Followers

Wednesday, December 1, 2010

UMNO tangguh Pemilihan pasal tak mahu jadi macam PKR Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 1 Dis — Datuk Seri Najib Razak berkata Umno memutuskan untuk menangguhkan pemilihan semua peringkat — pusat, bahagian dan cawangan pada tahun depan bagi mengelakkan 2011 berubah menjadi tahun “medan pergelutan politik”.

Perdana Menteri berkata Umno juga tidak mahu menjadikan tahun depan sebagai medan pergelutan politik yang boleh menimbulkan perbalahan dalam Umno walaupun parti yakin perkara itu dapat dibendung.


“Kita tidak mahu berlaku keadaan yang begitu tertekan seperti mana berlaku pada sebuah parti politik yang lain, jadi kita ambil keputusan supaya tangguh pemilihan berdasarkan kepada perlembagaan parti,” katan Presiden Umno ini.

Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat malam tadi memutuskan untuk menangguhkan pemilihan 2011 yang dijadualkan diadakan bermula awal tahun depan selama 18 bulan bagi membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Langkah itu lazimnya diambil oleh Umno menjelang pilihan raya umum pada masa-masa lalu.

Ditanya sama ada penangguhan pemilihan itu ada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13 akan datang, Najib berkata ia bukanlah sesuatu yang baru.

“Setahu saya sudah tiga empat kali kita pakai peruntukan ini dari dulu lagi, tidak ada masalah yang aneh dan luar biasa,” katanya.

Kali pertama MT Umno menunda pemilihan parti ialah pada 1999 sebelum pilihan raya umum tahun itu.

“MT juga telah mengambil keputusan secara sebulat suara bahawa pemilihan pada tahun hadapan yang berlangsung di cawangan, bahagian dan MT ditangguhkan selama 18 bulan.

“Ini satu peruntukan bawah perlembagaan yang telah digunakan beberapa kali, bukan pertama kali supaya proses pemantapan dapat difokuskan,” katanya.

Pemilihan pusat lalu yang sepatutnya berlangsung Oktober 2008 diadakan Mac 2009.

Pemilihan tahun depan akan menggunakan sistem baru bukan perwakilan dan tidak menggunakan kaedah kuota bagi mendapatkan pencalonan.

Dalam pada itu, Najib juga menangguhkan pengumuman rombakan beberapa barisan kepimpinan negeri sehingga akhir bulan ini.

“Kita tidak mahu tahun depan jadi tahun pergelutan, kita juga tidak mahu keadaan jadi tertekan seperti parti politik lain.

“Penyusunan semula perhubungan negeri, saya dimaklumkan perkara ini akan dilakukan dan diumumkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Tambahnya, beliau perlu sedikit masa untuk membincangkan perkara itu dengan barisan kepimpinan.

“Ini kerana saya perlukan sedikit masa dengan timbalan presiden dan setiausaha agung untuk turun ke negeri-negeri dan berunding tentang apa yang mereka mahukan.

“Ada yang dilantik semula dan ada juga perubahan,” kata Najib yang sebelum ini turut mengumumkan bahawa akan mengadakan kunjungan ke seluruh negara bersama timbalannya.

Najib yang juga Perdana Menteri akan mengumumkan perubahan itu sebelum awal tahun depan.

Ketika menggulung Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, Najib berkata bahawa akan melakukan perubahan kepimpinan negeri khususnya melibatkan lima negeri yang disandang oleh presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.


The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.