Mengenai Kes Fitnah (liwat) Anwar Ibrahim
Soalan:
Bolehkah Syeikh jelaskan kedudukan kes fitnah serta pertuduhan keatas sdr Anwar Ibrahim seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak dimana ianya dilakukan tanpa bukti dan saksi. Apakah pandangan syara’ mengenai hal ini?
Jawapan:
Dengan nama Allah, Maha Pengasih Maha Penyayang.
Segala pujian untuk Allah, Selawat dan salam untuk Rasul Nya serta keridaan Allah buat orang yang mengikut Sunnah dan bimbingan baginda.
Syariat Islam diturunkan untuk melindungi kepentingan manusia, menjaga agama, nyawa, harta, maruah dan nama baik seseorang.
Ini terkandung dalam maqasid Shariah (matlamat syara`) dimana Islam melindungi kepentingan asas manusia iaitu nyawa, akal, harta, keturunan serta nama baik orang ramai.
Rasulullah s.a.w menegaskan dalam hadis baginda bermaksud:
“Setiap orang Islam haram menceroboh orang Islam yang lain; Haram menceroboh nyawanya, hartanya dan maruahnya”.
Dalam hadis tadi, baginda menegaskan dengan jelas tentang pengharaman perkara2 tersebut itu.
Sebaliknya Islam mengajar agar tiap orang melindungi dan menjaga maruah orang lain.
Malah jika benarpun seseorang itu telah melakukan kesalahan, Islam menuntut agar ia tidak dihebahkan atau digembar gemburkan tapi dilindungi demi menjaga maruah seseorang itu.
Dalam sebuah kisah, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada orang yang menasihati Mai’z agar datang menemuinya untuk membuat pengakuan zina dengan katanya:
“Mengapa tidak engkau tutup sahaja perkara ini dengan pakaian kamu. Andai saja engkau sembunyikan perkara itu, tentu ia lebih baik bagi kamu.”
Quran menjelaskan dalam Surah an-Nur 24:19 -
“Sesungguhnya orang-orang yang suka tersebarnya kebejatan di kalangan orang yang beriman, untuk mereka seksa yang amat pedih di dunia dan di akhirat.”
Oleh kerana itu Islam menetapkan hukuman yang amat berat terhadap orang yang mengaibkan orang lain atau menceroboh maruah dan nama baik orang lain. Islam telah menetapkan tiga jenis hukuman terhadap orang yang melakukan fitnah keatas orang lain iaitu; hukuman fizikal, hukuman moral dan sosial serta hukuman spiritual.
Firman Allah dalam surah An-nur 24:4 -
“Orang yang menuduh (wanita) orang Islam lain dgn tuduhan zina tapi tidak mengemukakan empat orang saksi maka sebatlah dia sebanyak 80 kali. Dan janganlah kamu terima persaksiannya buat selama-lamanya. Dan mereka itu orang yang fasiq”
Ulama sepakat mengatakan tuduhan zina kepada lelaki muslim sama hukumannya dengan tuduh zina terhadap wanita muslimah.
Ulamak juga sepakat bahawa tuduhan liwat adalah sama dengan zina.
Dalam hal ini lumrahnya tuduhan zina ini ditujukan kepada golongan wanita.
Namun jika ada sesiapa yang menuduh oang lelaki yang berbuat demikian maka menurut ijmak ulama ia termasuk dalam lingkungan makna ayat ini.
Hukuman fizikal yang dimaksudkan ialah 80 kali sebat.
Manakala hukuman moral dan sosial ialah dengan menolak kesaksiannya buat selama-lamanya.
Imam Abu Hanifah menegaskan bahawa walaupun orang berkenaan sudah bertaubat namun hukuman ini tetap berlaku dan berkuat kuasa iaitu ia tidak boleh menjadi saksi selama-lamanya.
Adapun hukuman agama pula adalah ia dianggap sebagai orang yang fasiq.
Sebenarnya tidak akan ada orang yang berani berbuat demikian, iaitu menuduh dan memfitnah orang lain dengan tuduhan palsu melainkan orang yang fasiq atau rusak agama.
Sehubungan dengan ini al-Quran menceritakan dengan agak terpeinci sebuah peristiwa yang dikenal sebagai “Hadith al-Ifk” (kisah fitnah).
Peristiwa yang berlaku di Madinah ini melibatkan isteri kesayangan Rasulullah s.a.w sendiri, anak Abu Bakar as Siddiq Khalifah pertama dan sahabat paling rapat dengan Rasulullah s.a.w.
Beliau adalah Ummul Mukminin (ibu kaum mukminin) Aisyah r.a.
Aisyah telah dituduh secara jahat oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang kononnya ia telah berzina dengan seorang sahabat yang soleh serta terkenal baik dan tidak pernah bersikap serong serta berbuat jahat.
Cerita palsu ini berkembang dengan cepat dari bibir ke bibir dan menjadi perbualan ramai.
Hampir sebulan lamanya perkara ini merebak di Madinah sehinggalah Allah menurunkan ayat-ayat al-Quran membersihkan nama baik Aisyah dari angkara fitnah ini.
Ayat tersebut menyelar golongan munafiq yang melakukan kerja jahat tersebut.
Ayat ini juga menegur masyarakat umat Islam ketika itu kerana tidak bertindak membendung fitnah yang menular itu di peringkat awal dengan tegas.
Allah berfirman dalam surah al-Nur 24:11 -
“Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong (palsu) itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu menganggapnya buruk bahkan sebenarnya ada kebaikan untuk kamu. Setiap orang akan memikul dosa perbuatannya. Manakala orang yang paling besar peranannya dalam hal ini dari kalangan mereka pasti akan mendapat balasan azab yang paling besar pula.”
Yang memikul dosa besar dalan hal ini adalah kepala mereka iaitu Abdullah Bin Ubai Bin Salul, bapa kaum munafiq.
Dialah yang mengheboh-hebohkan khabar angin ini.
Dialah yang menyebutkan -
“Demi Allah! Aisyah tidak selamat dari rangkulan orang itu dan orang itu pun tidak selamat dari godaan Aisyah.”
Fitnah ini berterusan memamah nama baik Saidatina Aisyah untuk beberapa lama hinggalah Al-Quran menegaskan dalam Surah al-Nur 24:12 -
“Sepatutunya apabila kamu mendengar cerita seperti ini, orang mukmin lelaki dan perempuan perlu menyangka yang baik dan sopan terhadap sesama sendiri lantas mengatakan; ini adalah pembohongan yang nyata.”
Ertinya - sepatutnya kamu menolak fitnah itu sejak awal-awal lagi dengan menekankan tentang dosanya dan perlunya orang berkenaan membawa dan menampilkan 4 orang saksi.
Allah menegaskan dalam ayat berikutnya juga di surah an-Nur 24:13 -
“Seandainya mereka tidak menampilkan para saksi maka orang orang itu adalah golongan pendusta.”
Al-Quran mensyaratkan 4 orang saksi dalam kes yang berkaitan dengan maruah dan kehormatan diri.
Dan sememangnya Islam bersikap keras dan tegas dalam hal yang melibatkan maruah serta nama baik orang lain.
Berbeza dengan kes berkaitan dengan harta maka Islam memada dengan dua orang lelaki sebagai saksi atau seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi.
Dalam kes berkaitan dengan maruah seperti fitnah ini, Islam mensyaratkan mesti dibawa empat orang saksi.
Quran menjelaskan:
“Seandainya mereka tidak menampilkan para saksi maka merekalah golongan pembohong”.
Al Quran menjelaskan lagi dalam ayat berikutnya (an-Nur 24:14) -
“Kalaulah tidak kerana kurnia Allah dan rahmat Nya kepada kamu di dunia dan akhirat nescaya kamu ditimpa azab yang besar akibat perbuatan kamu itu.”
Maksudnya - Kerana rahmat dan kasih sayang Allah kepada kamu maka kamu tidak digegar dan ditelan bumi ataupun di landa dengan bencana taufan dan sebagainya sepertimana yang dialami oleh umat-umat sebelum ini.
Al Quran menegaskan lagi (al Nur 15) -
“Ketika kamu menerima fitnah tersebut dengan lidah kamu dan kamu menyambungnya dengan pertuturan mulut kamu sesuatu yang kamu sendiri tidak tahu, malah kamu menyangkanya perkara kecil (menyambung cerita fitnah) pada hal di sisi Allah perkara itu adalah suatu yang amat besar.”
Al-Quran memberikan pertunjuk yang cukup indah - Alangkah baiknya ketika mula kamu mendengar fitnah itu, kamu mengatakan ‘tidak wajar kita menghebahkan perkara ini… Maha suci Allah. Ini semata-mata pembohongan yang besar”. Allah menegaskan (an-Nur 24:16-17) -
Allah ingatkan :
“Alangkah baiknya ketika kamu mula mendengar khabar angina atau fitnah seperti itu kamu lantas berkata: Tidak wajar kita membicarakan perkara seperti ini; maha suci engkau (Ya Allah) Ini memang pendustaan dan pembohongan yang besar. Allah menasihatkan kamu agar jangan sekali-kali mengulangi perbuatan seperti ini buat selama-lamanya, seandainya kamu benar-benar orang yang beriman.
Dalam ayat berikutnya Allah berfirman (an-Nur 24:18) -
”Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat hukumnya. Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana”.
Kes pertuduhan seperti ini adalah suatu yang serius dan besar dalam ajaran syariat Islam; lebih-lebih lagi terhadap orang Islam.
Perbuatan melimparkan pertuduhan palsu seperti ini menurut Islam adalah merupakan dosa besar dan haram hukumnya.
Umat Islam perlu mengelak diri dari mencemarkan maruah dan nama baik orang lain yang tidak bersalah.
Kecuali jika benar benar ada bukti dan keterangan yang sah dan nyata dengan membawa saksi-saksi yang cukup seperti yang dikehendaki oleh syara’.
Inilah nasihat saya kepada umat Islam di Malaysia .
Mereka perlu takut kepada Allah.
Janganlah menuduh, memfitnah secara membuta tuli, merosakkan maruah dan nama baik orang kerana menurut hawa nafsu atau menurut dorongan politik dan golongan tertentu yang suka mendorong orang lain melakukan kejahatan seperti itu dengan menggunakan media massa dan sebagainya.
Kalau tidak, mereka harus ingat bahawa pengawasan Allah terhadap kejahatan seperti itu tidak pernah luntur atau luput.
Allah mungkin membiarkan atau memberi tempoh dan penangguhan masa untuk menjatuhkan hukuman Nya; namun Allah tidak pernah lupa atau cuai untuk berbuat demikian bila sampai masanya.
Allah berfirman dalam Surah Ibrahim 14:42 -
“Jangan kamu menyangka Allah lalai tentang apa yang dilakukan oleh golongan yang zalim itu”.
Saya menasihatkan anak-anak saya rakyat Malaysia lelaki dan perempuan agar jangan mudah menceroboh maruah orang Islam yang lain.
Lebih-lebih lagi terhadap orang yang memang terkenal baik, dihormati, berakhlak mulia dan luhur, seorang pendakwah yang berbudi pekerti mulia di dunia Islam; seperti sdr. Anwar Ibrahim dan lain-lain.
Amat jelas, bahawa pertuduhan terhadap beliau adalah bermotifkan muslihat politik serta dilakukan oleh orang-orang yang memandang ringan perbuatan mengaibkan orang dengan tuduhan jahat seperti itu.
Allah berfirman dalam surah al-An’am 6:144 -
“Siapakah yang lebih zalim dari orang yang melakukan pembohongan terhadap Allah untuk menyesatkan orang ramai tanpa ilmu pengetahuan. Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada golongan yang zalim”
Saya berdoa agar Allah mendedahkan hakikat yang sebenarnya.
Saya mohon agar Allah menangkan yang hak serta benar dan menumpaskan kebatilan yang batil.
Saya berdoa agar Allah menyatakan kebenaran sdr Anwar Ibrahim agar Allah bebaskan beliau dari pertuduhan jahat ini.
Biarlah Allah dedahkan konspirasi orang-orang yang memburuk-burukkan beliau dan menyibarkan pembohongan dan fitnah di kalangan orang ramai secara tidak bertanggongjawab dan tidak takut melakukan dosa serta penderhakaan yang nyata kepada Allah.
Insyaallah! Ketahuilah bahawa kebenaran tidak akan hilang atau tumpas, justeru Allah pasti akan memenangkan yang hak dan benar, Allah akan menumpaskan kebatilan walaupun golongan petualang tidak suka dan benci.
Allah berfirman dalam Surah al-Isra’ 17:81 -
“Dan katakanlah: Telah tiba kebenaran dan telah lenyap kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu pasti akan lenyap”.
Sekian , wassalamu alaikum warahmatullah wabarakatuh..
Dicatat Oleh Jalan Pulang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.