Followers

Sunday, December 12, 2010

Kalau Bukan Sabah Tiada Malaysia ?

Saya tergerak hati untuk menulis hari ini selepas beberapa masa yang lalu saya berehat menulis. Bahkan ada juga rakan2 dari Semenanjung dan Sarawak menyeru saya untuk menulis kembali. Hari ini adalah hari yang sungguh bersejarah dalam sejarah negeri dan negara yang tercinta. Maka penulisan saya kali ini adalah berpaksikan kepada Penubuhan Malaysia pada 16 Sept 1963.

Saya ingin mulakan dengan menyingkap secara ringkas sejarah Sabah atau sebelum ini dikenali sebagai North Borneo.

Sabah pada mulanya adalah terletak dibawah naungan Kesultanan Brunei. Namun, pada tahun 1865 Kesultanan Brunei memberi pajakan selama 10 tahun kepada seorang pedagang AS Charles Lee Moses. Bila berlakunya perang saudara di AS ketika itu, Charles telah menjual haknya kepada syarikat yang berpengkalan di Hongkong yang dimiliki oleh Torrey, Harris dan Cheong. Ketiga-tiga pedagang tersebut berusaha memajukan syarikat mereka tanpa menyedari bahawa tempoh pajakan 10 tahun sudah hampir tamat. Torrey lalu menjual haknya kepada seorang pedagang bernama Von Overback. Von Overback sekali lagi memperbaharui tempoh pajakan selama 10 tahun daripada Kesultanan Brunei dan pada masa yang sama membuat perjanjian dengan Kesultanan Sulu. Von Overback mendapat bantuan pembiayaan daripada Alfred dan Edward. Von Overback pula menarik diri kerana masalah kewangan meninggalkan Alfred meneruskan usaha syarikat. Pada Mei 1882, Syarikat Berpiagam Borneo Utara ditubuhkan secara rasminya bagi mengurus kepentingannya di Borneo Utara.

Pada tahun 1888, Borneo Utara menjadi naungan Empayar British, namun segala urusan pentadbiran masih lagi dikendalikan oleh SPBU. SPBU mentadbir sehingga 1 Jan 1942 dan selepas itu Borneo Utara dijajah oleh Jepun sehingga tahun 1945. Selepas itu Borneo Utara ditadbir oleh Tentera British sehinggalah pada tahun 15 Julai 1946 apabila kerajaan British secara rasminya mengambilalih dan menjadikan Borneo Utara sebagai 'crown colony'nya. Pada 31 Ogos 1963, kerajaan British memberikan kebenaran kepada Borneo Utara untuk membentuk kerajaan sendiri or self-government.

Pada 16 Sept 1963, Borneo Utara (Sabah) bersetuju membentuk Persekutuan yang dikenali Malaysia bersama-sama dengan Sarawak, Malaya dan Singapura. Pada 9 Ogos 1965, Singapura ditendang keluar daripada Malaysia.

Negara Malaysia wujud atas perkongsian sama rata diantara Sabah, Sarawak dan Malaya. Ketiga-tiga entiti ini adalah sama rata dari segi logiknya. Tiada yang mendapat lebih dan tiada juga yang sepatutnya mendapat kurang. Namun, dalam tempoh 46 tahun penubuhan Malaysia kita di Sabah seolah-olah kehilangan hak kita iaitu hak untuk mentadbir negeri ini, hak untuk mengurus ekonomi malah yang malang sekali kedaulatan dan keselamatan kita tidak terjamin. Pada pandangan saya kita belum lagi merdeka sepenuhnya. Beberapa analogi :

1) Penjajah British yang mengatur pentadbiran Sabah dan bukan orang tempatan.

2) Kekayaan ekonomi kita diurus oleh penjajah British,

3) Penjajah menganggap mereka lebih baik daripada orang tempatan. Keadaan sekarang tidak jauh bezanya daripada keadaan sebelum Malaysia ditubuhkan pada 16 Sept. S

ekarang: 1) Perlantikan KM dibuat oleh KL bukan lagi dibuat TYT seperti dalam perlembagaan dan perlantikan tersebut tidak semestinya mendapat sokongan sepenuhnya daripada pemimpin tempatan,

2) Sabah yang dahulunya kaya sekarang menjadi negeri termiskin di Malaysia, semua kekayaan diangkut ke KL sedangkan orang kampung di pelusuk Sabah masih miskin, contohnya kampung saya, dan 3) Semua jawatan tertinggi kerajaan dikuasai oleh orang KL, mengapa? orang Sabah tidak layakkah? Mana Duta dari Sabah? Mana Ketua Pengarah dari Sabah? Mana menteri kanan dari Sabah?

Sabah tidak seperti dahulu. Sekarang PTI lebih ramai daripada orang tempatan. Dimana janji menjaga kedaulatan dan keselamatan Sabah kalau ikut membentuk Malaysia? Sekarang kalau berjalan di sekitar bandaraya KK, kita tidak berasa selamat kerana PTI ramai yang berkeliaran. Ada yang mendapat dokumen palsu dan ada juga yang langsung tiada dokumen sah. Dimana tanggungjawab kerajaan menjaga rakyatnya? Sila baca buku tulisan aktivis politik Dr. Chong Eng Leong yang baru dilancarkan bertajuk 'Lest We Forget' atau dalam terjemahannya 'Jangan Kita Lupakan', harganya adalah RM15 boleh didapati daripada saya. Buku ini menghuraikan secara lebih lanjut masalah kebanjiran pendatang asing di Sabah.

KL menganggap kita orang Sabah sebagai 'crown colony' mereka. Ini tidak patut. Kalau bukan Sabah tiada Malaysia! Kalau bukan minyak dan gas Labuan dan Bintulu tiadalah Menara Berkembar Petronas dan pasukan F1 yang kita banggakan. Kekayaan banyak disalurkan kepada kerajaan persekutuan sedangkan yang kembali kepada Sabah sangat sedikit. Ini tidak adil. Tidak adil dalam ertikata Sabah, Sarawak dan Malaya adalah sama rata sama-sama membentuk Malaysia. Sepatutnya kekayaan negara dibahagikan sama rata. Jangan anggap Sabah ini statusnya sama dengan negeri Perlis, Penang, Selangor dsbnya. Kalau bukan Sabah tiada Malaysia!

Mengapa 31 Ogos 1957 yang dipuja-puja? Saya sendiri tidak faham. Tarikh berkenaan tidak kena-mengena dengan Sabah dan Sarawak kerana tarikh tersebut adalah Hari Kemerdekaan Malaya. Tarikh yang sepatutnya menyatukan seluruh Malaysia adalah pada 16 Sept 1963 kerana tarikh inilah bermulanya sebuah Persekutuan Malaysia. Ok baik..kita hormatilah tahun 31 Ogos 1957 tapi bolehkah kerajaan yang ada sekarang ini memberikan penghormatan kepada tarikh 16 Sept dengan mengisytiharkan cuti umum seluruh negara termasuk di Malaya? Maksud saya supaya orang Malaya juga dapat memperingati tarikh 16 Sept dan menghayatinya. Sekurang-kurangnya ingatlah kami orang Sabah dan Sarawak, kalau bukan kami tiadalah Malaysia!

Kesempatan ini saya ingin mengajak para pembaca untuk menghayati Penubuhan Malaysia. Hayatilah Perkara 20 bagi Sabah dan Perkara 18 bagi Sarawak kerana kedua-dua perkara ini adalah prasyarat Penubuhan Malaysia. Fakta sejarah haruslah diperbetulkan. Kita tidak pernah menyertai Malaysia sebaliknya kita sama-sama membentuk Malaysia.

Marilah dengan semangat 1Malaysia kata PM, saling hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latarbelakang agama, suku dan ideologi berganding bahu mempertahankan Malaysia. Kita semua sayang Malaysia. Kita juga menghormati pemimpin terdahulu. Pemimpin akan datang haruslah memperbetulkan keadaan. Letakkanlah kepentingan rakyat melebihi agenda peribadi. Pemimpin akan datang juga harus berani bercakap bukan penakut. Sabah adalah negeri kita dan disinilah tanah tumpah darah kita. Buka mata dan fikiran, demi masa depan yang cerah.

SATU MALAYSIA! SATU HATI! TUNTUT PERUBAHAN!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.