Followers

Friday, December 4, 2015

'Rambo Bentong' Dihukum Gantung Lagi


Pada 6 Ogos 2014, Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhi hukuman sama terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh remaja berusia 17 tahun, Annie Kok Yin Cheng, pada 2009. - Foto Fail Bernama

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas Rabidin Satir atau lebih dikenali sebagai 'Rambo Bentong' selepas didapati bersalah membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah Bentong, tiga tahun lalu.


Dalam prosiding hari ini, Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menjatuhi hukuman mati selepas mendapati pembelaan tertuduh yang berasal dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Rabidin, 45, didakwa membunuh mangsa yang berusia 31 tahun antara jam 3.50 pagi hingga jam 4.30 pagi di JH2 Perumahan Jabatan Perhutanan, Jalan Tras, Bentong pada 3 Nov 2012.

Dia juga didakwa merompak dengan menggunakan senjata api, mendatangkan kecederaan dan dua tuduhan merogol isteri mangsa pada tarikh dan di tempat yang sama.

Mariana memerintahkan tertuduh dihukum penjara 12 tahun dan empat sebatan bagi kesalahan merogol isteri mangsa, selain dihukum penjara 12 tahun dan dua sebatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 4A Akta Senjata Api.

Selain itu, Rabidin juga dihukum penjara lapan tahun dan dua sebatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas tuduhan merompak dan mencederakan isteri mangsa.


Mariana memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara selama 133 tahun atas kesalahan merogol, seks luar tabii dan cubaan membunuh anggota polis yang sedang dijalaninya sekarang.

Dalam penghakimannya, beliau menyifatkan pembelaan tertuduh yang mendakwa dirinya dianiayai dan tidak mengenali mangsa serta tidak pernah masuk ke dalam kuarters Jabatan Hutan itu sebagai sukar diterima.
"Fakta yang tidak dapat disangkal adalah penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) pada cebisan sarung tangannya yang berada di rumah mangsa selain air maninya pada cadar katil dan baju isteri mangsa," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustafa manakala tertuduh diwakili peguam G. Sivakumar. -Bernama/Awani/3/12/15

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.