Walaupun bukan dicetuskan oleh PAS, cakap-cakap mengenai gabungan UMNO-PAS, atau lebih tepat lagi pelawaan UMNO agar PAS menyertai parti tersebut dalam satu bentuk gabungan politik kembali diperkatakan.
Menurut logik pasaran para pencacai cerita, kononnya PAS perlu menerima pelawaan UMNO itu demi perpaduan Melayu. Mengepalai kumpulan pencacai ini adalah seorang mufti yang mengangkat dirinya sendiri sebagai pemikir sosio-politik dan berkemungkinan besar bakal dijadikan, apa yang dianggap oleh puak UMNO sebagai orang-tengah dalam apa yang dipersepsikan oleh parti berkenaan sebagai usaha menggabungkan parti mereka dan PAS
Menurut Tan Sri Harussani Zakaria, mufti yang dimaksudkan itu, sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar organ tak rasmi UMNO-BN beberapa hari lalu: “Kalau kita terus berpecah-belah, kita akan terima kekalahan (pada PRU-13), itu sahaja. Dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru."Hakikat Harussani dipilih merasmikan dan bercakap hal tersebut di Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri baru-baru ini sudah tentulah merupakan satu perkara ajaib bin pelik. Siapakah beliau mahu bercakap tentang perpaduan orang politik? Apakah seorang yang sekadar berjawatan (tidak semestinya bertaraf dalam erti kata sebenarnya) seorang mufti layak bercakap hal-hal seperti ini? Kalau mahu sangat campur tangan hal politik, berhenti sahaja jadi pegawai kerajaan dan jadi ahli politik. Barulah boleh bercakap tentang politik kepartian.
Sementara umum mungkin boleh menerima analisis sahibul samahah tentang prospek kekalahan yang bakal dialami UMNO-BN pada PRU-13 kelak, namun tidak jelas apakah perpecahan yang dimaksudkan oleh beliau itu.
Sekiranya ia bermaksud perpecahan orang Melayu, maka ini tidak mungkin berlaku, kerana sejarah telah menunjukkan orang Melayu, terutama dalam apa sahaja yang membabitkan soal mempertahankan agama Islam dan juga hak, mereka tetap bersatu walaupun kesatuan tersebut tidak semestinya dalam bentuk ketara atau melibatkan fahaman politik dan kecenderungan menganggotai parti politik berbeza.
Dari dulu hingga kini kesatuan dan ukhwah orang Melayu di negara ini sentiasa terpelihara walaupun, lebih lazim dari tidak, ia tidak dizahirkan secara eksplisit. Memang benar terdapat perbahalan dan kejadian tegang urat di antara orang PAS dan orang UMNO tentang siapa yang lebih benar dan siapa yang lebih Islam dan sebagainya. Tetapi kita tidak melihat mereka sentiasa dalam keadaan bertumbuk atau bersingsing lengan di antara satu sama lain.
Dan lebih lazim dari tidak, kekacauan yang berlaku di antara dua pihak ini lebih banyak dicetus dan diprovokasikan oleh UMNO sendiri yang berselindung atau menggunakan kerajaan yang mereka kuasai untuk mengekang PAS. Kedudukan, populariti dan keikhlasan PAS yang mengancam kedudukan dan populariti UMNO dan juga ada kalanya kerap menelanjangkan kepincangan UMNO mengenai perjuangan orang Melayu dan Islam diterjemahkan oleh UMNO yang menguasai kerjaaan sebagai ancaman terhadap kerajaan.
Begitupun di zaman teknologi maklumat ini di mana pelbagai maklumat disalurkan oleh pelbagai laman web di internet dan disebarkan seterusnya menerusi pelbagai aplikasi ICT dan juga dicetak oleh mesin cetak berharga kurang dari RM100 dan disebarkan ke seluruh ceruk kampung terutama kawasan yang tidak mempunyak akses internet, the art of war ala-UMNO ini sudah layak disimpan di dalam muzium (melainkan sekiranya kerajaan UMNO-BN meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar mesin cetak komputer semurah RM100 ini juga tertakluk kepada pemilikan permit).
Walaupun tidak dizahirkan secara jelas, UMNO begitu faham betapa mereka sudah kehabisan segala strategi, sudah ketandusan segala silap-mata, sudah tidak boleh lagi menggunakan jabatan kerajaan sama ada yang bersabit secara langsung dengan pilihanraya atau pun tidak tanpa menjolok mata semua pihak termasuk pemerhati luar negara.
Untuk memburukkan lagi keadaan, kemelut dalaman UMNO, terutama yang melibatkan UMNO Selangor, Terengganu dan Kedah semakin kelihatan sukar dibendung apabila pihak-pihak yang mahukan si anu dan si anu menjadi ketua atau timbalan ketua kerana ada si anu lain yang takut kehilangan pencalonan piliharaya atau berhasrat menjadi calon tetapi takut tidak dipilih sekiranya si anu yang disokong tidak terpilih semakin menunjukkan petanda akan menjadi krisis dalaman besar parti.
Hal ini sudah menjadi sebahagian daripada ciri politik UMNO sejak bermulanya masa. Kalau dulu ia hanyalah merupakan ribut dalam sebutir cawan teh, hari ini ia semakin cenderung bertukar menjadi angin puting beliung yang berpotensi mensusutkan seluruh UMNO sebagai puing-puing politik yang hanya bakal di kenang dalam sejarah.
Selain daripada politics of fear atau politik ketakutan kononnya Melayu akan kehilangan kuasa atau sebagaimana yang disebut oleh jurucakap baru parti tersebut, “dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru,” satu-satunya lagu lama yang masih diputarkan sebagai usaha terdesak mendapatkan sokongan Melayu (atau kali ini sokongan agar PAS menerima pelawaan UMNO), tidaklah begitu jelas sekiranya UMNO mempunyai tujuan lain.
Namun, apa yang jelas ialah orang Melayu rata-rata menyokong dan mendokong usaha pengukuhan perpaduan Melayu tidak kira sama ada di antara PAS dan UMNO atau dengan apa-apa sahaja badan, persatuan, organisasi dan sebagainya selagi ia tidak berbau politik dan apatah lagi di atas niat semata-mata menyelamatkan sesebuah organisasi politik yang hampir karam akibat daripada budaya yang dipupuk dan segala kemungkaran yang dilakukan oleh organisasi itu sendiri.
Sekiranya sesetengah orang Melayu percaya UMNO masih relevan maka hanya ada satu cara sahaja yang tinggal bagi menyelematkan parti tersebut – iaitu ia perlu tewas dan kehilangan sama sekali kuasa memerintah terlebih dahulu sebelum sebarang reformasi lebih bermakna dapat dilaksanakan. Sekiranya tidak, reformasi hanya tinggal sebagai retorik politik sahaja.
Dan sementara UMNO mengadah dan insaf kesilapan masa lalu dan cuba menawan kembali hati orang Melayu dengan cara baru yang lebih beretika, setidak-tidaknya pegawai kerajaan dan para pencacai yang melukut di tepi gantang tidak lagi menyibukkan media arus perdana dengan omong-omong yang mengelirukan orang Melayu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.