Followers

Saturday, November 6, 2010

BEKAS CALON PKR DUN KEMAYAN, BERA, PAHANG KELUAR PKR SEBENTAR TADI ??


Bekas Calon PKR Yang Juga Blogger Cucu Mat Kilau, Umumkan Keluar PKR Sebentar Tadi

Lepas sorang..sorang tinggalkan PKR. Apa dah jadi parti ini. Kali ini giliran bekas calon PKR Dun Kemayan, Bera, Pahang iaitu Saudara Mohd Shukri Jamaluddin, 39 telah umumkan keluar PKR dua jam yang lalu. Beliau yang juga blogger popular, Cucu Mat kilau (CMK) nekad untuk tinggalkan PKR setelah parti itu sudah menyimpang daripada perjuangan asal mereka. Ini pendedahan panas CMK ini..

Tindakan Keluar Parti Bukanlah Satu Keputusan Yang Bijak, Namun Demi Meneruskan Perjuangan CMK Rela Bebaskan Diri Jika Itu Sudah Takdirnya

Ramai yang terkejut dengan keputusan CMK untuk berundur dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat ini. Satu keputusan yang cukup berat dalam sejarah hidup CMK sebenarnya. Sselepas lebih 11 tahun berjuang mempertahankan Anwar dan Keadilan, akhirnya CMK tidak sanggup lagi untuk menipu diri sendiri.

Selama ini apa saja yang berlaku kepada Anwar dan Keadilan pasti CMK akan pertahankan bermati-matian, sama seperti penyokong "tegar" PKR yang lain. Namun, sejak akhir-akhir ini CMK merasakan bagai satu kesalahan besar jika CMK gagal menegur dan mengembalikan semula maruah parti yang kini mula tercalar gara-gara pemilihan 2010 yang sedang berjalan sekarang ini. Budaya jahiliah kini menyelinap masuk secara meluas ke dalam parti dan ia menyebabkan hala tuju perjuangan PKR sedikit tersasar sebenarnya. Biar pun perkara ini tidak mahu diakui namun itulah hakikatnya.

Kuasa sudah mula duduk didepan dan perjuangan rakyat mula goyah sekarang ini. Semunya gara-gara beberapa kerat pemimpin yang sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa. Masing-masing mahu menjadi pemimpin parti untuk membuka laluan mudah dipilih sebagai calon dalam pilihanraya umum akan datang. Masing-masing kini bercita-cita serta berhasrat untuk menjadi ADUN dan Ahli Parlimen selepas melihat peluang PKR menawan Putrajaya pada PRU-13 ini semakin cerah.

Malah, tidak kurang juga yang menanam hasrat untuk menjadi Menteri, Timbalan Menteri, Pengarah Syarikat, Exco, Ahli Majlis dan sebagainya. Bagi mereka, harapan untuk itu semakin terpancar luas bila mana melihat gelombang kebangkitan suara rakyat kini berada ditahap yang memungkinkan agenda perubahan itu berlaku. Dek kerana cita-cita itulah, mereka yang terbabit sanggup melanggar "pantang" selama ini.

Amalan yang mereka benci ketika dalam UMNO BN dulu kini menjadi mainan dek kerana jawatan dan kuasa. Politik wang, pancas memancas, fitnah, kutuk, caci mencaci, bomoh, gaduh hinggalah kepada membeli undi sudah tergamak mereka lakukan sekarang. Mungkin, merasakan tidak ada cara lain lagi untuk menang menyebabkan mereka sanggup kembalikan semula amalan jahiliah itu semata-mata mahukan kuasa. Inilah yang berlaku dalam parti mutakhir ini sebenarnya.

Proses Pemilihan Parti Kini Nampak Mula Diragui

Bagi CMK ini adalah tidak baik untuk parti. Selama ini CMK mempertahankan Keadilan atas alasan parti itu lebih baik dari UMNO. Berbagai hujah dan alasan diberikan untuk menolak hujah pihak lawan yang mempertikaikan perjuangan Keadilan. Namun, apalah guna untuk berpura-pura buat selamanya. Segala yang berlaku kini terbentang didepan mata malah bertambah parah lagi dipusingan akhir pemilihan 2010 ini sebenarnya.

Tambah parah lagi, apabila badan bebas yang sepatutnya bertindak secara adil dan profesional bagi mengadili pemilihan parti juga dilihat semakin tidak telus mutakhir ini. Badan bebas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), sekadar menjadi robot untuk memuaskan nafsu pihak-pihak tertentu. Badan tersebut tidak wajar disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu yang secara jelas mencabuli amalan demokrasi yang mahu dipertahankan itu.

Malah salah seorang calon Timbalan Presiden iaitu Mustafa Kamil Ayub sendiri mengatakan "Proses pemilihan Parti KEADILAN telah bermula pada 29 Oktober 2010, namun apa yang kita harapkan untuk memperolehi satu sistem pemilihan yang adil dan telus daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) semasa mengendalikan proses pemilihan amatlah mendukacitakan". Kata orang "jika tiada angin masakan pokok bergoyang".

Namun, mungkin ada yang tidak dapat menerima kenyataan ini dan sanggup biarkan ia berlaku didepan mata. Namun, ia tidak mungkin bagi CMK. Pemimpin yang rosak akhlaknya tidak layak untuk disanjung oleh rakyat apatah lagi mereka yang jelas cuba menipu dan mempermainkan parti sendiri. Bukankah amalan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah parti yang memperjuangkan agenda perubahan buat rakyat.

Keputusan Keluar Parti Bukan Satu Tindakan Bijak

Keputusan untuk tinggalkan PKR bukanlah satu keputusan yang bijak sebenarnya. Sebab itu CMK mengambil tempoh yang lama untuk membuka ruang perbincangan tentang hal ini. Namun, tiada jalan penyelesaian konkrit yang sepatutnya menjadi alternatif kepada semua ini. Ramai yang menuduh kononnya CMK kecewa dan tidak punyai semangat perjuangan yang kental jika keputusan ini dibuat.

Mereka bebas mengatakan apa saja, termasuk menghemburkan kata-kata hina kepada CMK. Namun, bagi CMK jika berlaku pun tindakan yang dimaksudkan bukan bermakna CMK tewas dalam perjuangan. Perjuangan membela rakyat masih diteruskan seperti biasa cuma mungkin dalam medium yang berbeza. Jika selama ini CMK terikat dengan imej kepartian, mungkin selepas ini CMK lebih bebas dan neutral.

Ruang kebebasan itu memberi peluang kepada CMK untuk menegur dan mengkritik secara lebih telus lagi pada masa-masa yang akan datang. CMK bukanlah pemimpin politik seperti lain-lain sahabat biarpun pernah bertanding dalam Pilihanraya Umum Ke-12 pada tahun 2008 dulu. Maka itu CMK punyai hak untuk memilih jalan sendiri sebenarnya. (baca lagi)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.