Followers

Monday, December 7, 2015

Najib disaran contohi Mahathir letak jawatan di PAU Adam Abu Bakar


khairuddin-mahathir-najib

Khairuddin percaya jika Najib meletak jawatan pada PAU, segala 'dosa-dosa' yang dilakukan Najib sewaktu memerintah negara akan diampunkan rakyat.

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak disaran mengikut jejak Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO pada ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, beliau amat berharap Najib meletak jawatan sekaligus menamatkan masalah yang dihadapi oleh parti itu.

“Saya berdoa perkara ini berlaku. Saya akan solat hajat minta Allah SWT bukakan pintu hati Najib, pada ucapan penggulungan UMNO minggu hadapan, beliau akan buat kenyataan tersebut (meletakkan jawatan),” katanya sewaktu diwawancara Free Malaysia Today.

Pada 2002, di pentas yang sama, Dr Mahathir telah melakukan kejutan dengan mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Khairuddin juga menyatakan jika sejarah tersebut berulang, beliau bernazar untuk berpuasa selama tiga hari berturut-turut.

“Kalau Najib buat kenyataan tersebut (meletakkan jawatan), saya akan berpuasa, namun tidak akan botakkan kepala kerana cukuplah dibotakkan sewaktu dalam penjara,” ujarnya.

Suami kepada selebriti tanah air, Ummie Aida itu juga menjelaskan keputusan Dr Mahathir meletakkan jawatan pada era emas kepimpinannya menunjukkan beliau seorang pemimpin yang amanah malah menjadi pemimpin yang disegani rakyat.

“Dr Mahathir memimpin negara dengan penuh amanah. Hidupnya diabadikan kepada negara dan sebab itu beliau boleh bertahan selama 22 tahun.

“Selepas 22 tahun di era emasnya, Dr Mahathir masih tidak ditolak. Tetapi ia datang dari hati nuraninya sendiri yang mahu memberikan peluang pada pemimpin lain untuk meneruskan kepimpinan,” ujarnya lagi.

Katanya, jika Najib meletak jawatan pada PAU kali ini, beliau percaya segala ‘dosa-dosa’ yang dilakukan Najib sewaktu memerintah negara akan diampunkan rakyat.

“Kita dapat lihat sikap rakyat negara kita yang sering memaafkan kesalahan orang lain. Jika Najib meletak jawatan, saya percaya rakyat akan memaafkan kesalahan yang beliau lakukan,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan berlangsung pada Selasa depan hingga Sabtu. Dalam perhimpunan itu juga menyaksikan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibenarkan berucap bagi merasmikan perhimpunan sayap-sayap parti itu.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.