Followers

Saturday, December 5, 2015

Pengotoran dalam demokrasi

SUARA SABTU

Beberapa hari tidak mengisi blog dan terbaring menghitungkan nasib diri kerana sakit, betapa rindu kepada blog tidak dapat dibayangkan. Memang kalau boleh hendak menulis tanpa berhenti tentang apa-apa sahaja dengan nawaitu setiap catatan memberi manfaat tersendiri.  Teringin juga minta kebenaran ward untuk membawa laptop?

Nurul Izzah Anwar
Muhyiddin Yassin
Seperti saya katakan dalam status terbaharu dalam Fb, hari ini ada sedikit kelegaan, kudrat yang banyak hilang juga sudah perlahan kembali ke dalam diri, jadi ada peluang untuk saya berblog. Alhamdulilah. Saya yakin dan percaya penjengok yang kecewa kerana tidak ada status baru dalam blog ini memahami akan kesulitan saya. Maaf...

Beberapa hari lalu banyak isu atau kejadian yang berlaku, khasnya dalam danau politik. Macam-macam, ada yang tidak pernah terfikir pun sebelum ini. Apakah "kemacam-macaman" itu menandakan politik kita makin shofisikated atau pun tercelaru?



Pemahaman dan penerimaan ini mungkin subjektif. Mereka yang menghalalkan cara untuk mengapai matlamat, menganggap ia sesuatu yang seni, Bagaimana pun mereka yang mahu melihat politik itu dibangun dan dimainkan secara berundang-undang dan peraturan bernilai, (agama) akan berasa kecewa dengan suasana politik begitu.

Tetapi bagi saya, makin jelas politik kita bukan sahaja celaru, tetapi nilai-nilai demokratik dalam demokrasi dan maruahnya sudah tidak ada lagi. Politik kita makin kotor, cemar dan jijik kerana ia digerakkan oleh pemain yang tidak ada moral dan tahu malu. Demokrasi di negara ini sudah menjadi semacam telaga busuk.

Paling mengecewakan kekotoran bukan dalam parti-parti tertentu sahaja, atau dalam parti pemerintah yang lebih galak dan rakus serta layak berbuat demikian, tetapi ia juga berlaku dalam parti pembangkang yang seharusnya lebih bersikap damai untuk menyakinkan rakyat. Tetapi apa yang sepatut berlaku itu tidak terjadi.

Apakah ketidakadaan perbezaan ini kerana politik kita mempunyai DNA yang sama, maka ia mempunyain siptom yang serupa juga? Situasi ini tentulah sangat menyesal dan mengecewakan kita khasnya yang berharap kemurnian dan kesucian demokrasi seperti terkandung dalam prinsip dan fisafahnya.

Paling dikesalkan lagi ialah apabila pengotoran demokrasi itu dilakukan oleh pemimpin paling tinggi di tempat paling suci. Dewan parlimen dijadikan macam pasar ikan dimana kemuliaanya yang disebut tidak dihormati. Seolah-olah ikrar dan lafaz hormat kepada parlimen itu wanyangan semata-mata.

Cuba kita lihat kepada apa yang berlaku dalam parlimen, macam mana parlimen diinjak-ijak kemuliaanya oleh pemain demokrasi kita. Parlimen dijadikan persis jamban tahi yang tidak perlu dihormati. Bagaimana busuknya mulut orang politik, demikian hamisnya parlimen kita.

Banyak contoh macam mana parlimen kita dipersendakan. Misalnya, Najib Razak berjanji untuk menjelaskan wang derma RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Beriya-iya beliau memberi jaminan untuk menjelaskan persoalan itu. Tetapi apa kesudahan akhirnya? Najib usahkan hendak menjawab, hadir semasa sang setia dan pak sanggupnya jawab pun tidak.

Paling malang lagi apabila Peguam Negara menasihatkan Najib agar tidak berbuat demikian kerana ia menimbulkan subjudis, sedangkan apa yang dikatakan subjudis itupula dipertikaikan. Nampak di sini pendapat peguam negara itu menjadi kambing hitam untuk menghalalkan tindakan yang jijik dimana kemudiannya mengotorkan parlimen.

Memang Zahid Hamdi ada tanggungjawab untuk menjelaskan soal wang dana itu bagi taukehnya. Tetapi soal dana itu bukan soal kerajaan tetapi hak peribadi yang diragui akan sumber dan kaedahnya. Ia menjadi pertikaikan umum. Maka Najib mesti mengambil tanggungjawab. Kalau Najib bermaksud hendak menungging janjinya itu dia tidak harus "memunggungtahikan" sama parlimen.

Itu apa dilakukan Najib dalam parlimen. Masih ada pemain lain turut sama tidak menghayati kemuliaan dan kesucian parlimen. Misalnya apa yang berlaku kepada menteri muda, Asyraf Wajdi Dusuki dalam memberi jawaban berhubung perbelanjaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) yang sanggup membayar puluhan ribu sebulan kepada eksekutifnya.

Jawaban Asyraf yang berdalih atau menjustifikasikan bayaran itu kerana Yapiem ada RM3.4 billion satu jawaban yang sangat tidak berakhlak. Asyraf tidak melihat isu yang dipersoalkan tetapi araggont dengan wang yayasan yang banyak. Apakah dalam pemikiran beliau apabila sesuatu institusi yang mempunyai wang banyak, maka ia boleh diperlakukan sesuka hati? Kalau begitu jadilah institusi atau yayasan itu atau orang-orang seperti Asyraf itu seperti Sazali dalam filem Anakku Sazali.

Ingat apa kata Sazali, apabila dia sudah mempunyai wang bapaknya yang diperolehi tanpa kawalan itu? "Kini Sezali sudah besar, Sezali sudah punya wang, Sezali boleh lakukan apa sahaja yang Sezali inginkan?" Kalau begitulah sikap dan jawaban Asyraf maka tunggulah kemusnahannya nanti.

Apa yang saya sebutkan itu - kekotoran demokrasi yang berlaku di dalam parlimen. Sebenarnya ia masih banyak lagi. Parlimen juga dijadikan saluran untuk mengkhianati ahli politik lain. Ia digunakan sesuka hati seperti mana sikap Yapeim tadi.

Penghadapan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ke jawatan kuasa khas parlimen kerana, hanya dia bergambar dengan anak Kiram, Jecal Kiram, adalah satu tindakan kejam yang diaambil menerusi parlimen. Walaupun mekanisme itu ada, tetapi cara tindakan kepada Izzah itu satu kekejaman.

Apakah motif tindakan itu. Apakah untuk kepentingan rakyat yang mengharap dan mendambakan natijah daripada kesucian dan kemurnian parlimen, atau bermotif politik? Jelas apa yang berlaku dan dilakukan kepada Izzah ia bermotif politik. Tindakan Dewan Undangan Negeri Sabah menghalang Izzah dan Tian Chua ke negeri itu menunjukkan perogolan nyata kepada kemurnian parlimen dan dewan undangan negeri.

Apakah pula pengotoran demokrasi di luar parlimen? Banyak. Malahan pengotoran ini berlaku pada setiap saat dan pada setiap tindakan. Itu, penghalangan Muhyiddin Yassin untuk merasmi mesyuarat sayap-sayap partinya yang jadi tradisi selama ini juga merupkan pengotoran kepada demokrasi dalam parti Melayu itu.

Dimanakah demokratik Umno apabila ia telah menghalang Muhyiddin berbuat demikian. Apakah itu satu pembaharu (reform) dalam Umno seperti dijanjikan Najib. Tidak, saya katakan. Nasib yang diterima Muhyiddin itu ialah kerana mempertahankan hak individu daripada tergugat. Pemecatan Muhyiddin sebagai TMB dan larangan itu sama juga dengan "privacy"  menerima dana RM2.6 billion.

Pengotoran pengotoran demokrasi seperti itu hanya dilakukan oleh pemain demokrasi yang pengecut dan tidak tahu erti malu dan tidak ada maruah lagi. Mereka sebeginilah yang menjadi anai-anai meruntuhkan nilai demokrasi yang dibangunkan selama ini. Mereka adalah sang tikus hitam yang membaiki labu.

Buat masa ini saya tidak mahu menyebut pengotoran dalam parti pembangkang. Yang nyatakan fenomena itu juga tidak terkecuali berlaku dalam parti pembangkang. Cukup disini dulu, buat pemanas badan selepas beberapa hati tidak menulis. [wm.kl.10:43 am 05/01/15]


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.