Followers

Sunday, December 13, 2015

Ada masanya Profesor harus disekolahkan!

Tuan Profesor, Universiti itu Bukan (Parti) Kamu Yang Punya Posted on Saturday, December 12 @ 10:38:11 MYT by Reformis Oleh HAZMAN BAHAROM

Saya membaca dan meneliti bersama perasaan yang bercampur-baur kenyataanProfesor Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) berhubung penglibatan tenaga kerja serta mahasiswa universiti tersebut di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015.

Terdapat beberapa perkara yang meresahkan saya, dan saya yakin ramai juga anak Malaysia lain yang risau akan beberapa perkembangan terbaharu di PAU kali ini—seperti kualiti perbahasan yang kian merosot, krisis berhubung dana awam yang tidak serius diselesaikan, isu integriti Perdana Menteri yang meragukan, dan pelbagai isu lagi.

Tetapi kenyataan Prof Sahol di laman sosial itu sewajarnya lebih meresahkan kita, terutamanya semua yang memiliki impian untuk kemajuan institusi ilmu di Malaysia bukan sahaja dari sudut material, tetapi juga membina masyarakat madani serta peradaban.

Masa depan negara ini terletak bukan lagi kepada aristokrat-aristokrat tua, tetapi kepada anak-anak muda yang sedang menadah ilmu di universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi lainnya pada masa sekarang. Terdapat beberapa isu yang, saya kira, wajar menjadi perhatian kita. Pertama, kegagalan untuk membezakan di antara kerajaan yang memerintah dengan parti politik yang menjadi kerajaan tersebut tidak sepatutnya berlaku untuk seorang bertaraf profesor.

Kedua, hakikat bahawa seorang profesor tidak memahami makna dan tujuan kewujudan sebuah universiti merupakan satu masalah besar. Ketiga, membawa secara aktif sebuah universiti bersama warganya atas nama "universiti" (bezakan dengan terlibat aktif sebagai "individu") untuk berpartisipasi dalam program parti politik adalah salah satu jalan menuju kebantutan, malah mungkin sekali, bakal membunuh demokrasi serta pengertiannya dalam kalangan warga universiti tersebut.

Di laman-laman sosial, sudah ramai yang membantah atas dasar pertama tadi. Justeru, melalui tulisan ini, saya akan berfokus kepada noktah kedua dan ketiga-iaitu kepentingan memahami makna dan tujuan sebuah universiti.

Seterusnya, kewujudan universiti vis-à-vis proses pendemokrasian serta membentuk masyarakat berautonomi tidak boleh kita pandang remeh. Sebab itulah, pelestarian demokrasi sebagai salah satu matlamat universiti wajar dipelihara dan terus-terusan disegarkan-kerana peluang sebuah masyarakat menjadi autoritarian sentiasa terbuka luas. Perlakuan sengaja membawa sebuah institusi yang kompleks (yakni, universiti) bergiat aktif dengan program kepartian adalah sesuatu yang mencabul esensi demokratik yang sewajarnya dijulang universiti itu sendiri. Penglibatan UiTM atas kapasiti "universiti dan warganya" di PAU sewajarnya dibidas serta dikesali kita semua, bersama-sama dengan kenyataan Prof Sahol tersebut.

Melalui tulisan ini, saya akan meninjau ringkas akan peri makna serta tujuan universiti wujud, dan menunjukkan bahawa perlakuan yang dilakukan UiTM di PAU ketika ini adalah satu pengkhianatan kepada maknanya sendiri. Seterusnya, saya akan huraikan lagi kepentingan universiti dalam mewujudkan masyarakat demokratik nan lestari, yang seharusnya sentiasa dipelihara di tengah-tengah masyarakat kita yang berpotensi berubah menuju autoritarianisme.

Makna dan Tujuan Peradaban manusia adalah sesuatu yang sentiasa mengalami perubahan, dan apa yang bakal dicapainya bergantung kepada bagaimana ia merespon kepada pembolehubah di sekelilingnya, yang juga sentiasa mendefinisikan kewujudannya.

Dari situlah, kita dapat melihat mengapa manusia yang memiliki peradaban (difahami dengan ciri-ciri yang dihurai Arnold Toynbee dan Oswald Spengler) akan memiliki bukan sahaja kebudayaan material, tetapi juga budaya ilmiah-yang boleh juga dikategorikan bersama kumpulan longgar "budaya tinggi".

Kebudayaan ini lahir daripada pemerhatian serta proses pembiasaan diri mereka terhadap dunia dan seisinya, dan dalam proses tersebut mereka meneroka ilmu melalui pendefinisian serta pemahaman yang tidak akan berakhir, sentiasa berlaku.

Hal ini dapat dilihat menerusi pencapaian-pencapaian peradaban yang berbeza, seperti Babylon dengan data astronomi mereka yang sebahagiannya membantu Ptolemy dalam kajiannya; atau Mesir Purba dengan seni bina serta sistem pengairan, Yunani dengan teater, demokrasi, serta falsafahnya; dan bermacam-macam lagi.

Sepanjang perjalanan sejarah, manusia kemudiannya memahami akan kepentingan pelbagai cabang ilmu yang berbeza, serta semua bidang itu wajar diperturunkan kepada generasi selepasnya bersama kapasiti untuk mereka pula mengembangkan ilmu tersebut. Justeru wujudlah idea penginstitusian pengajian, pengajian formal dalam bidang-bidang keilmuan, yang mana warga tempat atau kumpulan tersebut aktif berfikir bagi mengembangkan lagi sempadan keilmuan sedia ada.

Perkara ini dapat dilihat melalui banyak sekali contoh pada zaman silam, umpamanya Academy Plato di Athens, Bayt al-Hikmah di Baghdad, serta Akademi Diraja di negara-negara Eropah selepas Pencerahan, ketika fajar industrialisasi sedang menyingsing. Kesemua institusi ilmu ini, di samping memerlukan tenaga kerja yang komited serta terpelajar, perlu juga dijamin kebebasan serta ruang seluas-luasnya supaya kreativiti institusi tersebut mekar dan hidup.

Dari sini akan lahirnya idea-idea baharu yang berpotensi menggerakkan kemanusiaan, biarpun menongkah arus politiko-ekonomi tempat dan zaman.

Sebab itulah, jika kita lihat sarjana zaman silam, daripada Socrates sehingga Imam al-Nawawi, hampir semuanya kritis terhadap para pemerintah. Walaupun banyak yang menjadi penasihat pemerintah, tetapi tidaklah mereka akan menyokong segala apa yang dilakukan oleh pemerintah mereka.

Berbalik kepada persoalan penglibatan aktif UiTM di PAU 2015, seperkara yang harus kita kritisi dan bimbangi sekarang adalah bagaimana penglibatan ini akan berpotensi menutup ruang untuk warga universiti tersebut supaya bebas dengan pilihan mereka, yang seterusnya akan menyempitkan ruang kebebasan asasi mereka untuk memilih. Hal ini, antara lain, akan mencabul makna universiti itu sendiri yang sewajarnya memberi pilihan kepada warganya untuk berbeza sesama sendiri, terutamanya dalam perkara berkaitan politik kepartian.

Dengan menggunakan jawatan Naib Canselor dan nama universiti secara terang-terangan mengumumkan kepada sarwa jagat bahawa UiTM akan menyertai PAU, bukankah itu akan menunjukkan bahawa seolah-olah UiTM itu rasmi berada di bawah UMNO? Jika hal sedemikian berlaku, bagaimana pula dengan warga universiti yang secara politik tidak menyokong UMNO atau BN? Kita harus ingat, bahawasanya untuk mengekalkan kebebasan berpendapat dan berfikir, satu ruang yang harus dijaga juga ialah hak untuk setiap warga tidak merasa dipinggirkan. Sepertimana renungan filasuf Jeremy Waldron ketika membidas "hate speech" melalui The Harm in Hate Speech, seperkara penting dalam sebuah masyarakat demokratik berbilang bangsa dan agama, ialah hak setiap individu untuk tidak dipinggirkan melalui peminggiran berasaskan identiti atau pilihannya sendiri.

Apatah lagi jika pilihan yang sepatutnya dibiarkan bebas dipilih berpandukan damir setiap individu itu pula diinstitusikan.

Apakah UiTM selepas ini mampu menjadi inklusif kepada pensyarah dan mahasiswa dengan pandangan yang pelbagai, selepas secara "rasmi" terlibat dengan program suatu parti politik melalui Naib Canselornya sendiri?

Untuk merealisasi makna universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan penyelidikan, hakikat yang wajib kita tahu adalah kita mestilah menjaga ruang-ruang kebebasan agar sifat inklusif dapat dikekalkan dan diperkukuh. Hanya dengan cara inilah, keilmuan mampu dirangsang ke takah yang lebih tinggi lagi.

Dari sudut ini, saya dapat katakan bahawa tindakan Prof Sahol membawa UiTM serta warganya ke PAU 2015 ini adalah terang-terang satu pengkhianatan kepada makna serta tujuan sebuah universiti.

Universiti dan Demokrasi Dalam sebuah negara-bangsa moden, seperkara yang tidak boleh kita pandang remeh adalah peranan institusi pendidikan dalam menyediakan kepada rakyatnya keperluan untuk menjadi warganegara yang berkesedaran tinggi.

Dengan "kesedaran", saya maksudkan upaya untuk sedar tanggungjawab serta hak masing-masing seiring dengan undang-undang dan semangat demokrasi.

Antara perkara yang diperlukan untuk sebuah negara demokrasi berfungsi dengan stabil dan baik adalah rakyat yang berpengetahuan serta memiliki ruang memilih.

Ruang memilih ini pula, mestilah dipastikan selamat sepenuhnya-yakni tiada kes seperti jika menyokong atau tidak menyokong sesuatu parti, ada ancaman yang akan menimpa seperti dibuang kerja dan sebagainya.

Selain daripada ruang yang harus dipastikan selamat ("kebebasan negatif" seperti dalam penelitian Isaiah Berlin), sebuah demokrasi yang berfungsi mesti juga memiliki warganegara yang berupaya berfikir sendiri dan bertindak secara matang. Di sinilah juga peranan institusi pengajian tinggi.

Antara persoalan penting yang perlu dijawab adalah: (1) "mengapa kita memerlukan demokrasi yang berfungsi, bukan sekadar demokrasi?" dan (2) "mengapa universiti yang harus berperanan, bukan institusi lain?"

Pertama, terdapat banyak negara di dunia yang secara prinsip dan institusinya, wujud demokrasi, tetapi bukan demokrasi yang berfungsi.

Antara penyebab kegagalan demokrasi di negara tersebut untuk berfungsi, adalah kawalan pemerintah terhadap perjalanan proses demokratik, ketidakupayaan masyarakat memilih akibat ancaman atau kebergantungan, pengurusan proses demokratik yang lemah, dan pelbagai lagi.

Antara contoh yang jelas ialah Mesir pasca-penggulingan Presiden Morsi. Justeru, kita boleh katakan bahawa kalaupun institusi demokratik wujud di negara berkenaan, tetapi negara tersebut bukanlah memiliki demokrasi dalam erti kata sebenar.

Hal ini kerana, perkara-perkara luar institusi demokrasi itu akan masih membantutkan perjalanan demokrasi negara tersebut. Begitulah juga halnya jika sebuah universiti dibawa secara jelas untuk berada di bawah sebuah parti politik.

Kita harus ingat, bahawa untuk memainkan peranan sebagai pendidik masyarakat yang kemudiannya akan berpartisipasi dalam proses demokratik negara, universiti sebagai institusi itu sendiri yang harus dahulu memastikan warganya memahami demokrasi yang berfungsi-antaranya dengan cara tidak terlibat sebagai institusi dalam program parti politik.

Apakah institusi pengajian tinggi jika tidak menjadi contoh kepada setiap individu tentang nilai seperti menjadi neutral dan tidak berada di pihak mana-mana pun? Sekali gus, pendekatan ini akan juga memperkasa mahasiswa untuk berfikir dan memilih sendiri parti politiknya, dan inilah salah satu jalan menuju demokrasi yang berfungsi.

Maka, dengan terlibat dengan PAU 2015, UiTM secara jelas sedang melumpuhkan lagi proses demokrasi negara kita. Kedua, universiti harus memainkan peranan kerana di situlah pendidikan peringkat tinggi, yang akan mendefinisikan nilai kewarganegaraan kepada setiap generasi.

Mahasiswa universitilah yang akan kemudiannya keluar ke lapangan menjadi aktivis masyarakat, pekerja profesional, pendidik, serta banyak lagi profesion yang penting. Disebabkan itu, mereka mesti menjadi warganegara yang sentiasa cakna dan aktif terlibat dalam proses demokratik negara-dan di sinilah, universiti sepatutnya mengajarkan nilai-nilai menangani perbezaan pandangan, kerana itulah esensi penting demokrasi.

Salah satu cara mengajarkan nilai ini, pastinya adalah dengan sikap tidak mencampuri ruang kebebasan memilih warga universiti berkait parti politik. Sekali lagi, perbuatan membawa sebuah "universiti" ke acara seperti PAU, pastinya merupakan satu simbol ketidakbebasan universiti itu sendiri, serta kegagalannya mengajarkan nilai demokratik kepada pewaris negara kita-golongan belia yang nantinya akan mengisi ruang-ruang penting negara.

Adalah amat rugi dan berbahaya, khususnya buat rakyat marhaen, jika generasi muda bakal-bakal birokrat ini gagal menghayati nilai demokratik akibat kegagalan universitinya sendiri untuk memaparkan nilai tersebut. Kesimpulan Saya tidak ada masalah jika secara peribadi,

Profesor Sahol menyokong dan aktif dalam UMNO, kerana itu hak demokratik beliau. Begitu juga hak demokratik setiap warga UiTM baik staf ataupun mahasiswanya untuk aktif dalam mana-mana parti. Ini negara demokratik, dan pilihan setiap individu kita raikan.

Tetapi malapetaka besar lagi bala bencana-lah halnya apabila sebuah institusi ilmu dibawa untuk terlibat aktif dalam program sebuah parti politik oleh Naib Canselornya sendiri. Justeru, Tuan Profesor, universiti itu bukan (parti) kamu yang punya!

Posted by mountdweller.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.