Kebanyakan penganalisis politik menolak dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan orang Melayu negara ini berhadapan dengan risiko menjadi minoriti jika terus bertelagah dalam arena politik.
Ini kerana walaupun orang Melayu dibezakan dengan fahaman politik, tetapi ia tidak akan menjadi faktor utama kaum tersebut akan menjadi minoriti.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tidak mungkin orang Melayu akan jadi minoriti di negara ini.
“Walaupun kaum Melayu negara ini mewakili (lebih) 60 peratus penduduk tetapi dalam jangka masa panjang saya percaya jumlah tersebut akan meningkat.
“Jadi tidak mungkin orang Melayu akan menjadi minoriti dalam amalan demokrasi negara,” katanya.
Malah menurut beliau, perlembagaan juga sudah jelas akan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Beliau berkata orang Melayu kemungkinan besar boleh jadi minoriti dari segi kekuatan politik sahaja.
“Jika kita lihat dari segi kekuatan politik kemungkinan ia akan memberikan kesan kerana sekarang kita lihat imbangan politik lebih memihak kepada orang bukan Melayu.
“Keadaan orang Melayu akan jadi minoriti itu juga bergantung kepada orang Melayu sekiranya mereka hendak memberika kuasa kepada orang bukan Melayu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa orang Melayu negara ini berhadapan dengan risiko menjadi minoriti jika terus bertelagah dalam arena politik.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, kaum Melayu berpecah ekoran pendirian parti-parti politik yang hanya mengutamakan keuntungan perjuangan masing-masing.
Dr Mahathir berkata masyarakat Melayu berhadapan dengan krisis dan perlu bertindak segera sebelum mereka melalui nasib yang dialami oleh orang Melayu di Singapura.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berpendapat walaupun orang Melayu hari ini sering kali bercanggah pendapat terutamanya dari segi fahaman politik tetapi ia tidak akan menyebabkan kaum tersebut menjadi minoriti.
“Walaupun dipisahkan dari segi politik tapi saya tidak lihat orang Melayu akan menjadi minoriti.
“Ini kerana walaupun sering kali bertelagah antara satu sama lain ia hanya memberi kesan kepada jurang dalam orang Melayu.
“Lagipun dalam amalan demokrasi yang ada sekarang ia pasti tidak akan berlaku,” katanya.
Bagi pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom, kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir hanya untuk menakutkan orang Melayu kerana masih ramai yang berpegang kepada idealogi bangsa.
“Sebenarnya tidak ada apa-apa, itu hanya untuk menakutkan orang Melayu sahaja kerana tidak mungkin kaum terbesar di negara ini boleh menjadi minoriti di negara sendiri.
“Kalau kita lihat secara realistiknya, orang Melayu masih lagi menjadi majoriti dalam semua aspek jadi mustahil untuk menjadi minoriti,” katanya.
Beliau juga menyifatkan kenyataan Dr Mahathir Isnin lalu sebagai terdesak dan tidak bertamadun.
“Hanya orang yang terdesak sahaja yang akan mengeluarkan kenyataan begitu dan ini menunjukkan beliau (Mahathir) masih belum matang dalam berfikir.
“Selain itu, ini hanya permainan politik yang dimainkan beliau untuk menakutkan orang Melayu dengan harapan mereka akan kembali kepada pembela negara iaitu Umno,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata orang Melayu akan jadi minoriti jika perpecahan yang berlaku selama ini tidak dibendung.
“Jika berlaku perpecahan di kalangan orang Melayu mereka akan menjadi lemah dan pada masa jika orang bukan Melayu bersatu tidak mustahil orang Melayu akan menjadi minoriti,” katanya.
Jelas beliau, ditambah pula dengan kedudukan ekonomi orang Melayu yang mana ramai miskin, maka secara automatik orang Melayu akan tertindas dan “berada dalam kedudukan terbawah dalam masyarakat di negara ini.”
“Apabila perkara ini berlaku orang Melayu akan menjadi hamba kepada orang bukan Melayu dalam negara sendiri,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu sudah berlaku cuma orang Melayu tidak menyedarinya.
“Di Pulau Pinang perkara ini sudah berlaku di mana kepimpinan DAP menyisihkan orang Melayu dan kita lihat PAS dan PKR yang kononnya mahu membela nasib tidak mampu berbuat apa-apa.
“Selain itu, mentaliti dan pemikiran orang Melayu hari ini lemah dan tidak dapat dibangkitkan sekiranya mereka menjadi minoriti.
“Justeru orang Melayu perlu sedar akan kedudukan mereka sekarag dan mengukuhkan perpaduan yang kuat melalui kepimpinan yang baik,” katanya.
Followers
Friday, June 18, 2010
Pembohongan Mahathir Disangkal
Tak mungkin Melayu akan jadi kaum minoriti, kata penganalsis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.