Followers

Saturday, December 26, 2015

Fitnah polis, pemilik akaun Facebook disiasat FMT Reporters


ACP-Abdul-Aziz-Salleh,fb

Siasatan tetap dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah

PETALING JAYA: Polis Pahang menyiasat pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Adinda Idris kerana memuat naik status mendakwa polis tidak menyiasat kes kemalangan melibatkan anaknya dengan sebuah lori membawa bauksit dalam kejadian pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata, status itu antara lain mendakwa pegawai penyiasat kes berkenaan telah menasihati suaminya agar menarik balik laporan terhadap kes kemalangan berkenaan hingga menyebabkan anaknya tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Status tersebut telah menjadi viral terutama di Facebook menyebabkan pengguna media sosial membuat komen mengecam tindakan polis.

“Ia telah menjejaskan nama baik pegawai penyiasat kes berkenaan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya dan ekoran itu satu laporan polis telah dibuat terhadap wanita berkenaan bagi membolehkan siasatan dilakukan.

“Polis juga menyangkal sama sekali ada menasihati mana-mana individu khususnya ahli keluarga mangsa seperti didakwa dan ini merupakan satu fitnah kepada polis yang bertungkus lumus memastikan kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya yang dipetik dari Bernama.

Menurut Abdul Aziz, meskipun wanita itu memohon maaf melalui status terbaru di Facebooknya dengan memberi alasan statusnya itu telah disalah tafsir, polis tetap membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam Jumaat lepas, anak kepada wanita berkenaan yang menaiki motosikal dilaporkan cedera parah selepas berlanggar dengan sebuah lori membawa muatan bauksit di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran sebuah stesen minyak.

Bagaimanapun, lori berkenaan dilaporkan tidak berhenti dan nombor pendaftaran kenderaan yang diberikan rakan mangsa selepas itu didapati tidak tepat kerana merupakan milik kenderaan lain menyebabkan polis mengambil masa mengesan pemandu terlibat.

Sehingga kini siasatan berhubung kes itu masih berjalan dan tidak dibuang seperti yang didakwa wanita terbabit.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.