Followers

Thursday, December 31, 2009

Jejantas Hubung Penduduk USJ 6 dan USJ 7 : Elak Kejadian Tidak Diingini Berulang

Hasil aduan penduduk dan tindakan pantas ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya, sebuah jambatan yang menghubungkan penduduk USJ 6 dan USJ 7 kini selamat untuk digunakan.

Menurut Adun Subang Jaya itu, beliau menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung keadaan jalan yang sibuk di kawasan itu sekaligus membahayakan penjalan kaki yang melintasi jalan tersebut pada tahun lalu.


"Jalan ini ialah Jalan Kewajipan dan tahun lepas kita telah menerima laporan ataupun aduan daripada penduduk, ini adalah jalan utama dan ada banyak kanak-kanak sekolah melintas jalan untuk balik rumah dan kemalangan pernah berlaku di sini” kata Hannah.


Menurutnya jejantas yang siap dibina sepenuhnya pada pertengahan Disember lalu ini menelan belanja sebanyak RM 585,608.


“Jadi pada tahun lepas, saya telah meminta MPSJ membina jejantas di sini untuk keperluan penduduk di sini dan ia telah dibina".


Menurutnya, kewujudan jejantas ini dapat mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang.


Malah penghadang jalan juga turut dipasang bagi menggalakkan penduduk menggunakan jejantas yang telah disediakan.


Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Dato’ Adnan Haji Md Ikhsan berkata, kedudukan jejantas ini sangat strategik kawasan yang padat penduduk dan akan digunakan kanak-kanak sekolah setiap hari.


“Di sebelah ini ada beberapa sekolah, sekolah Tadika. Pada saya, jalan ini adalah jalan sibuk dan jalan ini mempunyai tiga laluan, menunjukkan betapa sibuknya jalan ini dan kita dapat lihat kenderaan pun bergerak laju kerana ia jalan lurus dan ia amat merbahaya”.

sumber: tvselangor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.