Followers

Monday, December 6, 2010

Sudahkah Mahathir masuk Umno semula?

Oleh: Subky Latif

TUN Dr. Mahathir ketika berucap di Kemaman menyeru sekalian ahli Umno yang menubuhkan PKR membubarkan parti itu dan kembali semula ke pangkuan Umno serta bertaubat kerana telah memecahkan perpaduan orang Melayu/Islam.

Sebelum bekas ahli Umno dalam PKR itu kembali kepada Umno, mereka perlu tanya apakah Dr. Mahathir sendiri sudahkah menyertai Umno semula?

Orang-orang Umno PKR itu keluar Umno kerana membantah konspirasi Dr. Mahathir memecat Anwar Ibrahim sebagai ahli Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Mereka merasa dia dizalimi dan parti yang zalim saja logiknya sanggup memecat ahli dan pimpinan secara zalim. Mereka keluar parti dan membentuk PKR atas kezaliman Umno.

Tetapi Dr. Mahathir keluar Umno atas alasan apa?

Semata-mata kerana tidak setuju dengan pimpinan Tun Abdullah Badawi. Ramai juga yang lain tidak senang dengan pimpinan Abdullah tetapi mereka tidak keluar Umno.

Ribuan orang Umno menyokong isteri Anwar menubuhkan PKR. Hanya beberapa orang mengikut Mahathir keluar Umno termasuk penyokong setianya Tan Sri Sanusi Joned. Anak-anak Dr. Mahathir pun tak ikut ayahnya.

Sehingga ini saya tidak ingat dia sudah kembali semula kepada Umno. Ada usaha Muhyiddin Yassin sebelum menggulingkan Abdullah dulu untuk membawanya kembali kepada Umno, tetapi selepas itu tidak kedengaran apa-apa.

Yang kesiannya beberapa orang pak turutnya sahaja yang keluar Umno. Dan bagaimana mereka akan kembali semula ditakdirkan Dr. Mahathir masuk semula Umno dan taubat? Lebih kesian Tan Sri Sanusi. Kerana terlalu fanatik dengan Dr. Mahathir lalu ikut sama keluar Umno. Akibatnya gugur jawatannya sebagai Reaktor UIA.

Tetapi bolehkah bekas ahli Umno bubarkan PKR? Ia bukan ditubuhkan oleh penyokong Umno saja. Ia ditubuh bersama oleh Tian Chua, Elizabeth Wong, Sivaraa, Dr. Xavier dan kemudian diperkukuh pula oleh penyertaan Dr. Syed Husin Ali dan penyokong-penyokong dari PRM

PKR bukan seperti Parti Melayu Semangat 46 ditubuhkan oleh orang Umno belaka. Bila bekas ahli Umno rasa mereka patut bersatu semula dengan Umno, maka mereka mudah bubarkan Parti S46.

Kalau PKR dibubarkan, ke mana hendak dilemparkan ahlinya yang tidak pernah menyertai Umno seperti Lateefa Koya, Badrul Amin dan Fuaziah Salleh? Apakah mahu suruh mereka menyrtai PAS sebagai ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS atau DAP?

Dan apakah Dr. Mahathir fikir Dr. Syed Husin Ali akan ikut Dr. Wan Azizah menyertai Umno?

Orang Melayu berada dalam parti yang berbeza kerana mereka percaya kepada demokrasi. Tunku Abdul Rahman Putra berpendapat, orang Melayu menyertai berbagai parti bukan bukti mereka berpecah kerana amalan demokrasi membenarkan masing-masing berbuat demikian.

Jika orang Melayu berada dalam parti yang berbeda dikira perpecahan, maka mengapa Dr. Mahathir usahakan penyingkiran PAS dari Barisan Nasional sedang perpaduan orang Melayu melalui Barisan Nasional adalah paling ketara hingga Pilihan Raya Umum 1974 mencatitkan begitu banyak kerusi dimenangi BN tanpa bertanding?

Jika kewujudan Umno dan PAS dikira punca perpecahan orang Melayu, mengapa penyatuan kedua parti itu dalam BN dipecahkan oleh Dr. Mahathir?

Kalau berjuta penyokong Umno itu bersetuju orang Melayu mesti berada dalam satu parti, maka pendekatan melalui BN yang dipelopori Tun Razak dulu adalah formula terbaik bagi penyatuan itu. Kalau Umno boleh bersetuju Perikatan ditukar kepada BN, maka Umno tentu boleh menerima apa jua nama jika penyokong Umno dan penyokong PAS boleh disatukan.

Jika Umno mengira adalah yang terbaik, mengapa Umno tidak singkirkan Tun Hussein Onn dan Dr. Mahathir yang menjadi pemecah penyatuan Melayu yang amat sukar dicapai oleh Tun Razak itu?

Selepas Dr. Mahathir berpuas hati dapat menyingkirkan Anwar dari Umno dan kerajaan, maka dia tidak sedar konspirasinya itu memecahkan Umno, dan kewujudan Pakatan Rakyat mula mengancam Umno dan BN, maka menyalahkan pementukan PKR konon memecahkan orang Melayu.

Dia suruh PKR dibubarkan bagi kembali ke pangkuan Umno semula. Apakah dalam pekej itu termasuk Anwar sekali? Dia tidak sebutkan Anwar mesti dikecualikan.

Anwar pun tak kebulur dan begitu juga PKR. Apakah ia tanda Mahathir menyesal dengan konspirasinya dulu? Kalau dia menyesali, dialah yang wajar bertaubat, bukan PKR yang perlu bertaubat.

Jika dia menyesali akan perpecahan Melayu itu, apakah dia mengaku silap memecat Anwar dan menyingkirkan PAS dari BN dulu?

HD

Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2010/12/sudahkah-mahathir-masuk-umno-semula.html#ixzz17KR7mJNb

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.