Followers

Wednesday, December 22, 2010

Mazhazmi Dakwa Dibogelkan Dan Dipaksa Berdiri Sebelah Kaki Oleh Pegawai SPRM


Tertuduh dakwa didera SPRM

MAZHAZMI keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. Beliau mendakwa dipaksa berbogel, berdiri sebelah kaki dan dicemuh ketika siasatan

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin, Sime Darby Engineering Sdn Bhd, Mazhazmi Jamaludin, yang mendakwa didera dan dibogelkan oleh pasukan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM200,000, dua tahun lalu.

Mazhazmi, 36, yang diwakili peguam Shamsul Sulaiman mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan di depan Hakim Rozilah Salleh dan memohon untuk dibicarakan.
Dalam prosiding semalam, Shamsul memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya didera ketika disoal oleh anggota SPRM.

“Anak guam saya yang pada awalnya dipanggil memberi keterangan sebagai saksi dibogelkan dan dipaksa berdiri dengan sebelah kaki saja ketika di soal.

“Mazhazmi juga turut dilontar dengan kata-kata kesat sehingga beliau tertekan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Anthony Kevin Morais memberitahu mahkamah jika penderaan itu benar berlaku, tertuduh sepatutnya melaporkan kejadian kepada pihak polis sebelum prosiding semalam kerana penyiasatan terhadapnya selesai pada Jun lalu.

“Tertuduh dilepaskan di bawah jaminan oleh SPRM pada Jun lalu. Dia ada enam bulan jika ingin buat laporan. Kenapa ketika dia dituduh (hari ini) baru isu ini dibangkitkan. Ini perkara mustahil,” katanya.

Mazhazmi dituduh melakukan kesalahan itu sebagai upah untuk mencadangkan MLC Shipbuilding Sdn Bhd mendapat kontrak ‘Construction and Sale of one Derrick Lay Barge (Hull No MLC 12888), Constructution and Sale one (1) unit 75M (Wartsila 8000bhp) Anchor Handling Tug/Supply Vessel Hull No 75083 dan Construction and Sale of one (1) unit 75M (Wartsila 8000bhp) Anchor Handling Tug/Supply Vessel Hull No 75084’' yang bernilai AS$134.2 juta RM422.75 juta).

Dia dituduh menerima wang itu bagi mengesahkan bayaran tertentu pembinaan satu unit Derrick Lay Barge Hull No MLC 12888 dan dua unit Anchor Handling Tug/Supply Vessels Hull No 75083 dan 75084.

Mazhazmi didakwa menerima wang itu daripada pemilik syarikat MLC Shipbuilding, Redzuan Goh Mohammed Karian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozilah Salleh membenarkan Mazhazmi dijamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari ini sebutan kes.

Sementara itu, SPRM menafikan dakwaan, kononnya tertuduh didera oleh pegawai penyiasat SPRM ketika dalam tahanan reman.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, berkata ketika permohonan menyambung reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada 20 Jun lalu, tiada sebarang aduan dibuat oleh, Mazhazmi, berhubung deraan mahupun kecederaan dimaklumkan di hadapan Majistret Mahkamah Kajang.

Ulasan GB

Rakyat merasa begitu terkejut dengan pendedahan ini. Jika benar dakwaannya, SPRM tidak serik-serik untuk bertindak seperti "binatang" selepas peristiwa Teoh Beng Hock.

Penafian oleh Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah kononnya tiada sebarang aduan dibuat oleh, Mazhazmi, berhubung deraan mahupun kecederaan dimaklumkan di hadapan Majistret Mahkamah Kajang tidak bererti SPRM boleh dilepaskan kerana terdapat pelbagai kemungkinan mangsa tidak membuat aduan atau laporan apatah lagi beliau di dalam keadaan yang tertekan.

Perilaku pegawai-pegawai SPRM yang bertindak melangkaui batas perlu disiasat dan dihentikan. Mereka yang terlibat perlu dikenakan tindakan sekeras-kerasnya demi memulihkan imej SPRM.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.