Followers

Sunday, December 6, 2009

Jiwa anak Nik Aziz 'tertekan': Dr Mariah

Luahan perasaan anak perempuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membayangkan "jiwanya tertekan" berhubung konflik terbuka suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman dengan penulis blog Kickdefella diterbitkan untuk bacaan ramai atas permintaan anggota keluarga menteri besar Kelantan sendiri, jelas wakil rakyat PAS.
Mempertahankan tindakannya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jika perkara itu tidak didedahkan di blognya, Nik Amalina Nik Abdul Aziz - isteri ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) - mungkin akan menyiarkan di blog lain. "Saya berbuat demikian atas permintaan beliau (Nik Amalina) dan suaminya sendiri. Saya dapat merasakan jiwanya tertekan dan beliau perlu meluahkan. "Beliau mahu orang lain tahu perasaannya," tulis ahli parlimen Kota Raja, yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS. Menulis di blognya kelmarin, Dr Mariah berkata beliau bagaimanapun tidak mahu menyebelahi atau "menghukum" mana-mana pihak dalam pertembungan itu sama ada Abdul Ariffahmi atau exco kanan Kelantan, Datuk Husam Musa. Penulis Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz - yang bertembung secara terbuka dengan Abdul Ariffahmi setelah dipecat sebagai pegawai perhubungan korporat PMBK pada 11 November lalu - dilihat rapat dengan Husam. Digelar 'KJ Kelantan' "Saya mendengar daripada pelbagai pihak. (Saya dengar) komen-komen positif dan negatif mengenai orang-orang yang terbabit dalam isu-isu tersebut," kata Dr Mariah lagi. "Saya tidak akan merakamkan apa yang saya dengar. Cukuplah saya katakan, semua maklumat saya terima dengan secubit garam.""Kalau perlu sangat, saya akan mengingatkan orang yang saya anggap sahabat dengan perkataan 'berhati-hati dengan si anu'."Pada hari raya pertama sambutan Aidil Adha minggu lalu, Dr Mariah menyiarkan luahan perasaan Nik Amalina di blognya kerana bersimpati dengannya. Dalam artikel bertajuk 'Kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri', Nik Amalina berkata, keluarganya menghadapi ujian besar akibat "perancangan jahat" susulan pelantikan Abdul Ariffahmi menduduki kerusi teratas di PMBK.
"Tatkala kita semua menghampiri saat-saat bahagia menghampiri hari raya korban, jiwa saya turut tersentuh mengenangkan ada situasi yang perlu dikorbankan," tulisnya. Antara ujian tersebut, tambah Nik Amalina, apabila suaminya digelar "KJ (Khairy Jamaluddin) Kelantan". Semasa pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawai, Khairy - kini ketua Pemuda Umno - sering dilihat sebagai penasihat utama bekas perdana menteri itu berdasarkan hubungannya sebagai menantu. Sokongan 'bos lain' Nik Amalina juga mengkritik keras Syed Azizi yang disifatkannya sebagai "menagih gaji lebih besar daripada bos PMBK" walaupun "bekerja untuk orang lain.""Makin hari dia membuat onar demi onar. Dia mula membuat rancangan demi rancangan. Serangannya sering menjadi kerana ia kejahatan yang dirancang rapi."Lebih-lebih lagi dia mempunyai sokongan yang kukuh dari seorang 'bos lain'. Makan gaji dengan orang lain, bekerja untuk orang lain. Inilah masalahnya!" kata anak Nik Abdul Aziz. Beliau juga menuduh Syed Azidi sebagai orang Umno dan "berselindung di sebalik wartawan-wartawan yang berbayar".Tidak cukup dengan itu, isteri Syed Azidi pula turut dikritik kerana "berpakaian daring bagi rakyat Kelantan" - yang, menurut anak tokoh PAS itu, boleh diterima daripada sudut fesyen tetapi berdosa dalam pandangan agama."Sedarlah sahabat semua bahawa Kickdefella itu penipu besar di abad ini," tulis Nik Amalina penuh emosi, sambil mendakwa beliau mendengar desas-desus penulis blog itu seorang yang tidak berakhlak Islam. "Tetapi mabuknya dalam penulisan sungguh menjadi-jadi. Semuanya bagaikan sel-sel otaknya telah rosak teruk, jika dia benar-benar seorang peminum," katanya lagi. Kedua-dua artikel di blog Dr Mariah itu dimuatkan kembali oleh Syed Azidi dalam blognya. Dalam artikel pertama minggu lalu, luahan perasaan Nik Amalina itu dimuatkan kembali tanpa sebarang komen. Bagaimanapun, Syed Azidi memberikan penekanan kepada beberapa ayat, dengan menghurufhitamkan, yang mengkritiknya dengan keras. Manakala dalam tulisan Dr Mariah semalam pula, Syed Azidi mengulas ringkas bahawa ekoran penjelasan terperinci itu, "Dr Mariah hanyalah seorang penyampai". Syed Azidi kelmarin menyifatkan tindakan melengah-lengahkan peletakan jawatan Abdul Ariffahmi sebagai ketua PMBK sebagai satu bentuk "sandiwara Nik Abdul Aziz."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.