Followers

Friday, October 15, 2010

Terkini! Sah, Proton perkenal Inspira, henti pengeluaran model Waja



WarkahDaily - "Waja sedang dihentikan. Ini bukan pengganti," kata Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir ketika memperkenalkan model baru Proton hari ini.

Jadi sangkaan ramai sebelum ini Proton akan melancarkan model pengganti Waja jauh meleset sama sekali.

Proton telah pun melancarkan model baru keluarannya hasil daripada perkongsian Proton dengan Mitsubishi Motors Corporation (MMC) iaitu Proton Inspira.

Menurut Syed Zainal Abidin, Inspira bukanlah pengganti bagi model terdahulu, Waja seperti yang disangkakan oleh pemerhati, namun ianya merupakan model terbaru Proton dengan nama baru.

Selain itu, Syed Zainal Abidin juga menyatakan, model Waja akan dihentikan pengeluarannya.

Menurut Proton, model baru itu sudah pun boleh ditempah bermula hari ini dengan tempahan RM1,000.

Antara keistimewaan yang belum lagi ada pada mana-mana model Proton ialah lampu automatik dan pengesan hujan disamping sistem penyaman udara berfungsi secara automatik sepenuhnya berdasarkan sistem kawalan cuaca.

Inspira juga dilengkapi auto cruise dan beg udara keselamatan penumpang.

Menurut sumber sebelum ini, kebanyakan keistimewaan yang ada pada Proton Inspira ini hampir 70% sentuhan teknologi Jepun yang dibekalkan oleh Mitsubishi termasuk enjin yang digunakan iaitu Mivec bagi kedua-dua varian 1.8 liter dan 2.0 liter.

Menurut Paultan.org, Proton Inspira mengeluarkan tiga varian yang dibina berdasarkan Mitsubishi 4B10 enjin berkapasiti 1.8 liter manual 5-speed, Mitsubishi 4B10 enjin 1.8 liter transmisi automatik 6-speed CVT.

(Gambar kanan: Datuk Syed Zainal menyampaikan hadiah kepada pemenang namakan Proton sedan, Encik Saiful Yazan.)

Bagi enjin berkapasiti 2.0 liter, Inspira menggunakan model Mitsubishi 4B11 enjin dengan transmisi CVT - sistem kawalan elektronik kenderaan pintar dan inovasi (INVECS-III) yang ditambah pedal shift pada bahagian stereng.

Harga yang ditawarkan Proton ialah dianggarkan dari RM79,888 bagi model kelas bawah dan tidak melebihi RM95,000 bagi model 2.0 liter.

Harga yang tepat bagi setiap kapasiti enjin akan dilancarkan pada pelancaran rasmi 10 November 2010.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.