Followers

Tuesday, December 15, 2009

Persidangan IAS 2009, Selangor Bukti Mampu Anjur Program Bertaraf Dunia

Persidangan Antarabangsa Akademik & Saintis Islam Sedunia IAS 2009 kali ke-17 yang berlangsung selama empat hari telah bermula pada hari ini dengan jayanya. Selangor yang menjadi tuan rumah untuk julung kalinya telah berjaya menghimpunkan saintis-saintis Islam seluruh dunia bagi berkongsi pengalaman dalam mengketengahkan bidang sains. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, persidangan ini membuktikan Selangor mampu menganjurkan program berprestij bertaraf dunia dan sekaligus menjalinkan hubungan baik dengan Negara luar. Katanya, persidangan ini juga adalah bertujuan untuk menjalankan kajian dalam bentuk pendidikan dan mempertingkatkan usaha penggabungannya dengan keusahawanan. “Diubahsuai dengan maklumat yang ada, sekarang kita perlu mempertingkatkan usaha kepada aspek pembelajaran pengetahuan dan menggabungkan dengan usahawan, maknanya bagaimana ilmu dan kajian tersebut dapat diolah dan di jadikan bisnes modul untuk kegunaan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan IAS 2009 itu di Shah Alam pagi tadi. Acara bertaraf antarabangsa ini adalah anjuran Universiti Industri Selangor (Unisel) bersama World Academy Of Science (IAS), International Islamic Academy For Life Sciences and Biotechnology (IIALSB). Bertemakan “Towards Knowledge Society In The Islamic World”, persidangan ini dihadiri pakar-pakar saintis dalam dan luar Negara antaranya Negara-negara OIC seperti Jordan, Arab Saudi, Turki, Parkistan, Tartastan, Indonesia, dan lain-lain.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Persidangan IAS yang juga Exco Selangor, Dr Halimah Ali, berpuas hati dengan hari pertama bagi permulaan persidangan itu. Katanya, sambutan yang menggalakkan ini menggambarkan Selangor Selangor mendapat tarikan daripada Negara-negara luar termasuk kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan dua orang bekas perdana menteri Jordan. “Ini menunjukkan bahawa ramai diantara saintis dalam dan luar Negara berminat dan menunaikan jemputan. “Mereka menunjukkan minat mereka untuk bersama-sama kita kerana bagi mereka, Selangor satu negeri yang memang mereka ingin pergi sebahagian Malaysia dan mereka sangat gembira kerana datang ke sini,” katanya. Disamping itu, Selangor turut mengambil inisiatif bagi membincangkan tajuk berkenaan kepentingan peranan wanita dalam sains untuk membuka mata dunia luar bahawa wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan menerusi ilmu sains.
sumber: tvselangor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.