Followers

Saturday, July 17, 2010

ANWAR IBRAHIM: INSAN PILIHAN UJIAN TUHAN – BAHAGIAN 1- Oleh Marhaintua

Anwar Ibrahim: Insan Pilihan Ujian Tuhan

Kali pertama saya mendengar berita Dato' Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding di Permatang Pauh, tanpa saya sedari bergelinangan air mata mengalir di pipi. Orang yang melihat memang tidak merasa ganjil dengan apa yang berlaku kerana ketika itu saya sedang terlantar di atas katil di Hospital Kulim.

Itulah titisan air mata yang melambangkan kelegaan di hati tua ini. Terus ingatan saya berhijrah jauh kepada seorang sahabat karib yang kini masih mengendalikan Laman M@rhaen. Dialah teman setia saya yang menyiarkan tulisan saya di laman web. Kamilah golongan awal penulis reformasi. Memang tidak ramai yang gigih menulis di laman web ketika itu kerana antaranya yang telah dipujuk untuk berpaling tadah dan menulis untuk lidah Umno. Ada yang mendapat tawaran menerima biasiswa kerajaan untuk belajar di luar negara.
Dengan penulisan ini saya salut hormat kepada Webmaster Laman M@rhaen yang masih gigih dengan tugas sukarelanya, walaupun terpaksa berkorban sebahagian gaji bulanan ke arah perjuangan itu.

Kini semakin ramai penulis di laman web dan blog sendiri. MEREKA menulis dengan pelbagai cara dan gaya.

Majoriti mereka menulis kerana mahu memberi maklumat lanjut kepada para pembaca yang sudah begitu lama ditipu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan maklumat songsang penuh penipuan bahawa hanya BN yang mampu menegakkan kerajaan demokrasi yang stabil dan menjamin kesejahteraan rakyat jelata.

Sesungguhnya kerja menyalurkan maklumat songsang kepada rakyat jelata bermula sejak tahun 1969 lagi. Ini merupakan kesinambungan kerja-kerja propaganda yang dilaksanakan oleh penjajah British semasa mereka mengawal ketuanan Raja-raja Melayu. Saya pernah menulis lebih sembilan tahun dahulu bagaimana British menggunakan kumpulan SB (Cawangan Khas polis) khas untuk mengawasi pergerakan orang Melayu di kampung dan orang Cina di perkampungan baru serta di kawasan peladangan.

Antara talibarut British di zaman dahulu adalah Benggali penjual roti dan mamak rojak di kampung, penjual susu lembu dan guru-guru daripada India yang mengajar di bandar-bandar. Kebanyakan mereka itu adalah bekas tentera BIA ataupun British India Army. Proses asimilasi pun terjalin di mana pendatang itu mengahwini wanita Melayu dan mendapat tanah percuma daripada British sebagai pampasan kerja-kerja talibarut mereka.

Begitulah hebatnya perjalanan hidup kelompok ini ketika itu sehinggakan anak yang lahir tidak sanggup mengaku yang dia adalah anak Melayu. Kerana lebih sedia bergelar Indian Muslim. Itu yang terjadi kepada seorang insan yang kini bergelar TKT Mahathir. Ayah beliau adalah seorang India yang masuk Islam dan mengahwini seorang wanita Melayu. Mahathir membesar di persekitaran Melayu tetapi masih mahu dirinya dikenali sebagai Indian Muslim kelahiran Malaysia.

Tentunya kalau pendirian Mahathir itu diambil kira demikian, dia tidak layak menjadi anggota UMNO, tetapi setakat menjadi ahli KIMA. Jika andaian ini diterima pakai, Datuk Arif Shah yang menjadi calon BN menentang Anwar Ibrahim lagi tidak layak menjadi ahli UMNO kerana dia bukannya ada darah Melayu. Tetapi siapa yang peduli? Bagi pelajar di UiTM mereka dipesongkan dengan maklumat songsang oleh BN bahawa UiTM adalah institusi yang hanya patut dikhususkan untuk orang Melayu.

Demikianlah perjalanan sejarah Malaysia selepas kekalahan teruk Parti Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman sehingga beliau melepaskan jawatannya untuk diambil alih oleh Tun Abdul Razak Hussein. Akan tetapi kejatuhan Tunku Abdul Rahman bukanlah berlaku secara bersahaja yang boleh dikatakan pergolakan evolusi. Sesungguhnya ia satu revolusi kecil yang dijalankan oleh hanya segelintir manusia yang membodek Tun Abdul Razak. Tenaga pemikir kelompok ini adalah di bawah pimpinan seorang radikal Melayu yang bernama Dr. Mahathir.

Saya pernah menulis secara imbasan peristiwa ini hasil perbincangan dengan Tan Sri Abdul Samad Ismail, bekas Ketua Pengarang kumpulan NST. Beliau sudah uzur sekarang ini dan tidak lagi dikunjungi oleh sesiapa. Sesiapa yang ada masa eloklah luangkan masa menziarahi beliau dan bersembang dengannya di rumah lama beliau di Seksyen 16 Petaling Jaya. Cara paling mudah menghubungi beliau ialah melalui isterinya, pemilik kedai bunga di Damansara Specialists Hospital.

Pak Samad merupakan seorang pengasas parti PAP (People’s Action Party) Singapura dahulu, bersama dengan Menteri Mentor Lee Kuan Yew. Dia akan menceritakan pembabitan segelintir manusia Melayu yang diketuai Mahathir untuk “menguasai” Tun Abdul Razak. Ketika itu, turut berkhidmat ialah seorang anak Melayu Kelantan lulusan Maktab Melayu Kuala Kangsar yang lulus MCE (bersamaan SPM) dengan Gred Tiga. Pembantu peribadi ini kemudiannya naik menjadi timbalan menteri dan membuka blognya di mana dia mewar-warkan dirinya sebagai bekas penasihat kepada Tun Razak sedangkan ketika dia berkhidmat dengan Tun usianya baru 23 tahun dan pembabitan Mahathir membodek Tun Abdul Razak telah disokong padu oleh satu kumpulan Melayu yang digelar “Tiga Abdul”.

Sejarah telah menentukan Mahathir naik mencengkam kuasa melalui putar belit dan manipulasi orang lain. Ini semakin menyerlah bila dia mahu singkirkan Tun Hussein Onn, Tun Musa Hitam dan Tun Abdul Ghafar Baba.

Mahathir sanggup lakukan apa sahaja untuk menentukan dia tetap terus mencengkam kuasa. Dia tidak peduli apakah tindakannya itu membawa kesan ke atas masa depan negara, khususnya orang Melayu. Dia sanggup berbohong, menipu dan membunuh hanya untuk terus berkuasa. Pernah satu ketika selepas Anwar disumbatnya ke dalam penjara, Mahathir telah merancang pergerakan Al-Maunah semata-mata mahukan Majlis Raja-raja memberi perkenan agar perkataan ISLAM tidak boleh digunakan oleh mana-mana parti politik. Mujur Majlis Raja-raja (MRR) tidak bersetuju.. Beberapa tahun sebelum itu dia disebut-sebut terlibat dengan pembunuhan Hamid Gul di Kelantan dan Ibrahim Libya di Baling (sila baca kisah ini dalam tulisan saya dalam siri RAW).

Kemuncak kegilaan Mahathir menggunakan tipu helah dan kekerasan untuk menyingkirkan musuh politiknya berlaku pada 1998 apabila dia mengnyahkan DSAI daripada persada politik negara dan menghumbankannya ke penjara. Anwar telah dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno dan sekali gus sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Saya telah melihat proses menghina, mengaibkan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai satu proses yang sungguh terancang dilakukan oleh TKT Mahathir dengan kerjasama banyak pihak. Terlalu ramai orang yang terlibat sebenarnya sehinggakan rakyat jelata tidak tahu dan tidak mungkin akan tahu siapakah mereka itu sebenarnya. Ada yang sudah pergi menemui Illahi.

Akan tetapi untuk faedah sejarah eloklah kita catatan nama-nama besar mereka yang telah terlibat dan kalau pun nama tidak muncul di sini tidak bermakna orang ini tidak terlibat:

Mokhtar Abdullah (Bekas Peguam Negara)
Abdul Rahim Noor (Bekas Ketua Polis Negara)
Dr. Qistina Majid - seorang doktor gigi berstatus janda.
Megat Junid – seorang bekas menteri kabinet yang baru sahaja pulang ke Rahmatullah. Semasa hidupnya beliau adalah orang suruhan Mahathir nombor wahid. Beliau juga pernah dikaitkan dengan kisah pembunuhan Mustakizah. Hingga ke hari ini pembunuh kejam wanita itu masih tidak dapat dikesan polis.

Aziz Samsuddin - seorang bekas menteri kabinet yang merupakan kekasih Dr Qistina satu ketika dahulu. Sejurus DSAI disumbat ke dalam penjara, Aziz mengalami kemalangan jalan raya pada hari lebaran Syawal yang mengorbankan isterinya. Rentetan kemalangan itu ada sekeping cek bernilai ribuan ringgit yang tercicir dan dikutip oleh dua orang anak Melayu (Mat Rempit mungkin). Cek yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat air suling itu telah ditunaikan oleh dua orang malaun tersebut. Sehingga hari ini tidak ada kisah perbicaraan mahkamah yang sengaja ditunda beberapa kali.

Musa Hassan – Kini berjawatan Ketua Polis Negara. Beliaulah Ketua Siasatan Kes Sodomi Pertama terhadap DSAI. Siasatan Musa Hassan mendapati kejadian liwat berlaku di sebuah apartment (Tivoli Apartment) ketika apartment itu belum siap dibina lagi. (Terpaksalah mereka mengubahsuai tarikh kejadian beberapa kali sehingga satu tarikh apartment itu sudah siap). Bahan bukti yang paling besar dikemukakan oleh Musa Hassan ialah sebuah tilam besar yang bertompok air mani (tiga belas tompok kononnya) milik Anwar semasa beliau meliwat bekas pemandu isteri beliau yang bernama Azizan Abu Bakar.

Abdul Ghani Patail yang kini menjadi Peguam Negara. Dalam Kes Liwat Pertama dia memainkan peranan Ketua Pasukan Pendakwaraya. Setakat ini si penyamun ini masih kelihatan bersih daripada badi kes liwat 1. Tetapi inilah penyamun yang mengemukakan cadangan hukuman mati ke atas Nallakaruppan, bekas kawan bermain tenis Anwar. Dia kelihatan masih gagah walaupun satu ketika dahulu ada desas-desus dia membunuh seorang peguam wanita yang menjadi kekasihnya yang ditemui mati lemas di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Abdul Khalid Jefri. Beliau adalah bekas wartawan sukan Kumpulan Utusan Melayu dan merupakan orang-orang yang mula-mula mencetuskan kemelut menjatuhkan DSAI. Ini bermula dengan buku “50 Dalil Kenapa DSAI tidak boleh menjadi Perdana Menteri”. Buku ini telah diselitkan dalam beg cenderahati untuk setiap perwakilan yang datang ke Persidangan UMNO. Bagaimana mungkin buku ini mudah terselit dalam beg 2,000 perwakilan?

Abdul Khalid Jefri pulang ke Rahmatullah setelah mahkamah menjatuhkan hukum beliau perlu membayar gantirugi malu kepada DSAI...

Abdul Rahim Tamby Cik. Bekas Ketua Menteri Melaka dan bekas Ketua Pemuda UMNO. Orang suka panggil nama dia sebagai Rahim Tamby Tak Kecik. Dia terlibat dengan penerbitan buku “50 Dalil Kenapa DSAI tidak boleh jadi Perdana Menteri”. Walaupun dia menafikannya semasa Persidangan UMNO tetapi kerja politik dia terus terhumban ke jurang aib selepas itu. Lebih-lebih lagi selepas dia dikaitkan dengan meniduri seorang gadis sunti di Melaka sehingga menghasilkan seorang anak. Yang peliknya dia tidak mengaku, sebaliknya tujuh oarng Mat Rempit telah tampil di mahkamah mengaku mereka pernah meniduri Haryati, gadis yang melahirkan anak itu. Kes menjadi pelik kerana polis tidak pula mengambil contoh DNA Rahim untuk diperiksa, dan tidak juga mengambil DNA budak-budak Mat Rempit yang mengaku itu untuk menentukan siapa antara mereka yang menyuntik baka pada Haryati.

Kes Haryati yang hamil di luar nikah telah menjadi isu sensasi di Melaka pada satu masa dahulu apabila nenek Haryati mengemukakan pelbagai dakwaan dan tuntutan. Malangnya tuntutan si nenek tidak didengar oleh UMNO walaupun mendapat sokongan daripada seorang wakil rakyat DAP bernama Lim Guan Eng. Hasilnya Lim Guan Eng telah dituduh memfitnah dan meringkuk dalam penjara dan apabila keluar tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya untuk satu tempoh selama empat tahun. Kini Lim guan Eng adalah Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ummi Hafilda. Beliau merupakan primadona kes Liwat I. Dia adalah adik kepada YB Azmin Ali seorang Naib Presiden PKR dan kakak kepada Azwan Ali seorang selebriti TV yang perasaan dialah satu-satunya personaliti hiburan tanah air. Ummi gilakan Anwar dan kalau boleh sanggup ditiduri oleh Anwar, tetapi apakan daya walaupun dia mengaku secara bersumpah di mahkamah yang dia masih gadis dara sunti.

Pada waktu yang sama Ummi membenci abangnya Azmin yang tidak mahu membantu dia rapat dengan Anwar kerana tujuan Ummi ialah mendapatkan kontrak lumayan untuk diagihkannya kepada subkontraktor Cina.

Oleh kerana terlalu ‘frust’ dia buat surat terus kepada TKT Mahathir dengan dakwaan bahawa Anwar telah bersekedudukan dengan isteri Azmin sehingga kakak iparnya melahirkan anak. Tetapi, pemeriksaan DNA mengesahkan bahawa si anak memang anak Azmin Ali.

Perbuatan terkutuk Ummi Hafilda telah menaikkan amarah ayahnya sehinggakan Pak Ali bertindak tidak mengaku beliau anaknya beberapa bulan sebelum Pak Ali menghembuskan nafas terakhir.

Pengakuan beliau sebagai seorang gadis sunti telah dilondehkan di mahkamah oleh seorang bumiputra Sarawak bernama Baginda yang mengaku telah meniduri Ummi di London selama dua minggu. Khabarnya Ummi sanggup beri pampasan kepada Baginda untuk menceraikan isterinya dan berkahwin dengan Ummi.

DR. MUNAWAR ANEES, TENGKU ADNA, SABARUDIN CHIK DLL..

- marhaintua - 23.08.2008
(Bahagian 1)

ANWAR IBRAHIM: INSAN PILIHAN UJIAN TUHAN – BAHAGIAN 2

Dr. Munawar Anees. Beliau adalah penulis ucapan Anwar satu ketika dahulu. Beliau adalah warga Pakistan dan menetap di Amerika. Isterinya seorang warga Algeria yang mendapat kerakyatan Peranchis. Anees telah ditangkap dan dituduh oleh polis membiarkan dirinya diliwat oleh DSAI. Dr. Anees berusia 51 tahun ketika itu. Untuk megadakan bukti, dubur Anees telah dijolok dan digerudi dengan belantan polis sebagai bukti dia telah diliwat. Hasilnya dia mengalami trauma dan hampir maut di hospital. Tekanan dunia luar membolehkan Anees dibebaskan untuk mendapat rawatan di Amerika.

Apabila beliau dibebaskan Dr. Anees telah menjelajah bandaraya besar merata dunia dan menulis di makalah tersohor dunia mengenai kes liwat yang telah dituduh ke atasnya. Pertubuhan Islam sedunia di merata tempat telah menyiarkan tulisan Anees yang mengatakan betapa TKT Mahathir telah menggunakan seluruh institusi kerajaan untuk mengaib, menyiksa dan memenjarakan Anwar Ibrahim.

Kesan usaha Anees yang gigih itu menjadikan dunia sedar betapa azabnya yang telah ditimpa ke atas DSAI. Yang lebih penting lagi, dunia terkejut beruk mengetahui di sebalik retorik dan cakap celupar terhadap barat, dia sebenarnya adalah seorang diktator di negara sendiri. Hingga ke hari ini Anwar menerima pelbagai tawaran daripada ketua negara luar, sedangkan Mahathir dicemuh dan dibiarkan hidup merempat di negara sendiri laksana seekor anjing kurap sahaja.

Kini Mahathir menanti penuh debar hasil Pilihan Raya Kecil di Permatang Pauh. Dia tidak mahu DSAI menang kerana dia tahu kalau DSAI menang, kemungkinan besar kerajaan pusat akan bertukar tangan, dan masa depan TKT Mahathir akan tergugat. Saya fikir perkara pertama yang harus dilakukan DSAI apabila memegang kuasa kerajaan pusat ialah menutup Yayasan Perdana yang kini menjadi sarang propaganda Mahathir di mana semua pegawainya adalah bekas pembodek beliau dalam kerajaan dahulu dan kini menerima gaji lumayan yang berlipat kali ganda. Saya sudah lama mencadangkan ditutup sahaja Yayasan Perdana itu. Kalau Mahathir mahu menulis biarlah dia menulis di rumah kediamannya dan kalau dia mahukan pembantu bolehlah diberikan sedikit gratuiti kepada mereka.

tengku Adnan Mansur. Dia ini kini masih menjadi Anggota Parlimen. Satu ketika dahulu dia adalah Setiausaha Kerja UMNO semasa kerja-kerja menyelitkan buku dalil itu dilaksanakan. Pangkat diraja yang digunakannya itu adalah melalui proses mahkamah setelah dia meyakinkan mahkamah bahawa dia dan ayahnya adalah berketurunan Sultan Melaka. Mujur juga TKT Mahathir sudah hilang kuasa. Mana tahu kalau masih berkuasa dia tabalkan Adnan menjadi Sultan Melaka? Kalau Mahathir masih berkuasa mungkin juga seorang anak mamak yang ada Shah pada namanya dan menjadi seorang Naib Canselor sebuah universiti membuat pengakuan mahkamah yang dia juga berketurunan raja Melaka. Tetapi kalau dilihat pada peranannya memesongkan pelajar Melayu di universiti beliau itu, saya fikir dia ini adalah berketurunan Bendahara Mandaliar Melaka.

Sabaruddin Chik. Dia menjadi Setiausaha Agung UMNO yang paling lemah kuasanya. Kerana itu Adnan Mansor boleh menunjukkan kukunya. Kini Sabaruddin Chik disebut-sebut selalu berehat di sebelah mesin dialisis di rumahnya.

Azizan Abu Bakar. Bekas pemandu DSW Azizah, isteri kepada DSAI. Beliau kononnya telah diliwat oleh DSAI di Tivoli Villa semasa apartment itu belum siap lagi. Yang anehnya doktor yang memeriksa dubur Azizan tidak dapat sebarang kesan dubur itu telah dijolok oleh benda keras. Malahan Azizan sendiri sebanyak tiga kali mengaku dia tidak pernah diliwat oleh DSAI.

Hasil kes ini Azizan diberikan jawatan pengarah syarikat dengan kereta mewah sekali. Yang bagusnya dengan Azizan, dia sanggup diheret ke mahkamah dan setiap hari melihat polis mengusung satu tilam tebal yang kononnya digunakan oleh DSAI semasa meliwatnya. Tup-tup dia telah disoal oleh Ketua Peguambela Almarhum Rizal Fernando apakah dia pernah diliwat oleh DSAI? Dia jawab tidak pernah. Soalan itu dikemukakan sebanyak tiga kali dan sebanyak itu juga dia menjawab tidak pernah.

Sepatutnya jawapan Azizan itu sudah cukup bukti untuk mahkamah menutup bicara dan mengisytiharkan kes itu sebagai “No Case”. Selain jawapan Azizan yang menafikan dirinya diliwat, terlalu banyak lagi bahan-bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwa dapat disanggah dan diperlekeh oleh pihak peguambela.

Augustine Paul. Hakim yang mendengar bicara itu tidak mahu menolak pendakwaan tersebut. Malahan dia tetap dengan kata-kata “Not relevan” setiap kali pihak peguambela mengemukakan hujah. Di manakah Augustine Paul sekarang?

Dia yang dikenali sebagai Hakim Hacks khabarnya telah menerima arahan untuk mengadili kes DSAI dan menjatuhkan hukuman sebagai balasan ucap terima kasih kepada kerajaan (polis) yang membebaskan anaknya daripada hukuman tali gantung kerana terlibat dengan pengedaran dadah. Anak itu dibenarkan ke luar negara dan menetap di sana. Kerana itu setiap kali tercetus masalah dalam mahkamah, Hakim Hacks menangguhkan perbicaraan untuk membuat rujukan kepada Perancang Agung Konspirasi itu yang bernama Dr. Mahathir. (Itu sebab saya berikan gelaran TKT pada beliau semasa dia memaksa kerajaan penganugerahan gelaran Tun pada diri dan isterinya. Dia tahu kalau dia sudah tidak berkuasa gelaran itu mungkin terlepas daripada genggamannya)

Rafidah Aziz. Dia ini adalah Ketua Wanita UMNO. Dia mungkin tidak terlibat secara langsung dengan usaha menjatuhkan DSAI. Tetapi sebagai Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa satu ketika dahulu, Rafidah banyak menghabiskan masa di luar negara daripada di negara sendiri. Sebagai Ketua Wanita UMNO dia mempunyai pilihan menenangkan pengikutnya agar tidak membuat andaian apabila DSAI ditangkap, dibalun di Bukit Aman sedangkan tangannya digari di bahagian belakang. Dia tahu berita bagaimana Anwar telah ditangkap oleh sepasukan polis gerak khas dan dibawa lari ke Bukit Aman. Di sana Anwar telah dilanyak hingga lumat oleh Rahim Noor sehingga lebam matanya dan dibiarkan berbogel di atas bangku simen sehingga keesokan paginya.

Keadaan DSAI adalah laksana nyawa-nyawa ikan sahaja apabila seorang doktor berbangsa India (Dr. Vasantha) diarahkan melihat keadaan beliau. Perbuatan ke atas DSAI ternyata dibuat oleh manusia berhati binatang, kata doktor itu dan dia tetap dengan pendirian itu di mahkamah walaupun ada beberapa pujukan agar dia memberi kenyataan yang menyenangkan pihak kerajaan.

Sebagai Ketua Wanita UMNO dan Menteri kabinet yang sentiasa berlegar di luar negara Rafidah punya peluang memberitahu dunia biarlah jangan dikomen kisah DSAI dengan mata lebamnya. Tetapi apakah jawapan beliau apabila ditanya soalan yang sama dahulu? Dia jawab DSAI mungkin melakukan lebam itu secara sengaja dan berkemungkinan membengkamnya dengan gelas. Dia cuba menjadi bijak setakuk lagi daripada ketuanya Mahathir yang berkata mata lebam DSAI “adalah bikinan sendiri dengan menghantuk kepalanya di dinding.

Kalau kita dengar kenyataan Dr. Vasantha di mahkamah memang jelas bahawa tujuan sebenar melanyak DSAI sebegitu kejam adalah semacam satu tindakan melepaskan geram kerana DSAI tidak mati terbunuh semasa beliau diserang di rumah kediamannya di Setiabudi oleh sepasukan gerak khas dan penembak tepat.

Mengikut siasatan peribadi selama ini saya dapat kumpulkan fakta bahawa pada malam DSAI ditangkap kerana tuduhan liwat itu, beliau sepatutnya menemui ajal. Ada anggota tertentu pasukan gerak khas itu yang diberi arahan apabila berlaku kekecohan dan huru-hara dan lampu dipadam dia mesti melepaskan tembakan ke arah DSAI agar beliau terbunuh. (Kerana itu setiap anggota gerak gempur itu telah dilengkapi dengan ‘night vision goggles’). Mujur Anwar sudah bersedia menerima kedatangan mereka walaupun mereka masuk melalui pintu secara paksa. Keadaan tenang dan membolehkan Anwar naik menukar baju untuk di bawa keluar oleh dua orang inspektor polis bernama X Bin Mohd Nasir dan Inspektor Shukri. Inspektor X bin Mohd Nasir berasal daripada Melaka dan ayahnya Pesara Polis Singapura; Staf Sarjan Mohd Nasir Kuwantung. Dia pernah dibuang daerah (ke Port Dickson) oleh Lee Kuan Yew kerana difitnah mengumpul senjata di Masjid Sultan Singapura untuk menggulingkan kerajaan Lee Kuan Yew.

Kini Inspektor X Mohd Nasir bertugas sebagai pengawal khas kepada YDPAgong. Anwar kenal pegawai ini dan dia pernah menjadi pengawal peribadi beliau. Kalaulah tidak waras akalnya, Anwar sudah lama menjadi arwah.

Malahan kalau kita ingatkan balik kisah mata lebam itu, pada tahap awalannya Rahim Noor berkata Anwar berada dalam keadaan selamat. Hanya apabila Anwar dikemukakan di mahkamah barulah kita tahu bahawa dia telah dibaham oleh Rahim Noor. Itupun setelah ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas Siasatan DiRaja bagi menyiasat kejadian. Barulah kita tahu kalau tidak kerana SAC Ramly Yusof, Rahim Noor sudah melanyak Anwar sehingga mati. Kini SAC Ramly berada dalam tahanan gara-gara tuduhan rasuah, sedangkan beliau satu ketika dahulu adalah Ketua kepada Musa Hassan dan sepatutnya menjadi pegawai yang menggantikan tempat Rahim Noor. Demikianlah busuknya kerja-kerja TKT Mahathir yang semakin terdedah ke hari ini.

Kisah mata lebam Anwar yang disusuli dengan dakwaan dia melakukan kerja meliwat ke atas beberapa orang yang rapat dengannya, adalah kemuncak kepada pelbagai usaha musuh Anwar mahu membunuhnya. Mengikut catatan, terdapat lebih enam kali usaha membunuh beliau. Ini melibatkan (antara lainnya) sebuah helikopter tentera yang meletup di udara dalam perjalanan mengambil beliau. Sebuah lagi helikopter milik Pengerusi HICOM, telah meletup di udara pada malam hari ketika Tan Sri Yahya Ahmad dan isteri beliau terbang pulang ke Terengganu untuk menziarahi ibunya yang baru meninggal. Pesawat itu sepatutnya akan digunakan oleh beliau bersama Anwar pada keesokan harinya. Jelas, bom jangka sudah terpasang siap menunggukan pesawat itu terbang dan meledak di angkasa. Sayangnya ia mengorbankan orang lain. Yang peliknya dalam episod ini Dr. Siti Hasmah yang menjadi isteri Perdana Menteri ketika itu tidak pernah mahu diri dan suaminya diterbangkan dengan helikopter walaupun kerajaan menyediakan sebuah helikopter khas untuk kegunaan mereka.

Bekas Ketua Polis Negara A Rahim Noor. Dia merupakan orang kuat Mahathir satu ketika dahulu. Dia amat setia kepada Mahathir sehinggakan ada kalanya lagaknya itu adalah lebih hebat daripada tuannya. Dialah yang melumpuhkan Pertubuhan Al-Arqam, sebuah pertubuhan Islam yang dikatakan terpesong sedikit akidahnya. Tetapi apakah bezanya kepesongan akidah Al-Arqam dengan Islam Hadhari? Semasa disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja terhadap perbuatan aibnya terhadap Anwar, Rahim berkata bahawa dia memukul Anwar sebab Anwar memanggilnya anjing. Anwar menafikan dia pernah berkata demikian. Malahan SAC Ramli pernah berkata kepada kawan-kawannya bahawa Anwar tidak berkata apa-apa.

Saya pernah mengenali Rahim Noor secara peribadi satu ketika dahulu dan kalau ditanya anggota polis bawahan mereka memang menyayangi Rahim Noor. Dia prihatin dengan penderitaan anggota polis bawahannya.

Tetapi dia banyak berdosa dengan orang Melayu dan Islam. Perbuatannya mengharamkan Al-Arqam bukan sahaja menumpulkan pengaruh Abuya Azahari tetapi sekali gus melumpuhkan seluruh rangkaian pasaran dan eceren Melayu dan Islam. Rahim Noor menjadi mangsa mainan segelintir ulama di sekeliling Mahathir kerana ulama ini berlumba-lumba antara satu dengan lain menonjolkan bahawa merekalah jaguh Islam.

Kini Rahim Nor sudah berubah. Dia lumpuh di sebelah tangannya. Itulah tangan yang membaham Anwar Ibrahim. Dia kerap memberitahu pegawai polis yang muda-muda apa yang ditanggungnya adalah kerana mencampur-adukkan tugasnya dengan politik. Sehebat Rahim Nor dia tidak mampu menumpaskan pujuk rayu dan ugutan TKT Mahathir.

TKT Mahathir. Inilah bapak segala Konspirator di Malaysia di zaman dia mencengkam kuasa. Sesiapa pun tidak berani melanggar cakap dia. Mereka yang berani berbuat demikian telah menghadapi kesukaran dalam hidup. Contohnya, Tun Salleh Abas yang telah dipecat daripada jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara. Tetapi, Salleh Abas akhirnya menjadi Exco Kerajaan PAS Terengganu. Baru-baru ini kerajaan Paklah telah meminta maaf dan membayar balik segala pampasan yang patut diterimanya. TKT Mahathir melihat segala proses pemulihan itu dengan terkulat-kulat sahaja.

Orang putih kata TKT Mahathir “is a pathological liar”. Maknanya dia adalah seorang pembohong besar semulajadi. Membohong adalah satu perbuatan yang amat mudah dilakukannya. Itulah yang dilakukannya satu ketika dahulu dengan surat layang yang disebarkan merata negara untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman. Almarhum Tunku pernah memberitahu saya dalam pertemuan peribadi di Alor Star pada tahun 1970 bahawa negara ini akan jahanam “kalau Mahathir dapat menjadi Perdana Menteri.” Ternyata ramalan Tunku itu tidak lari daripada tajuknya.

Sepanjang beliau mencengkam kuasa, TKT Mahathir telah memperibadikan semua institusi kerajaan. Malahan dia cuba memanipulasi Majlis Raja-raja dengan meminta izin majlis itu mengharamkan perkataan ISLAM dalam pertubuhan parti politik. Mujur Majlis Raja-raja enggan akur dengan kehendaknya.

TKT Mahathir naik mencengkam kuasa gara-gara sistem politik di negara ini. Sebagai seorang Presiden parti UMNO dia naik secara automatis menjadi Perdana Menteri. Untuk menjadi seorang Presiden UMNO dia menunggu pilihan majoriti antara 2,000 ahli perwakilan yang datang berkumpul di PWTC. Dia menang tanpa bertanding kerana sistem tipu muslihat yang direncana semasa pencalonan di pihak bahagian lagi.

Untuk menjamin cengkaman kuasanya tetap di tangan dia telah memanipulasi sistem kehakiman dan pengadilan. Yang anehnya putar-belit kehakiman adalah mengikut acuan seorang peguam bernama Dato’ VK Lingam. Ini adalah seorang penyamun besar yang merupakan peguam kepada Tan Sri Vincent Tan. Dialah yang mengatur percutian ke luar negara Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin. Saya pernah menulis agar kerajaan menggugurkan gelaran itu daripadanya kerana dia telah menipu dengan berkata di tahap awalan yang dia terjumpa Lingam secara terserempak di tempat menaiki pesawat ke New Zealand. Siasatan yang dibuat oleh pasukan risikan bebas bagi pihak Mendiang M.G.G. Pillai mendedahkan bahawa tiket yang dibelinya adalah sama siri dengan tiket yang dibeli oleh Lingam.

Kira-kira enam bulan yang lalu, nama Lingam kecoh lagi apabila pita rakaman video dia sedang berbual di telefon dengan seorang Ketua Hakim Negara mengenai nama-nama hakim yang perlu dinaikkan pangkat di Malaysia didedahkan kepada umum. Dalam perbualan telefon yang dirakamkan itu, Lingam telah menyebut dengan jelas pembabitan tengku Adnan Mansur yang boleh mengatur temujanji antara Ketua Hakim Negara dengan Perdana Menteri. Pada mulanya Lingam tidak mengaku yang dia sedang bercakap dengan Ketua Hakim Negara ketika dirakam perbualan itu. Apabila dilakukan siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja, barulah sah identiti sebenarnya. Memang benar dia sedang berbual dengan Ketua Hakim Negara untuk mencadangkan siapa yang patut dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi. Namun Lingam berkata: “Orang dalam video itu memang seiras wajah saya tetapi bukan saya,” Walaupun suara orang yang menyebut ‘correct, correct, correct’ jelas menyerupai suaranya, Lingam masih mengelak dengan mengatakan "Suara macam saya...". Jelas Lingam pandai bermuslihat kerana dia sudah lama belajar daripada sifunya TKT Mahathir.

Oleh kerana kerakusan, TKT Mahathir telah berbuat apa yang dia suka dengan wang perolehan Petronas. Petronas yang sepatutnya bernaung di bawah Parlimen telah dimilik-peribadikannya dan segala pembaziran telah dibuat untuk membina Menara Berkembar Petronas. Dia juga telah membina litar lumba Sepang dengan belanja lebih lima ratus juta Ringgit. Saya pernah menentang pembaziran ini kerana tanah tapak Menara Berkembar itu dahulunya adalah milik kerajaan yang dijual kepada rakan karibnya Ananda Krishnan. Beberapa bulan kemudian Ananda Krishnan telah menjualkan semula tapak itu kepada kerajaan Malaysia dengan harga berlipat kali ganda, sekali gus mendapat faedah yang amat besar.

Orang yang rapat dengan Mahathir pernah memberitahu saya, tidak ada satu projek mega di Malaysia ini dapat dibina tanpa Mahathir menerima habuannya. Berapakah habuannya? Dua persen? Lima persen ataupun Sepuluh persen? Kawan saya berkata Mahathir tidak main dengan sepuluh persen. Khabarnya Mahathir ambil komisen dan peratusan saham dalam syarikat yang diberikan kontrak projek mega.

Kalau kita ambil kira masa yang begitu lama Mahathir menjadi Perdana Menteri tentu dia mampu mengumpulkan harta menjadi Melayu yang terkaya di dunia! Kawan saya kata tidak begitu. Mahathir adalah Melayu yang kedua terkaya di dunia. Yang paling kaya ialah Tun Daim Zainuddin kerana dia telah gunakan duit UMNO dan melaburkannya di luar negara. Mahathir dan Daim renggang persahabatan apabila Daim enggan membawa pulang duit UMNO di seberang laut. Ini bermakna kalau Daim mati esok ataupun lusa semua duit orang Melayu yang disimpan oleh UMNO akan lenyap begitu sahaja..

PUNCA RETAKNYA HUBUNGAN MAHATHIR DENGAN ANWAR
- marhaintua - 23.08.2008
(Bahagian 2)

ANWAR IBRAHIM: INSAN PILIHAN UJIAN TUHAN – BAHAGIAN AKHIR

Sejarah membuktikan bahawa DSAI adalah anak emas Mahathir satu ketika dahulu, Beliau diperkenalkan kepada Mahathir oleh Tengku Razaleigh Hamzah setelah Anwar diperkenalkan kepadanya oleh Sanusi Junid. Itu jalan ceritanya. Tetapi nama Anwar naik melonjak dalam peristiwa Kelaparan di Baling, dan peristiwa itu telah digunakan oleh Mahathir dalam surat layangnya untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman Putra.

Anwar telah meniti heirarki UMNO dan memainkan peranan besar menonjolkan nama Mahathir di arena antarabangsa melalui pengaruhnya dengan pemimpin negara-negara Islam. Harus diingat bahawa itulah salah satu strategi Mahathir mendekati Anwar kerana kemampuan beliau meyakini pemimpin dunia Arab memberikan biaya kepada perjuangannya dalam ABIM. Sekali gus Mahathir menjadi terkenal dengan dunia Selatan-Selatan dan melonjak naik sebagai suara perjuangan negara yang sedang membangun.

Keghairahan Mahathir mendekati pemimpin negara Islam telah membuka ruang kepada beberapa ilmuwan UMNO yang berpendidikan Arab dan Islam. Muncullah, Dr. Yusuf Nor, Hamid Othman, Zainal Abidin, dan ramai lagi. Oleh kerana ruang untuk mereka rapat akrab dengan Mahathir amat sempit dan terhad, maka para ulama UMNO ini telah berlumba-lumba menjuarai diri antara satu sama lain dan ini mereka lakukan melalui pelbagai cadangan dan isu yang membuatkan Mahathir merasakan dia perlu bertindak untuk terus popular. Maka muncul isu pengharaman Al Arqam sedangkan itulah rangkaian yang banyak berjasa dalam pembukaan industri kecil dan sederhana Melayu. Mahathir akur kepada cadangan untuk mengharamkan Al Arqam setelah melihat dan diberitahu bahawa Al Arqam adalah penyokong kuat PAS. Kononnya, kalau Al Arqam dibiarkan terus hidup, masa depan UMNO akan tergugat.

Pengharaman Al Arqam ternyata satu tindakan yang besar silapnya, kerana kalau berdasarkan akidah yang songsang, masih terdapat lebih 70 buah tarikat Islamiyah yang dikatakan menyimpang daripada ajaran Sunnah wal Jamaah. Malahan pada hari ini kita boleh persoalkan apakah sebenarnya ajaran Islam Hadhari? Bayangkan berapa ratus juta telah dibazirkan untuk mempromosikan Islam Hadhari sedangkan wang sebanyak itu boleh digunakan untuk memperbaiki cara hidup umat Islam di negara ini.

Pergeseran Anwar-Mahathir bergelegak sebaik sahaja Anwar bertanyakan kedudukan wang orang Melayu dalam simpanan UMNO. Adalah dianggarkan pada tahun 1997, terdapat sekurang-kurangnya RM27 Bilion wang simpanan dalam Khazanah Perbendaharaan UMNO.

Semasa TKT Mahathir menjadi Presiden UMNO orang yang mengendalikan wang simpanan dalam UMNO ialah Tun Daim Zainuddin. Hasil pengalaman mereka semasa pembubaran UMNO asal dahulu, Daim telah ‘melarikan’ wang Melayu dalam UMNO ke luar negara untuk dilaburkan kononnya. Hasilnya dia telah membeli beberapa buah bank di Afrika dan memproksikan pengurusan bank itu kepada abang kepada Arif Shah (calon yang bertanding di Permatang Pauh). Banyak lagi pelaburan yang dibuatnya dan diproksikan kepada beberapa korporat Melayu anak didiknya seperti Dato’ Shamsuddin Hassan di Afrika Selatan, Tajuddin Ramli, dan ramai lagi sekadar menyebut namanya sahaja. Ada juga pelaburan yang dibuatnya dengan mewakili beberapa orang wanita kesayangannya.

Satu ketika dahulu, keakraban Mahathir bersama Daim adalah laksana kuku dengan isinya. Tidak ada yang silap pada Daim walaupun apa yang dibuatnya ialah membalun wang orang Melayu dan menggunakan nama-nama proksi yang dia sahaja mengetahuinya. Adalah mustahil Mahathir tidak tahu menahu jenis pelaburan yang dibuat itu. Malahan besar kemungkinan Mahathir sengaja buat bodoh kerana dia tahu habuan komisen untuknya yang dijanjikan oleh Daim.

Oleh kerana Anwar prihatin dengan harta pusaka orang Melayu tentulah dia mahu tahu apa jadi dengan wang besar yang ada pada UMNO. Untuk mengelak Anwar mendedahkan perkara sebenar kepada persidangan UMNO, dia mesti dihalang dengan apa cara juga.

1997 merupakan tahun celaka kepada Anwar. Kegawatan ekonomi meruncing dan George Soros telah menyerang mata wang setiap negara Asia. Ironisnya kerja-kerja menyerang mata wang ringgit oleh George Soros adalah dengan kerjasama Daim juga.

Oleh kerana ekonomi Malaysia ketika itu banyak bergantung pada pelaburan asing, berlaku sahaja kegawatan, orang asing pun mengambil balik wang pelaburan mereka. Tinggallah Malaysia terkapai-kapai mencari arah. Keadaan menjadi parah apabila Bank Dunia mahukan Malaysia mengikut rentak ajarannya. Sekali lagi Anwar dan Mahathir berbalah tentang cara menyelamatkan kewangan negara. Negara Asia lain yang turut berhadapan kegawatan ekonomi, telah menerima pakej penyelamatan Bank Dunia. Cuma Malaysia yang degil dengan alasan Mahathir bahawa cadangan pakej itu akan menjahanamkan Malaysia. Yang sebenarnya Mahathir tidak mahu dengar saranan Bank Dunia agar segala bisnes yang dikendalikan oleh anak-anaknya dikecutkan untuk mengurangkan risiko perbankannya,

Pada waktu yang sama hampir semua syarikat perniagaan anak-anak Mahathir sedang tercungap-cungap. Maklumlah, perniagaan yang bukan berasaskan pengetahuan mendalam terhadap sesuatu bidang, tetapi lebih kepada hubungan dan kaitan rapat si pemilik dengan Perdana Menteri. Salah seorang anak lelaki Mahathir telah meminta bantuan Anwar agar diselamatkan syarikatnya dengan memberikan wang Petronas sebanyak dua billion ringgit. Anwar menolak permintaan itu. Bermulalah dendam kesumat Mahathir terhadap Anwar.

Cara Mahathir mahu gunakan wang Petronas untuk menyelamatkan syarikat anak-anak dan kroni amat difahami oleh Pengerusi Petronas ketika itu. Beliau adalah Almarhum Tan Sri Azizan yang telah menghembuskan nafas terakhirnya tidak lama selepas Anwar dipenjarakan. Pada satu hari Almarhum telah mendapatkan DSWA dan menyatakan betapa kesalnya beliau dengan kisah penghinaan yang dialami oleh Anwar Ibrahim. Dia telah meminta DSWA bersabar banyak-banyak. Tidak berapa lama kemudian Tan Sri Azizan menghembuskan nafas terakhirnya.

Dendam kesumat Mahathir tidak ada batasnya. Beliau telah merancang satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar. Beliau telah gunakan semua institusi kerajaan untuk kerja-kerja busuk itu. Dia gunakan media dan akhbar, TV dan radio. Apa sahaja yang boleh direncana untuk mengaibkan Anwar telah digunakannya,

Kes Anwar telah dibela oleh satu panel peguam bukan-Melayu. Kalau ada segelintir peguam Melayu seperti YB Zulkifli Kulim Bandar-Baru, mereka hanya setakat membawa fail dan pencatat peristiwa sahaja. Peguambela telah bekerja keras di mahkamah mematahkan hujah pihak pendakwaraya dan hanya berjaya ke satu tahap sahaja kerana Mahkamah Malaysia sudah dikuasai oleh fenomena ‘correct, correct, correct’ dan ‘Tidak relevan’

Anwar Ibrahim terpenjara juga walaupun Mahathir sendiri telah mengaku segala tuduhan terhadapnya adalah satu konspirasi kerana dia mempunyai kuasa. Mudah sungguh cakap Mahathir . Dia seolah-olah mempersenda kerja-kerja tuduhan liwat dan sodomi serta pelbagai lagi kerja kotor itu sebagai satu lakonan. TKT Mahathir tidak terfikir bahawa apa yang dilakukannya ke atas Anwar adalah satu penghinaan besar kepada orang Melayu dan Malaysia.

Perbuatan Mahathir tidak boleh dimaafkan secara total. InsyaAllah dia akan terus bernyawa. Dia kena merasa balasannya.

Orang barat sendiri hairan bagaimana mungkin kes Anwar boleh laku di muka pengadilan. Mereka juga hairan kenapa orang Melayu secara keseluruhannya sanggup membisu bila melihat Anwar dianiayai sebegitu dahsyat oleh Mahathir.

Saya yakin setiap kejadian ada hikmahnya. Yang jelas Allah telah memilih Anwar sebagai insan pilihan untuk menjalani ujiannya. Ini termasuk nasib beliau dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Khabarnya Paklah telah memberi arahan bahawa Anwar tidak boleh diberikan kemenangan walau apa cara sekali pun. Dia mengugut pihak polis dengan berkata kalau Anwar naik menjadi Perdana Menteri, KPN dan AG beserta pegawai tinggi polis termasuk KP Penang akan dipenjarakannya.

Kenapakah Paklah semakin gelabah? Apakah akan terdedah nanti tipu muslihat penjualan saham Augusta dengan harga 1 Euro oleh kroni beliau yang kemudiannya menjual kepada Syarikat Harley Davidson dengan harga 600 juta ? Ataupun Paklah semakin tertekan dengan kisah ‘Oil For Food Program’ yang dibalunnya sendiri sedangkan projek itu sepatutnya diserahkan kepada Dewan Perniagaan di negara ini?
(TAMAT)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.