Followers

Wednesday, December 16, 2009

YAB Khalid Seru Dunia Islam Pertingkat Inovasi

Dianggarkan lebih 100 kajian dan penyelidikan yang dijalankan universiti, hanya sekecil 4 peratus sahaja berjaya dipasarkan sama ada dalam bentuk produk ataupun perkhidmatan, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap di Persidangan Akademik Sains Islam Dunia ke 17 di Hotel Concorde, Shah Alam hari ini, Tan Sri Khalid berkata kemunduran ini berlaku ekoran penyelidikan di universiti berbeza dari realiti pasaran.

“Lebih 100 inovasi dan penemuan di universiti, tidak lebih daripada 4 peratus mencecah pasaran, jadi itulah hakikatnya. Kenapa? Faktor penyelidikan dan pasaran adalah berbeza tetapi apabila ia dipasarkan, satu kejayaan inovasi berjaya dicapai”, kata Tan Sri Khalid.

Beliau memandang serius kemunduran ini menggesa dunia Islam merencana agenda melahirkan lebih ramai cerdik pandai yang peka pada faktor pasaran.

Tan Sri Khalid berkata demikian ketika dijemput membentangkan kertas-kerja “Memperkasa Jalinan Sains dan Sektor Swasta” di hadapan 100 cendekiawan Islam terkemuka dunia.
“Inilah lumrah perbincangan, itu sebablah kita perlu ada saintis, dan mahu penyelidikan mereka memberi manfaat kepada Umat Islam”, jelasnya lagi.

Tan Sri Khalid menjelaskan lawatan kerja kerajaan negeri ke Lembah Silikon Amerika Syarikat membuka mindanya kepada inovasi dan penemuan yang praktikal kepada ketamadunan manusia sejagat.

Menjelaskan bahawa dunia tidak dapat menafikan sumbangan cerdik-pandai Islam dalam lonjakan sains hari ini, Tan Sri Khalid bagaimanapun menyeru para saintis dan pakar dalam bidang masing-masing untuk tidak lagi menjual idea semata-mata, sebaliknya mengambil inisiatif menterjemah idea dan penemuan mereka dalam bentuk produk.

“Misi Persatuan Saintis Islam adalah menterjemah pengetahuan, kesefahaman dan inovasi yang kita ada tetapi ia tetap akan selari”, ujarnya lagi.
Persidangan hari kedua ini melibatkan 12 pembentang kertas kerja antaranya Dr Tengku Mohd Azzman Shariffaden, Malaysia; Qusai Sarraf, UK; Michael Grimes, Amerika Syarikat dan Naib Canselor Unisel, Datuk Dr Rosti Saruwono. - NIZAM
sumber: tvselangor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.