Followers

Saturday, December 5, 2015

Langgar disiplin punca jururawat diberhenti Anne Muhammad.


Hospital Damai Service di Taman Melawati mengakui mereka tidak membenarkan jururawatnya mengenakan pakaian seragam berlengan panjang.

Bagaimanapun, pemecatan salah seorang jururawatnya kelmarin bukan disebabkan cara pakaian itu, kata Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Hospital Damai Service, Regina Sundram.

Menurut Regina, pemecatan Naziah Sauni Samat sebaliknya berpunca daripada masalah disiplin, iaitu tidak hadir bekerja selama dua hari tanpa sebab.

“Dia tidak hadir selama dua hari tanpa sebab dan tidak melaporkannya kepada pihak pengurusan bahawa dia tidak hadir.

“(Disebabkan itu) kami anggap dia secara tidak langsung telah berhenti kerja. Dia diberhentikan bukan kerana pakai pakaian lengan panjang.

“Mengikut akta buruh, sekiranya pekerja tidak hadir bekerja lebih dari dua hari bekerja, boleh dikira telah berhenti” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Naziah dalam sidang media bersama Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan semalam mendakwa beliau dibuang kerja hanya kerana cuba menutup aurat semasa bekerja.

Naziah mendakwa, dia tidak dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan panjang ketika menjalankan tugas.

Bukan isu agama, kaum

Sementara itu, Regina berkata hospital yang telah beroperasi sejak 1989 itu sememangnya menetapkan garis khusus untuk jururawat Muslim dan bukan Muslim.

Katanya, bagi jururawat bukan beragama Islam, mereka dikehendaki memakai seragam seluar panjang dan kemeja lengan pendek.

Untuk jururawat beragama Islam pula, kata Regina, pakaian yang ditetapkan iaitu berseluar panjang, kemeja pendek dan boleh memakai anak tudung.

"Kami tidak melanggar akta yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, malah peraturan pemakaian seragam berlengan pendek dibuat untuk mengelak jangkitan kuman pada pesakit dan memudahkan kerja," katanya.

Menurut Regina, pihak pengurusan hospital berkenaan telah memberi penjelasan bahawa pemakaian seragam berlengan panjang memang tidak dibenarkan dan peraturan begitu tiada tertakluk kepada mana-mana akta yang ditentukan kerajaan.

Sebelum ini, katanya, pihak hospital turut memberikan ruang kepada Naziah untuk berfikir sama ada untuk meneruskan kerja di situ atau berhenti sendiri.

Namun kata Regina, Naziah datang bekerja dengan memakai stoking lengan dan ia telah melanggari peraturan pemakaian hospital.

Sementara itu, Regina menolak sebarang unsur perkauman dan agama di sebalik isu ini dan menegaskan bekas pekerjanya perlu memahami etika pemakaian yang telah ditetapkan.

“Jangan bangkitkan isu perkauman atau agama, ini yang cuba dilakukan oleh Naziah sebelum ini,” katanya.

Bulan lalu juga Regina membuat laporan polis mengenai kehadiran PPIM yang diketuai Nadzim ke hospital itu.

Regina dalam laporan polis itu dipetik berkata, pihak PPIM cuba mengugut akan menghebahkan isu itu sebagai perkauman sekiranya tidak membenarkan Naziah meneruskan kerja dengan berseragam lengan panjang.


Mkini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.