Followers

Monday, December 21, 2015

Apa asas Perkasa tuduh kami sesat, soal G25 OLEH MOHD FARHAN DARWIS



Perkasa di mesyuarat agungnya hari ini menggesa Putrajaya supaya mengisytiharkan kumpulan G25 sebagai sesat.

Perkasa di mesyuarat agungnya hari ini menggesa Putrajaya supaya mengisytiharkan kumpulan G25 sebagai sesat.

Jurucakap kumpulan 25 Melayu ternama G25, Datuk Noor Farida Ariffin mempersoalkan tindakan Perkasa yang meluluskan usul menggesa agar Putrajaya mengisytiharkan kumpulan berkenaan sebagai sesat, sedangkan mereka mengamalkan ajaran Islam seperti Rukun Islam dan Rukun Iman.

Farida berkata, G25 turut merasa amat kecewa kerana dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.

“Apa sebabnya, tanya Perkasa apa yang kami lakukan promosikan liberisma dan pluralisme. Kami menggesa kesederhanaan berbanding perlakuan ekstremis.

“Bukan nak tuduh orang ini sesat, orang itu murtad. Apa maksud pluralisme, apa maksud liberalisme. Kami tidak kata semua orang ada hak untuk murtad.

“Perkasa perlu jelaskan kenapa kami perlu diisytihar sesat, kami bukan Ayah Pin,” kata Farida kepada The Malaysian Insider mengulas usul Perkasa yang menggesa Putrajaya mengisytiharkan G25 sesat.

Farida berkata, G25 juga menggesa agar memartabatkan tatakelola kerajaan yang baik, Islam Hadhari, Wasatiyah.

"Apa yang kontroversi sangat?" soalnya.

Beliau sebaliknya mempersoalkan tindakan Perkasa apabila menuduhnya sesat.

"Inikah perangai Muslim? Mengancam saya, bukankah ini berdosa? Dalam Islam, kalau ada perkara yang tidak sependapat, Islam mengalu-alukan perbezaan pendapat.

"Jangan lempar tohmahan dan fitnah sebegini. Maki hamun, ini bukan Islam," katanya.

Farida berkata, beliau melihat umat Islam kini tidak lagi mendampingi ajaran agama dan sebaliknya agama pula dijadikan bahan berpolitik.

"Janganlah jadi samseng, orang ini tak betul, orang itu tak betul...yang boleh murtadkan manusia hanya Allah. Mereka mempolitikkan Islam. Jangan sesekali politikan Islam. Itu yang kami katakan.

"Mereka lempar perkataan-perkataan itu kepada kami tanpa mengetahui maknanya," kata Farida.

"Suruh mereka mengucap balik. Jangan nak isytihar orang sesat atau murtad. Itu tugas Allah, bukan manusia." – 21 Disember, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.