Mana mungkin boleh berbaik PAS dengan Umno, kerana banyak perkara yang Umno/kerajaan BN buat terhadap PAS/kerajaan PAS dan orang PAS yang bercanggah dengan hasrat berbaik-baik, antaranya mendiskriminasikan kerajaaan negeri Pakatan Rakyat.
Sehingga sampai satu peringkat, menggunakan pelbagai agensi di bawah kerajaan pusat untuk mengenakan tekanan dan menyekat beberapa kemudahan serta menggagalkan rancangan kerajaan negeri. Pengalaman sebegini cukup dirasai dan secara berterusan dialami oleh PAS di Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir negeri.
Kes diskriminasi
Di antara kes-kes diskriminasi tersebut ialah:
Melarang sekolah di bawah kerajaan pusat daripada menyertai sebarang kejohanan dan pertandingan anjuran kerjaaan negeri. Perkembangan terbaru antaranya tidak membenarkan sekolah-sekolah menengah menyertai peseta wau antarabangsa anjuran Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hasaan yang diadakan di Pantai Irama Bachok pada pertengahan Julai 2010.
Membatalkan kebenaran pihak Sekolah Menengah Chung Hwa Kota Bharu kepada kerjaaan negeri Kelantan untuk menggunakan gelanggang bola keranjang semasa pengajuran Kejohanan Bola Tampar peringkat negeri di bawah kelolaan ahli exco Abdul Fattah Mahmood.
Menubuh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang disifatkan sebagai kerajaan dalam kerajaan didapati telah merampas hak kerajaan negeri Kelantan dari segi menerima agihan wang pembangunan yang dipertuntukkan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) sejak daripada RMK6 sampailah sekarang memasuki RMK10.
Lanjutan penubuhan JPP di Kelantan, terbaru pula (pada bulan Mei lalu) ialah satu lagi agensi di bawah telunjuk pemimpin Umno telah ditubuhkan semula, iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP). Langkah tersebut merupakan kelangsungan daripada pewujudan jawatan Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) bagi mengantikan Penghulu Mukim selepas Umno kalah di Kelantan tahun 1990.
JKKP adalah sebenarnya agen Umno yang berselindung di balik tabir JPP yang berperanan untuk menjadi mata telinga dan pengawas serta sekaligus sebagai agensi kerajaan pusat yang erat dengan pemimpin dan cawangan Umno peringkat akar umbi. Secara tersirat ia adalah wadah bagi pemimpin Umno untuk demand sesuatu demi survival cawangan Umno yang rata-rata hampir ranap di Kelantan.
Menyalurkan pelbagai projek pembangunan kepada rakyat, tetapi diagihkan mengikut selera politik Umno. Sehingga ramai kalangan rakyat yang bukan menyokong Barisan Nasional telah dinafikan hak menerima agihan tersebut. Misalnya, baja padi subsidi telah dicap dengan lambang dacing kemudian diagih-agihkan kepada ahli Persatuan Peladang yang merupakan penyokong Umno.
Semasa bancian, semua ahli persatuan dinamakan sebagai penerima, tetapi apabila pihak PPM menyaring nama-nama penerima dan mereka yang bukan penyokong Umno dinafikan. Ia berbeza dengan pendekatan kerajaan negeri Kelantan yang menyediakan baja padi berharga RM3 yang diagihkan kepada semua petani asalkan membayar pada harga ditetapkan.
Melengah-lengahkan penyaluran geran kewangan tahunan yang sepatutnya dibayar dua kali setahun, tetapi dilewatkan pembayaran dan dibayar secara sekaligus pada penghujung tahun. Amalan ini berlaku sampai sekarang, terutama dari segi penyaluran geran tahunan kepada majlis-majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
Cara melengah-lengahkan pembayaran itu juga berlaku ke atas pemberian geran wajib yang kepada Kumpulan Wang Rezab Negeri seperti mana termaktub di dalam Perkara 109 dan Perkara 110, Perlembagaan Persekutuan: geran perkapita penduduk, geran penyelenggaraan jalan negeri dan geran pembangunan.
Mempolitikkan bantuan pelajar miskin apabila Kementerian Pendidikan melalui sekolah-sekolahnya dipaksa oleh kepimpinan Umno supaya melaksanakan agihan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada pelajar yang terpilih mengikut senarai Umno. Di samping itu, borang permohonannya pula hendaklah disahkan oleh PPM. Sekiranya ada pelajar yang ibu bapa mereka bukan penyokong Umno, maka ibu bapa tersebut dikehendaki bersumpah di hadapan PPM untuk menyokong Umno di dalam pilihan raya.
Sementara perkembangan terbaru pula, satu lagi bantuan pelajaran untuk pelajar sekolah rendah dan menengah atas nama ‘wang ehsan’ turut disalurkan. Cara penyalurannya juga sama dengan KWAPM. Apa yang jelas setiap majlis penyampaiannya bantuan itu akan dimulakan dengan kempen politik Umno oleh ketua bahagian atau mana-mana menteri yang kebetulan hadir. Sudah tentu, kempen itu dipenuhi dengan sindiran dan fitnah terhadap pemimpin dan penyokong PAS serta kerajaan negeri pimpinan.
Paling besar sikap berbalah Umno terhadap umat Islam dan seluruh rakyat Kelantan ialah tidak membayar wang royalti petroleum kepada kerajaan negeri. Semenjak perjanjian dibuat antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1975, wang royalti tidak pernah berbayar. Ia adalah di bawah kerajaan pusat yang dikawal oleh Umno. Justeru Presiden Umno selaku Perdana Menteri telah mengumumkan secara rasmi (kenyataan yang dianggap salah) di parlimen pada 4 November 2009 bahawa Kelantan tiada hak menerima wang royalti itu.
Pihak kerajaan negeri Kelantan pula telah mengutus surat secara rasmi mohon wang royalti itu dibayar. Sehingga kini surat itu tidak dijawab. Malah beberapa pemimpin Umno Kelantan menafikan langsung hak rakyat Kelantan ke atas hasil petroleum di perut bumi perairan Kelantan. Apa yang jelas telaga minyak sudah dikeluarkan hasil, jutaan ringgit sudah dikaut, wang royalti tidak dibayar, tiba-tiba kerajaan pusat akan bayar wang ehsan sebanyak RM40 juta.
Sikap menganaktiri Kelantan adalah cara Umno berkeluarga dengan rakyat Kelantan. Saban hari mereka berjanji untuk membantu rakyat dan setiap kali pilihan raya pula mereka ulangi janji-janji yang tertunggak, malah janji baru terluah sampai berbuih mulut. Hasilnya tidak kurang tujuh projek besar tergendala kerana salah urus dan tertangguh kerana mainan politik adu-domba sesama pemimpin Umno.
Antara projek-projek itu ialah belum buat apa-apa lagi lebuh raya Gua Musang-Kuala Krai, siap separuh jalan jalan Simpang Pulai-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Berang, Universiti Malaysia Kelantan belum muncul janji di Bachok dan Jeli tetapi yang beroperasi dalam terbatuk-batuk di Pengkalan Chepa, pelebaran lapangan terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra, 20 buah sekolah seluruh Kelantan dan pembinaan Projek Terminal Makanan Negara (TEMAM) di Tunjong.
Siaran televisyen dan akhbar perdana milik kerajaan Umno-Barisan Nasional sering kali membuat liputan berita yang berat sebelah, berbau fitnah dan provaktif. Di samping sengaja melakonkan sesuatu peristiwa (seperti isu bekalan air, kedaifan hidup rakyat dan kemudahan asas rakyat yang terabai) yang kononnya rakyat tidak dipedulikan dan segala kemudahan rakyat tidak dilayan dengan baik.
Paling mendukacitakan lagi, pihak berkuasa Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pernah melarang guru-guru daripada memakai kopiah semasa bertugas. Ia dikatakan berpunca daripada desakan pemimpin Umno yang kononnya tidak mahu melihat guru berkopiah di sekolah-sekolah kerana ia menyamai dengan budaya berkopiah kalangan pemimpin PAS. Rentetan larangan itu, seterusnya semua sekolah agama-Arab telah disekat bantuan pelajaran, dan mengenakan syarat mesti mendaftar di bawah Kementerian Pendidikan barulah bantuan disalurkan.
Masih segar dalam ingatan, lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib ke Kelantan telah tidak mahu bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz. Ia terbukti apabila pihak Red Carpet yang mengurus Kelantan Fiesta telah menolak kehadiran Menteri Besar di dalam majlis perasmiannya yang menyaksikan kegagalan majlis tersebut. Tindakan itu dilihat sebagai manifestasi sikap berbalah bukannya mahu berbaik-baik.
Sementara yang terbaru, kehadiran lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin ke jajahan Jeli dan Tanah Merah yang kononnya mahu berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan sebagai respon kepada kesediaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjumpa beliau sehari sebelum lawatan berlangsung. Namun, respon itu dilihat berlaku secara spontan adalah suatu keadaan terdesak kerana tidak hubungan rasmi antara pejabat Timbalan Perdana Menteri dengan Menteri Besar. Katanya ia sekadar diuruskan melalui pihak ketiga yang memang tidak sesuai dan di luar nilai berbaik-baik.
Bercanggah dengan sunah Nabi
Sehubungan itu, kesemua sikap ingin berbaik dari pihak Umno itu adalah tersirat keadaan di mana pada masa sama terjemla sikap berbalah dengan PAS. Maka ia merupakan sandiwara pemimpin Umno yang kononnya cintakan perpaduan. Sekaligus ia adalah bercanggah dengan teori perpaduan sejagat yang mengkehendaki persefahaman dan penyatuan sikap serta tujuan sebagai teras ke arah termeterai perpaduan sejati.
Sebagaimana sunah nabi Muhammad taktkala berhijrah dari Mekah ke Madinah, lalu dianjurkan perpaduan umah antara golongan Mekah dengan golongan Madinah. Bukti perpaduan adalah menerima Nabi Muhammad selaku pemimpin dan termeterai Piagam Madinah yang menyatukan kesemuanya di atas landasan Islam. Maka, sikap diskriminasi pemimpin Umno ke atas PAS dan Pakatan Rakyat masa kini adalah bercanggah dengan sunah Nabi Muhammad SAW.
Paling lekeh untuk dilihat sebagai praktik kepada teori perpaduan ialah realiti kerjasama kerajaan campuran PAS-Perikatan tahun 1971-1974 di Kelantan. Perpaduan itu terjadi atas dorongan dan nilai political will antara pemimpin PAS dan Umno yang mahu mengukuhkan ikatan umat Islam ketika berdepan dengan kesan rusuhan kaum13 Mei 1969.
Maka, teori dan praktik perpaduan itu tidak terbayang di dalam suasana ajakan perpaduan PAS-Umno pada hari ini. Tiada asas komitmen pemimpin Umno untuk meninggalkan dasar sekular dan pragmatis ke arah menerima dasar Islam. Sedangkan kesediaan menerima Islam telah diungkap sejak sekian lama olerh PAS kerana PAS memperjuankan Islam. Justeru teori perpaduan sahaja yang wujud tetapi praktik perpaduan sebenarnya tidak timbul di dalam parti Umno.
Persoalan untuk umat Islam
Renungi dan fahami beberapa persoalan untuk umat Islam. Apakah mungkin bagi Umno, ia berteori kemudian mempraktikkan teori perpaduan itu dengan cara keikhlasan sejati? Bagaimanakah pula rupanya perpaduan yang berkonsepkan keikhlasan sejati? Secara mudah mungkin boleh diterima idea seorang blogger (kalam perantau), yang mencadangkan langkah rasional ke arah berbaik-baik antara PAS dengan Umno ialah dengan memulakan kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
Kerjasama kerajaan itu boleh berlaku kalangan top level dalam kerajaan dan tidak semestinya melibatkan PerdanaMenteri dengan Menteri Besar ataukah padan sekadar Datuk Seri Utama Dr. Rais dengan ahli exco kerajaan negeri, Dr. Mohamed Fadli. Pendekatan perpaduan kerajaan-kerajaan itu sudah tentu akan dapat meredakan banyak permasalahan berbangkit selama ini. Sanggupkah pemimpin Umno?
Apa pun, perpaduan sejati hanya boleh dicapai setelah penghayatan dan daya istiqamah tertinggi kalangan pemimpin, iaitu berpaksikan prinsip perpaduan Islam yang telah dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW. Saya yakin, pemimpin Umno belum bersedia untuk mengikut sunah Nabi Muhammad SAW!
Harakahdaily/-
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.