SHAH ALAM 6 DIS : Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin mahu setiap organisasi yang bertanggungjawab dalam kes rasuah melibatkan Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo menjalankan tanggungjawab dengan amanah, tidak hanya seperti melepaskan batuk di tangga.
Bercakap kepada TVSelangor, Faekah berkata,adalah penting kepada semua pihak komited dengan tugas yang diamanahkan dan bersikap profesional walaupun ia melibatkan orang kenamaan.
" Kalau Khir Toyo kita katakan dia tidak amanah sebelum ini, mereka kena jalankan tanggungjawab mereka.Jangan pula pegawai yang mendakwa tidak amanah pula
dalam menjalankan tugas kita. Biar semua orang menjalankan tugas dengan profesional dan amanah," kata Faekah, ketika dihubungi melalui telefon sebentar tadi.
Khir Toyo dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah.
Khir didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah 'istana ala Bali' di Seksyen 7, Shah Alam.
Walau bagaimanapun, kedua-duanya tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan oleh hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Khir boleh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.
Manakala Shamsuddin pula, pada tarikh sama dituduh bersubahat dengan kesalahan yang dilakukan oleh Khir dalam pembelian hartanah dan rumah mewah tersebut.
Ia berlaku dalam keadaan Khir mengetahui Shamsuddin ada kaitan dengan kerja-kerja rasminya dan kesalahan tersebut dilakukan hasil dari persubahatan Shamsuddin. Justeru, Shamsuddin telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjarakan sehingga tempoh dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.
Namun ujar Faekah, selagi seseorang tidak dibuktikan bersalah, maka mereka tidak boleh dituduh bersalah.
Maka Ketua Pembangkang Selangor itu juga diharap boleh mendapatkan hak pembelaan yang sewajarnya untuk diri beliau.
" Apa yang kita mahu ialah Khir Toyo diberi kesempatan kalau dia tidak bersalah, dia perlu mendapat hak membela diri dan saya yakin pihak-pihak seperti SPRM,
DPP,polis yang menyiasat dan pegawai-pegawai terlibat, menjadi profesional," tambah Faekah lagi.
Tanpa menolak pelbagai spekulasi kedengaran berhubung penahanan Khir di pejabatnya pagi tadi, Faekah bagaimanapun optimis sekiranya ia langkah awal kerajaan
menunjukkan kesungguhan dalam memerangi rasuah.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran, jika ia hanya untuk mempersendakan rakyat, ia pasti tidak akan berhasil untuk jangka masa panjang.
" Kita tidak boleh salahkan anggapan masyarakat umum terutama pemimpin-pemimpin dari parti bukan pemerintah sebab itu telah menjadi trend. Macam satu tradisi
pemimpin kerajaan.
" Rakyat pada hari ini bijak dan pandai menilai. Kalau kamu bersandiwara, akhirnya pada suatu hari nanti kamu akan dihukum," katanya.
Bahkan ujar Faekah, kerajaan negeri Selangor sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika organisasi itu
memerlukan sebarang dokumen berhubung pembelian tanah tersebut.
" Pendekatan kita ialah kita bersedia bekerjasama walaupun yang dituduh itu orang kita dan sebagainya. Malah kita memberi kerjasama yang baik misalnya apabila pegawai Yayasan Selangor disiasat," tambah Faekah lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim sebelum ini berkata,istana milik Khir beserta tanah mencecah harga RM24 juta.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas DUN Mengenai Tanah sebelum ini meminta rakyat Selangor dan SPRM menilai dan menjalankan siasatan dengan telus berhubung isu tersebut.
TVS
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.