Friday, August 13, 2010
SEKALI lagi tindakan khianat beberapa Ketua Masyarakat Kaum Anak Negeri Sabah yang bertugas di Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu, tanpa mengikut prosedur Mahkamah Anak Negeri telah memberikan Sijil Anak Negeri kepada mereka yang tidak layak, terbongkar.
Kandungan Notis bersama afidavit berikrar difailkan oleh Mantan Ketua Daerah Sandakan OKK Hassnar Hj Ebrahim, peniaga bumiputra dan seorang aktivis masyarakat, memperlihatkan bahawa kegiatan mengeluarkan Sijil Anak Negeri kepada golongan taukeh berbangsa Cina berada di tahap amat bahaya kerana ianya berupa bencana dan boleh merosakkan masa hadapan serta ekonomi kaum bumiputera di Negeri Sabah.
OKK Hassnar yang memfailkan sendiri permohonan supaya Sijil Anak Negeri yang kononnya telah dikeluarkan kepada penama, Hon Chung Lip, seorang taukeh berbangsa Cina atas sebab lelaki tersebut bukan seorang anak negeri berasal daripada Sabah.
Antara fakta terkandung dalam Afidavit berikrarnya, OKK Hassnar menyatakan beberapa keping tanah yang telah lebih awal dibelinya telah diceroboh oleh lelaki berbangsa Cina tersebut yang juga telah mengambil kesemua geran bagi tanah-tanah yang telah dibeli olehnya itu, dipohon di bawah syarat geran NT, seterusnya dipindahmilik kepada nama HON CHUNG LIP.
Sebagai menyokong permohonan penyemakannya, OKK Hassnar mengeksibitkan beberapa dokumen terutama Sijil Lahir Hon Chung Lip yang mencatatkan keturunan ibu dan bapanya adalah Cina.
Sementara itu, OKK Hassnar juga turut mengeksibitkan satu penghakiman dibuat oleh seorang Hakim daripada Mahkamah Tinggi Sandakan yang menyebut, setelah membicarakan satu kes guaman membabitkan Hon Chung Lip, beliau telah menemui fakta bahawa Hon Chung Lip yang juga bergelar ‘Dato’ bukan seorang Anak Negeri yang layak memiliki tanah di bawah syarat NT.
Nota Prosiding bersama salinan penghakiman oleh Yang Arif Yew Jen Kie, Hakim Mahkamah Tinggi Sandakan, berada dalam simpanan Sabahkini.net, merekodkan bahawa Hon Chung Lip dalam keterangan bersumpah diberikan olehnya sendiri dia lahir di Negara China. Kedua ibu bapanya adalah warga negara China dan walaupun dia bukan seorang Anak Negeri berasal dari Sabah Dato’ tersebut memiliki satu Sijil Anak Negeri bernombor 243/81.
Berikut adalah petikan daripada testimoni Dato’ Hon Chung Lip ketika disoal di Mahkamah Tinggi Sandakan;
Q714 : Referring to page 483 Bundle B. This is your Anak Negeri Certificate?
HON CHUNG LIP: Yes.
Q715 : Were both your parents born in Sabah ?
HON CHUNG LIP: No, both parents were born in China.
Q716 : How then did you get this native certificate ?
HON CHUNG LIP: Through my friend.
Q717 : You would not have had the legal right to be issued with this certificate, is that correct?
HON CHUNG LIP: Correct.
Terjemahan nota prosiding di atas iaitu apabila ditanya bagaimana dia mendapat Sijil Anak Negeri tersebut Dato’ Hon Chung Lip berkata bahawa sijil yang digunapakai olehnya telah diurus dan diberikan kepadanya oleh seorang kawan; membawa maksud dia tidak pernah memohon dan tidak pernah berkunjung ke Mahkamah Anak Negeri.
Sijil anak negeri yang digunakan olehnya untuk memperdaya pejabat tanah adalah dokumen yang diperolehi olehnya melalui cara yang melanggar prosedur Mahkamah Anak Negeri.
OKK Hassnar dipetik berkata kepada Krew Sabahkini.net bahawa sudah tiba masanya isu pemilikan dan penggunaan Sijili Anak Negeri oleh para taukeh yang tidak layak disiasat oleh SPRM kerana Polis, terutama di bawah kepimpinan Pesuruhjaya Polis Sabah sekarang, Datuk Noor Rashid Ibrahim jelas tidak profesional, tidak efektif dalam menangani jenayah penipuan seumpama ini.
“Sejak dahulu lagi, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (Datuk Hajiji) berkata, penggunaan Sijil Anak Negeri Palsu akan dirujuk kepada Polis, namun sejak Noor Rashid menyandang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, tidak ada walau satu kes rampas tanah milik kaum bumiputera Sabah telah diambil tindakan walaupun bukti dikemukannya mencukupi,” tegas OKK Hassnar yang mencemuh polis kerana asyik berkata akan siasat dan ambil tindakan, tetapi sehingga sekarang para taukeh yang secara terang-terangan mengguna Sijil Anak Negeri Palsu masih bebas berkeliaran.
“Faham faham sahajalah,” tambah OKK Hassnar sambil menyerahkan suntingan akhbar Daily Express bertajuk ‘Sabah Was Heaven For Many Retired Cops’.
Oleh: ZIELAH A (sabahkini)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.