Followers

Sunday, June 27, 2010

NAJIB GADAI TANAH MALAYSIA KERANA DI UGUT SINGAPURA?

Najib Diugut Badan Perisikan Singapura Berhubung Kes Altantuya?

Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shahrin mendakwa badan perisikan Singapura berkemungkinan telah mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menggunakan gambar model Mongolia, Altantuya Shaariibuu bersama beliau sebagai senjata bagi memaksa Najib memeterai perjanjian yang dianggap berat kerajaan Malaysia dan negara pulau itu.

Badrul Hisham aka CheGuBard berkata andaian ini berdasarkan kepada akuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramanian pada 1 Julai 2008 yang mengatakan Najib telah memperkenalkan Altantuya yang dikenali sebagai 'Aminah' kepada penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda di satu pameran berlian di Singapura.

"Maknanya Najib pernah berada di Singapura bersama Altantuya," kata CheGuBard dalam satu kenyataan media yang disiarkan dalam blognya.

Dalam lawatan tiga hari Perdana Menteri ke Singapura mulai 22 Mei lepas, Najib dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong telah mencapai persetujuan atas beberapa perkara pokok yang menjadi pertelagahan antara kedua negara sejak berdekad-dekad lalu.

Antara isu yang paling penting ialah persetujuan Malaysia untuk memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar di Singapura ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Menurut Perkara-perkara Dipersetujui (PoA) antara kedua negara tanah milik KTMB seluas 271 hektar di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah tambahan di Bukit Timah, akan diserahkan kepada M-S Pte Ltd, sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura untuk dimajukan.

Syarikat itu dijangka ditubuhkan sebelum 31 Disember ini dengan pegangan 60 peratus oleh Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus baki ekuiti oleh Temasek Holdings Limited, agensi pelaburan kerajaan Singapura.

"Hampir pasti kos operasi KTMB akan meningkat dan bayaran penyewaan WTCP milik Singapura akan membebankan pada masa akan datang.

"Maka KTMB bakal menyertai senarai syarikat milik kerajaan yang rugi seperti Pos Malaysia Berhad dan Sime Darby Berhad yang juga dibawah perlaburan Khazanah Nasional.

"Apa yang berlaku ialah kita bakal membentuk satu lagi perjanjian seperti perjanjian air dengan Singapura yang jelas amat berat sebelah dan menggadaikan kedaulatan negara," jelas CheGuBard.

Hsien Loong kemudiannya melakukan lawatan balas ke Malaysia sebulan selepas kunjungan Najib ke Singapura.

"Semua ini mengarut dan tak masuk akal. Selepas pengumuman di Singapura , banyak bantahan kedengaran di Malaysia. Namun Perdana Menteri Singapura hadir pula ke Kuala Lumpur seolah ‘mengingatkan’ Najib mengenai sesuatu agar Najib terus mempertegaskan persetujuan Malaysia dengan keputusan berat sebelah yang dipersetujui di Singapura.

"Seolah seperti ada sesuatu yang mengikat Najib untuk akur walaupun ia jelas merugikan negara. Dari aspek politik juga Najib jelas akan rugi kerana suara bantahan yang keras sudah mula kedengaran. Namun Najib seolah terpaksa meneruskan.

"Adakah Najib diugut dalam mempersetujui perjanjian ini? Adakah ‘perisik’ Singapura telah mengumpulkan rekod tersebut? Adakah rekod tersebut digunakan untuk mengugut Najib dalam akur dan bersetuju dalam satu lagi penggadaian hak dan kedaulatan negara?," soal beliau dengan tegas.

CheGuBard mendesak agar Najib tampil dan berterus terang kepada rakyat Malaysia.

Kata beliau lagi, jika benar Perdana Menteri diugut oleh badan perisikan Singapura untuk menyetujui satu perjanjian yang merugikan Malaysia dan menyentuh kedaulatan negara, rakyat Malaysia seharusnya bangkit bersatu menentang usaha tersebut.

"Walau apa pun tuduhan terhadap Perdana Menteri sebelum ini namun jelas mereka mempertahankan kedaulatan negara dan tidak mahu menerima tawaran rundingan Singapura yang jelas berat sebelah.

"Namun baru-baru ini hasil pertemuan tertutup Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawat di Singapura kononnya telah menyelesaikan beberapa isu tertangguh sekian lama," jelas beliau.

CheGuBard yang juga penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata badan bukan kerajaan itu akan menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri mengenai isu ini dan sebanyak 20,000 salinan surat itu akan dicetak dan diedarkan seluruh negara bagi mempertingkatkan pemahaman rakyat agar bangkit mempertahankan kedaulatan Malaysia.

(Suara Keadilan)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.