Followers

Thursday, December 31, 2015

Ibu-bapa rayu pengusaha bas sekolah jangan naik tambang Adam Abu Bakar


bas,tambang

Ibu-bapa yang ditemui FMT tidak bersetuju sekiranya tambang bas sekolah dinaikkan

KUALA LUMPUR: Rajendran, 55 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi tersentak dengan hasrat pengusaha bas sekolah yang mahu harga tambang bas sekolah dinaikkan kelak.

Beliau yang terpaksa keluar dari rumah dan membawa teksi sejak awal pagi hingga lewat malam demi mencari nafkah buat menampung seisi keluarga mengakui terkesan jika tambang bas sekolah dinaikkan.

“Sebagai pemandu teksi, tol dan gas telah naik, dan ditambah pula dengan kenaikkan harga barangan yang saban hari semakin meningkat. Harga barang naik, tetapi gaji tidak naik. Kini, tambang bas sekolah juga akan naik,” ujarnya.

Ditemui pemberita di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Ravendran memiliki dua orang anak yang masih bersekolah. Beliau kelihatan bingung sekiranya ura-ura kenaikan tambang bas sekolah terbukti benar.
“Semestinya ibu bapa terbeban, berapa gaji ibu bapa sekarang ini. Setiap bulan kita ada satu bajet yang harus difikirkan, untuk bayar sewa rumah, bil air dan elektrik,” keluh beliau.

FMT turut melakukan tinjauan di sekitar Jalan Chow Kit bagi mendengar sendiri pandangan ibu bapa lain mengenai kenaikkan harga tambang bas sekolah yang dikatakan akan dilakukan pada awal tahun 2016.
Datuk kepada dua cucu, Wan Ismail Wan Bakar, 69, turut bersimpati dengan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh anaknya dalam suasana ekonomi yang semakin menghimpit.

Lebih-lebih lagi apabila perbelanjaan barangan sekolah juga telah naik.

“Kenaikan ini (tambang bas sekolah) pasti akan menekan ibu bapa. Sekarang ini semua benda semakin naik sedangkan pendapatan masih kekal di takuk lama.

“Ibu bapa kena mengeluarkan belanja yang lebih dan ia menyusahkan. Kalau boleh tidak payah dinaikkan, kerana mereka (pengusaha bas sekolah) berkhidmat untuk pelajar sekolah. Sepatutnya lebih kurang lah sikit, jangan kira untung sahaja,” katanya.

Begitu juga Hafizah Md Nor, seorang suri rumah sepenuh masa. Tiga orang anaknya masih bersekolah, dan beliau mengakui ibu-bapa sepertinya yang memiliki lebih dari seorang anak pasti terkesan.

“Kenaikkan tambang bas sekolah agak membebankan, bagi mereka yang memiliki anak lebih dari seorang itu adalah satu tekanan kerana turut mengalami tekanan lain seperti kenaikkan harga barang-barang dan perkara lain.

“Jadi lebih banyak wang yang akan dikeluarkan terutamanya persediaan untuk pembukaan sekolah,” ujarnya.

Wanita berusia 35 tahun itu juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan kupon diskaun kepada ibu bapa yang berpendapatan kurang dari RM5,000.

“Kerajaan sepatutnya mengadakan kupon diskaun kepada ibu bapa yang berpendapatan kurang dari RM5,000 ringgit. Mekanisma ini telah dilakukan di beberapa buah negara Barat,” jelas beliau lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.