Followers

Tuesday, December 1, 2015

PAS Diresapi Militan ISIS, Perlu Satu Kajian Serius SB. -Presiden Amanah.

mat-sabu-parti amanah

Mohamad Sabu mendedahkan di antara punca Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan kerana bekas partinya PAS sudah diresapi pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Beliau yang juga presiden kepada Amanah menuntut agar siasatan terperinci dibuat pasukan keselamatan negara ke atas penyusupan pemikiran Isis yang menyebabkan suburnya budaya “takfiri” dalam PAS.

“Saya sebagai presiden Amanah menuntut satu kajian serius dibuat Polis Cawangan Khas (SB) kerana ia bahaya kepada keselamatan negara Malaysia,” kata Mohamad dalam wawancara bersama The Malaysian Insider merujuk kepada pemikiran Isis dalam PAS.

Budaya takfiri merujuk kepada tindakan mengkafirkan kumpulan yang berbeza pandangan. Menurut pandangan takfiri, mereka yang “dikafirkan” halal darahnya untuk dibunuh.

Mohamad juga mengesyaki terdapat badan lain yang membawa masuk pemikiran Isis sehingga tidak disedari pemimpin PAS sendiri.

“Adakah polis Malaysia tidak dapat mengesan perkara ini atau ada konspirasi bersama?
“Adakah fahaman ini masuk begitu saja atau ada badan lain menyusunnya,” kata Mohamad yang bimbang ia dirancang musuh-musuh PAS sehingga parti Islam itu berpecah sebagaimana sekarang.

Pemimpin PAS sokong Isis

Mohamad berkata, budaya ini bukan saja bahaya kepada PAS bahkan juga menjadi bom jangka kepada keselamatan negara.

Misalnya kami dalam PAS sebelum ini tidak pernah diberitahu tentang pemergian sesetengah pemimpin pertengahan dalam PAS ke Syria dan Iraq untuk berjuang di sana.

“Tahu-tahu kami dengar ada ahli PAS berada di Syria dan mengangkat senjata di sana dan kemudiannya timbul cerita Ustaz Lotfi meninggal di sana,” katanya merujuk kepada kematian bekas pemimpin PAS, Lotfi Ariffin di Syria.

Beliau menyebut, antara yang menulis dan memberikan sokongan awal kepada Lotfi selepas terbunuh ialah Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Jawatankuasa Pusat Zaharudin Muhammad.

Hadi tolak budaya takfiri

Mohamad yang pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri tidak bersetuju dengan pendekatan takfiri ini.

“Apakah ia berlaku di luar kawalan beliau atau macam mana?” soalnya.

Mohamad dan pemimpin progresif PAS tewas secara berkumpulan dalam muktamar ke-61 di Kuala Selangor pertengahan tahun lalu menyebabkan Amanah dibentuk.

Beberapa tahun sebelum pemilihan, Mohamad dan kumpulannya dilabelkan sebagai kumpulan yang tidak mahu kepada Islam tulen yang dibawa PAS dan dilabel liberal, sekular, sosialis, Syiah dan sebagainya.

Mohamad menceritakan, budaya takfiri mula dikesan beliau menular dalam PAS sejak 4 hingga 5 tahun lalu.

“Kecenderungan takfiri di dalam PAS sejak 4 hingga 5 tahun lalu menyebabkan lahirnya budaya label melabel yang cukup negatif kepada PAS,” kata Mohamad.

Mohmad memberi contoh, 3 bekas pemimpin kanan PAS Dr Mohd Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad dan Mohamed Hanipa Maidin dilabel sebagai liberal sehingga kerja baik dan usaha mereka dalam parti Islam itu tidak dihargai lagi.

Tak kecil hati kalah pemilihan

Mohamad berkata, beliau sudah banyak kali kalah dalam pemilihan PAS tetapi tidak pernah berkecil hati kerana itu adat perlawanan.

“Saya pernah kalah kepada Abu Bakar Chik untuk jawatan ketua Pemuda. Saya pernah kalah kepada Datuk Hasan Ali dan Nasharudin (Mat Isa) tetapi saya tidak kisah kerana perbandingan dibuat berdasarkan prestasi dan keupayaan antara kami.

“Tetapi saya dan rakan-rakan kalah kali ini kerana budaya label dan takfiri. Misalnya liberal, sekular, sosialis dan sebagainya.

“Label ini sangat bahaya sebenarnya kerana ia membawa makna akidahnya sudah rosak dan segala kerja baik kita untuk Islam tidak berguna lagi,” kata Mohamad dengan nada sedih.

Katanya, ini mengakibatkan pemimpin yang tidak disenangi kumpulan takfiri tewas dalam muktamar PAS lalu.

“Budaya ini bukan terhenti setakat itu bahkan ia nampak semakin kuat sekarang.

“Saya ikuti kuliah-kuliah ustaz yang disebarkan melalui WhatsApp, ia semakin kuat.

“Dari situlah juga lahirnya label mereka yang menyertai Amanah ini sebagai pengkhianat dan haram menyertai Amanah,” kata Mohamad. (M.Insider/Stv)
Ibnu Hasyim

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.