KUALA LUMPUR 23 DIS : Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia(ATM), Jen (B) Tun Ibrahim Ismail, 88, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini awal pagi tadi.
Menurut Pegawai Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, Mejar Marina Harun, Allahyarham meninggal pada 4.40 pagi.
Jenazah beliau telah dibawa ke rumahnya di No 22, Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman di sini sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Asar. Allahyarham dirawat di hospital berkenaan kerana sakit tua, sejak tiga bulan lepas.
Anak kelahiran Johor Baharu ini yang asalnya merupakan Pegawai Kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor merupakan Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang ketiga.
Pada 30 Nov 1977, beliau menamatkan perkhidmatan setelah 36 tahun berkhidmat sebagai tentera dan sekaligus menamatkan perkhidmatan selama tujuh tahun sebagai PAT.
Sepanjang menjadi PAT, beliau dikatakan banyak mengatur kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis.
Allahyarham pernah berkhidmat di dalam pasukan Force 136 sekitar 1940-an bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.