yang dipakai oleh PM itu akan menjadi mangsa seperti aku.

Aaaahh, aku faham mana orang berani siasat PM negara ‘Islam’ tu. Ya, dia ada kuasa walau pun aku tahu kuasanya akan hilang dalam tempoh terdekat. Aku dengar di Sarawak, PM itu sudah mula ketar lutut kerana sambutan orang ramai kepada tuanku dan rakan-rakannya.

Aku tidak mahu hidup bersama PM negara ‘Islam’ itu. Aku lebih rela hidup bersama tuanku yang difitnah dan ditohmah itu. Aku lebih rela hidup bersama keluarganya kerana bagiku, seteruk mana pun mereka ditohmah, difitnah, dinista, mereka tetap idolaku.

Aku yakin orang dalam video itu bukan tuanku. Aku kenal benar tuanku. 

Beliau memang tidak maksum, tetapi aku yakin beliau bukan seperti apa yang ditohmah oleh puak-puak PM negara ‘Islam’ itu.
Namun aku tetap Omega. Aku bukan siapa-siapa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.