Followers

Friday, October 22, 2010

Pemimpin Pakatan Rakyat mendedahkan kos pembinaan menara Warisan Merdeka Akan Mencecah 2 KALI GANDA ?


Pakatan ramal kos menara Warisan Merdeka naik 100%

THE MALAYSIAN INSIDER - KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Rakyat mendedahkan kos pembinaan menara Warisan Merdeka, yang bakal muncul sebagai bangunan tertinggi dengan 100 tingkat, akan mencecah dua kali ganda berbanding RM5 bilion diumumkan Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (gambar) berkata beliau menjangkakan kemungkinan itu berdasarkan kenaikan kos membina Istana Negara yang sedang dibina – daripada RM400 juta kepada RM935 juta.

Beberapa projek awam sebelum ini juga berakhir kos tambahan daripada yang dirancang.

“Menara Warisan Merdeka 100 tingkat dijangka melebihi RM10 bilion dan bukannya RM5 bilion seperti mana yang diumumkan sebelum ini berdasarkan kenaikan kos perbelanjaan Istana Negara baru daripada RM400 juta kepada RM935 juta,” kata beliau.

Awal hari ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK), sayap muda PKR, mengumumkan akan melancarkan Kempen Bantah Bajet Anti Rakyat peringkat nasional untuk mengutip tandatangan rakyat membantah projek menara Warisan Merdeka ini.

“Sebelum ini di bawah Menteri Kerja Raya yang lama, Datuk Seri S. Samy Vellu, kos pembinaan Istana Negara baru adalah RM400 juta.

“Baru-baru ini Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Shaziman Abu Mansor dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, kosnya telah naik lebih sekali ganda kepada RM935 juta,” kata Lim di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, perancangan dan anggaran awal yang begitu tidak berprofesional ini bermakna kemungkinan besar Warisan Merdeka bukan sekadar RM5 bilion seperti mana yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2011, tetapi adalah melebihi RM10 bilion.

Oleh itu katanya, ia menimbulkan keraguan sama ada kerajaan persekutuan berkomited kepada rasional Bajet 2011 “Transformasi Ke arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”.

“Ataupun kembali ke fokus zaman silam menjalankan projek mega yang hanya manfaatkan kroni-kroni tertentu dan bukannya rakyat jelata,” kata beliau.

Lim menambah, negara harus belajar daripada pengalaman era Firaun yang berjaya membina piramid yang maha besar atas darah dan titik peluh rakyat yang diperas dengan begitu zalim tetapi kini hanya tinggal piramid sedangkan Firaun sudah lama berkubur.

“Belanjawan 2011 berusaha memulihkan pelaburan swasta agar menjadi jentera pembangunan ekonomi.

“Kejatuhan pelaburan luar negeri sebanyak 81 peratus pada 2009 berbanding 2008 kepada RM1.4 bilion daripada RM7.3 bilion menimbulkan tanda tanya macam mana kerajaan akan berjaya menarik RM2.2 trilion dalam masa 10 tahun di mana 92 peratus akan datang daripada sektor swasta,” katanya.

Semalam, PNB berkata pihaknya yakin langkah membangunkan projek hartanah bercampur Warisan Merdeka bakal menyediakan pulangan pelaburan jangka panjang menguntungkan kepada kumpulan itu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pembabitan PNB dalam projek hartanah yang bakal menjadi mercu tanda terbaru di Kuala Lumpur itu adalah sebahagian usaha kumpulan itu meningkatkan pendapatannya menerusi penerokaan dalam sektor ekonomi menguntungkan.

Hamad Kama Piah turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap projek bangunan 100 tingkat itu akan menyebabkan lebihan penawaran ruang pejabat dan komersial di Kuala Lumpur seperti yang berlaku ketika ini.

Projek yang menempatkan bangunan tertinggi di Malaysia itu akan dibangunkan anak syarikat milik penuh PNB, iaitu PNB Merdeka Ventures membabitkan kos RM5 bilion.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP menambah, negara perlu melabur lebih banyak dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kini hanya pada tahap 0.7 peratus KDNK sedangkan yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan negara maju ia adalah pada tahap 2.5 peratus KDNK.

“Saya bukan minta kita ikuti contoh Korea Selatan yang membelanjakan empat peratus KDNK pada R&D tetapi negara harus melipatgandakan perbelanjaan dalam R&D dan bukannya berbilion-bilion untuk membina bangunan 100 tingkat,” kata beliau.

Lim menjelaskan akhirnya adalah penting kerajaan persekutuan berjaya dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan awam seramai 1.3 juta orang.

“Kita harus memastikan produktiviti dan keberkesanan dapat dipertingkatkan.

“Dasar ekonomi perlu menggalakkan pengusaha bukanlah kroni, memperbanyakkan ‘innovators’ bukanlah Little Napoleons,” katanya lagi.

Lim juga mencadangkan agar belanjawan ini menarik balik pengenaan cukai perkhidmatan yang akan membebankan rakyat sebanyak RM759 juta.

“Macam mana Bajet 2011 berkepentingan rakyat sungguhpun telah memotong duti import, kerajaan masih mengutip lebihan cukai RM97 juta kerana menaikkan cukai perkhidmatan kepada enam peratus ini?” katanya.

Dicatat oleh ELBI RISALAH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.