Followers

Tuesday, November 17, 2015

SIAPA DIBELAKANG TPPA? - Oleh Wan Fayhsal


SEJARAH GELAP YANG MENGABURI HAKIKAT PENJAJAHAN MELALUI “PERDAGANGAN BEBAS”

November 16, 2015

SIAPA DIBELAKANG TPPA? - SEJARAH GELAP YANG MENGABURI HAKIKAT PENJAJAHAN MELALUI “PERDAGANGAN BEBAS”



Tanggal 14hb November 2015, penulis sempat menghadiri Majlis Penerangan Perdana berhubung 1MDB, TPPA dan Bajet 2016 di PWTC.

Suasana majlis sangat meriah lagi padat kerana rakyat berduyun-duyun hadir untuk mendengar ulasan daripada pemimpin yang diamanahkan menjaga ketiga-tiga perkara tersebut.

Rata-rata yang hadir terdiri daripada ahli UMNO (banyak makcik-makcik tudung merah) dan juga wakil parti komponen BN.

Secara ringkas gambar besar hadirin terdiri daripada orang awam dan penerangan dibuat dalam Bahasa Melayu dalam gaya bahasa yang sangat mudah dan rendah.

Penulis tidak sempat bertanyakan soalan kepada Encik Azrul Kanda, CEO dan Presiden 1MDB kerana tiada kesempatan berbuat demikian dek kerana kepadatan hadirin untuk bergerak menuju ke pentas bertanya soalan.

Adapun demikian penulis sempat bertanyakan satu soalan yang penulis permudahkan dan ringkaskan dengan padat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

Penulis telah diberi peringatan oleh pengerusi majlis, Datuk Ahmad Maslan bahawa soalan harus ringkas dan padat memandangkan masa yang diperuntukkan agak suntuk.

Sebelum sesi soal jawab berlangsung, DS Mustapa menyampaikan pembentangan tentang TPPA pada tahap yang amat mudah untuk difahami. Ianya lebih berbentuk seperti kuliah “Perdagangan Bebas 101” (Free Trade 101) yang penulis fikir sudah pun diketahui ramai akan manfaat pasaran terbuka dan perdagangan bebas yang diajar dalam mata kuliah ekonomi.

Pembentangan DS Mustapa amat pro-TPPA. Tiada langsung penyataan kritis terhadap TPPA. DS Mustapa mempertahankan bahawa dengan menyertai TPPA, ianya tidak akan bawa kepada penjajahan ke atas negara kita.

Penulis berhajat untuk mendapatkan ulasan lanjut daripada DS Mustapa dalam sesi soal jawab tapi penulis sedar keadaan dan hadirin yang ada tidak begitu kondusif untuk dibahaskan secara lebih teknikal.

Penulis hanya sempat bertanya perihal TPPA yang dibandingkan sebagai sama penting seperti sebuah kapal perang besar Amerika yang dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Pertahanan (jawatan seperti menteri pertahanan kita) Ash Carter yang merupakan sebahagian daripada strategi “Paksi Asia” yang digagaskan oleh Presiden Obama untuk mengimbangi negara China yang semakin meningkat berkuasa di rantau ini. Penulis membangkitkan kerisauan akan risiko yang bakal diundang ke atas negara dalam keadaan China merupakan rakan dagang terbesar (import dan eksport) buat Malaysia.

Jawapan DS Mustapa seperti dalam video tidak begitu jelas dan amat ringkas. Beliau berhujah bahawa wakil China tidak pernah membangkitkan kerisauan berkenaan kedudukan Malaysia dalam TPPA dalam hubungan dagang dengan China. DS Mustapa juga tambah bahawa kita terlibat sama dalam rundingan blok perdagangan yang ditunjangi China iaitu RCEP.

Jujurnya penulis agak hampa dengan jawapan balas DS Mustapa dan penafian risiko penjajahan oleh beliau melalui TPPA hanya didasari dengan hujah “simplistic” memandangkan pelaburan Malaysia ke Amerika lebih besar berbanding pelaburan yang Malaysia terima daripada Amerika, semua itu kata beliau tidak menunjukkan Malaysia menjajah Amerika.

Penulis fikir ada beberapa perkara yang perlu kita perhalusi berhubung premis DS Mustapa bahawa Perjanjian Perdagangan Bebas TPPA tidak akan menatijahkan sebarang bentuk penjajahan ke atas negara kita. Untuk itu kita harus menilai beberapa premis penting dan juga genesis (sejarah awal) bagaimana perdagangan bebas yang diperjuangkan negara Barat seperti Amerika Syarikat itu bermula dalam sejarah dunia.

BERBAGAI-BAGAI JENIS PENJAJAHAN

Penjajahan tidak boleh disempitkan sekadar kehilangan kedaulatan secara mutlak seperti Palestin yang dirampas banyak hak asasi mereka.

Penjajahan boleh difahami dalam dua bentuk:

(1) Penjajahan Langsung (Formal)
(2) Penjajahan tidak langsung (Informal)

Penjajahan “informal” selalunya timbul melalui pintu ekonomi khususnya melalui jalan perdagangan. Dan kebiasaanya dalam sejarah, penjajahan “informal” ini akan berubah menjadi penjajahan “formal” yang lebih mencengkam.

Penjajahan “informal” juga sering hadir dalam bentuk di mana kedaulatan sesebuah negara menjadi semakin longgar bilamana kuasa mengurus tadbir dan membuat keputusan menjadi semakin lemah akibat tekanan daripada penjajah “informal” ini.

Kes terbaru ialah negara Greece. Biarpun ianya masih wujud sebagai sebuah negara berdaulat, masalah hutang negara yang menggila telah menjadikan Greece seperti sebuah “negara tawanan” (vassal state) kepada peminjam Greece yang terdiri daripada bank-bank Eropah yang turut sama dikawal selia oleh Bank Pusat Eropah (European Central Bank – ECB) yang berpusat di Frankfurt, Jerman).

Dasar-dasar kewangan dan ekonomi negara Greece kini tidak lagi boleh ditentukan oleh kerajaannya di Athens kerana banyak syarat-syarat ketat yang dipaksa oleh ECB ke atas Greece demi memastikan Greece tidak lagi gagal melunaskan hutang tertunggak (defaulted). Maka banyak aset negara Greece seperti pulau, lapangan terbang dipaksa gadai oleh ECB melalui dasar pengswastaan kepada syarikat asing agar kerajaan Greece dapat menjana tunai untuk membayar hutang. Bukan itu saja, kerajaan Greece ditekan oleh ECB untuk memotong bajet negara mereka seperti pemotongan subsidi dan catuan pengeluaran tunai oleh bank tempatan Greece kerana keutamaan bajet negara adalah untuk melangsaikan hutang kepada bank-bank Eropah yang memberi pinjaman kepada Greece.

Hal yang sama pernah berlaku kepada banyak negara-negara Latin Amerika, Afrika dan jiran kita Indonesia kerana gagal membayar hutang. Demi melangsaikan hutang, mereka mengambil pakej bantuan kewangan IMF dan Bank Dunia yang meletakkan syarat bahawa kerajaan mereka harus membuka pasaran dan memotong subsidi agar syarikat dan produk swasta dari luar dapat membeli aset-aset negara mereka dengan harga yang murah.

Akhirnya negara-negara ini walaupun masih punya kedaulatan politik, dari segi ekonomi mereka tidak dapat kawalan sepenuhnya kerana perjanjian yang dimeterai amat merugikan mereka.

Negara-negara tertawan secara “informal” (vassalages) selalunya mempunyai “penawan ‘informal’” yang dalam Bahasa Inggeris dipanggil sebagai “suzerain”.

Contoh terbaik “vassalages” moden ialah Jerman dan Jepun yang kalah Perang Dunia Ke-2 dan menerima Amerika Syarikat sebagai “suzerain” mereka.

Apa buktinya? Jerman dibawah Perjanjian Postman 1945 yang dipersetujui tiga kuasa besar Bersekutu (Allied) iaitu Amerika, Britiain dan Kesatuan Soviet (kini Russia) telah menubuhkan “Allied Control Council” bagi merencana semula Jerman khusus proses “penyah-Nazi-an” (denazification) dan penyah-ketenteraan (demilitarization). Jepun juga menerima nasib yang sama bilamana perlembagaan baru mereka pasca Perang Dunia ke-2 disusun oleh Supreme Commander Bersekutu dari Amerika Syarikat iaitu General Douglas MacArthur.

Jerman dan Jepun dikawal secara perundangan (perjanjian bersama Amerika Syarikat) juga melalui perlembagaan mereka untuk tidak boleh memiliki badan ketenteraan yang agresif; hanya untuk pertahanan. Jerman di kawal oleh NATO secara kolektif sebagai pertahanan Eropah dan Jepun secara tidak langsung oleh Amerika Syarikat melalui perjanjian “Anpo jōyaku”. Kedua-dua negara ini dipaksa menerima pengkalan dan kemudahan (facilities) tentera Amerika Syarikat yang berpuluh-puluh jumlahnya.

Banyak kumpulan yang membantah TPPA khususnya mantan Perdana Menteri Malaysia yang menentang IMF dan Bank Dunia iaitu Tun Mahathir menyatakan bantahan mereka kepada TPPA atas dasar ini iaitu penjajahan “informal” yang datang melalui pintu ekonomi. Rakyat di negara sendiri merempat kerana peluang ekonomi telah diambil oleh orang asing akibat syarat-syarat yang menghalang daripada perlindungan pasaran yang dikenakan pihak yang memberi pinjaman kepada negara.

SEJARAH GELAP PERDAGANGAN BEBAS YANG MENATIJAHKAN PENJAJAHAN LANGSUNG

Benarkah “Perdagangan Bebas” (Free Trade) yang menjadi asas hubungan dagang TPPA ini benar-benar bebas dan adil?

Adakah padang permainan yang peraturannya dilakar oleh Amerika Syarikat selaku pencadang TPPA ini mampu memberi keadilan kepada semua? Yang tersurat, seperti hujah DS Mustapa sudah tentuk beliau kata “ya, TPPA adalah adil dan lebih banyak manfaat daripada mudarat”.

Pandangan sebegitu pada hemat penulis adalah versi “sanitized” yakni gambaran yang terlampau optimis dan tidak menggambarkan hakikat sejarah perdagangan bebas.

Untuk memahami hakikat sebenar, kita haruslah faham yang tersirat berhubung peranan perdagangan bebas sebagai alat pengacah untuk menjajah ekonomi seterusnya negara yang kalah dalam berdagang.

Bila bercakap tentang sejarah perdagangan bebas kita tidak dapat lari daripada mengkaji sejarah Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company – BEIC).

Britain menjadi kuasa imperial dunia pada satu ketika dahulu kerana mereka merajai laut (controlling the seas) yang merupakan laluan perdagangan utama dunia.

Britain tidak menghantar askar untuk menjajah India, juga Tanah Melayu sebaliknya yang pertama sekali datang dan dihantar oleh keluarga diraja Britain ialah para pedagang BEIC. Sosok seperti Francis Light yang ambil Pulau Pinang daripada Kedah dan Stamfford Raffles yang ambil Singapura [dulu Temasik] daripada Kesultanan Johor adalah pedagang yang berkait dengan BEIC bukannya askar diraja Inggeris.

Keluarga diraja Britain hanya ada kuasa tidak langsung (indirect control) ke atas BEIC yang diberi piagam (charter) seperti satu lesen untuk mereka berdagang ke seluruh dunia khususnya kuasa memonopoli jalan perdagangan di sebelah Timur bagi pihak kerajaan British. BEIC juga diberi lesen untuk memiliki tentera persendirian (private armies) untuk mengawal selia aktiviti perdagangan mereka.

Ringkasnya modus operandi BEIC adalah mendapatkan lesen berdagang juga tempat berniaga yang khusus (trading post) di pelabuhan-pelabuhan penting di Timur. Dari kebenaran inilah mereka mendapat “market access” sama seperti mana yang DS Mustapa kerap pertahankan akan kepentingan TPPA buat Malaysia.

Bermula dengan “trading post”, para pedagang BEIC membiasakan diri dengan budaya, bahasa dan perundangan setempat baik di India, China dan Alam Melayu. Lama kelamaan mereka mendapat hati para pembesar tempatan dan membina jaringan persahabatan sampailah kepada istana.

Daripada “trading post” mereka diberi keizinan untuk membina kilang-kilang untuk pengeluaran produk. Bila perniagaan dan perdagangan mereka bertambah maju, askar persendirian mereka juga makin meningkat.

Kekuatan ekonomi dan ketenteraan yang ada pada BEIC ini akhirnya menjadi asas kepada kerjasama erat antara BEIC dan golongan istana dan pembesar. Masing-masing daripada golongan ini cuba mendapatkan bantuan perlindungan daripada BEIC untuk menjaga mereka daripada golongan pemberontak dalam istana mahupun diluar. Seperti contoh golongan Nawab (pembesar Muslim di India) yang mendapatkan bantuan perlindungan BEIC akan memberi konsesi perdagangan kepada BEIC sebagai bayaran perlindungan.

Persaingan Syarikat Hindia Timur daripada negara Eropah lain seperti Perancis yang turut sama memberi perlindungan kepadada pembesar tempatan yang lain. Persaingan sengit antara syarikat-syarikat ini akhirnya menimbulkan permintaan daripada BEIC untuk menaik tarafkan kilang-kilang mereka menjadi kubu-kubu pertahanan (forts – seperti contoh Fort Cornwallis di Pulau Pinang) dengan alasan melindungi kepentingan perdagangan mereka.

Para pedagang BEIC ini juga licik dalam melagakan sesama pembesar tempatan dan istana agar kebergantungan mereka kepada BEIC semakin mengukuh. Bilamana konflik yang dileraikan oleh BEIC untuk pembesar tempatan menunjukkan hasil rasa keberhutangan kepada BEIC menjadi lebih besar.

Persaingan antara BEIC dan Syarikat Hindia Timur Perancis (FEIC) akhinya mencetuskan Pertempuran Palashi (Battle of Plassey) di Bengal pada 1757. BEIC pantas menghidu peluang untuk melemahkan pembesar Bengal Siraj al-Dawlah yang banyak persoalkan keuntungan luar biasa syarikat-syarikat Eropah ini yang menggunakan kekayaan perdagangan mereka untuk memperbesarkan lagi kubu-kubu mereka atas alasan melindungi kepentingan mereka di India. Ada banyak pertempuran lanjutan dan jalan cerita yang kompleks tetapi peristiwa penting ialah BEIC tidak akan mengalah dengan Siraj al-Dawlah. BEIC merasuah Mir Jafar yang merupakan komander tentera Siraj al-Dawlah dan juga berjanji melantik Mir Jafar sebagai pengganti Siraj al-Dawlah maka berlakukah pertempuran sengit dan panjang sehingga akhirnya Siraj al-Dawlah dikalahkan melalui pakatan BEIC dan Mir Jafar.

Seperti kisah pengkhianatan yang biasa kita dengar, Mir Jafar dijatuhkan oleh BEIC dan melantik pemimpin boneka Mir Qasim. Bermula daripada saat itu BEIC berjaya menguasai politik dan ekonomi (melalui kerahan cukai) sehinggalah tiba Akta Kerajaan India 1858 yang diluluskan Parlimen British untuk “mencairkan” (liquidate) BEIC dan mengambil alih India daripada BEIC untuk diletakkan di bawah wilayah jajahan Permaisuri Victoria.

Hal yang sama berlaku kepada China yang kehilangan Hong Kong melalui Perjanjian Nanking 1842. Semuanya bermula kerana atas alasan “perdagangan bebas” untuk mengimbangi semula perdagangan antara China dan Britain. Barangan China seperti sutera, teh dan porselin sangat diminati di Eropah tetapi barangan Eropah langsung tidak diminati oleh China yang tidak bergantung dengan dunia luar untuk hidup. Maka banyak aliran duit perak dari Eropah masuk ke China. China mengawal ketat perdagangan mereka menggunakan “Sistem Kanton” yang menyekat peluang pedagang asing.

Untuk memecah sekatan ini BEIC menjual candu (opium) yang ditanam di India untuk dieksport seludup ke China yang mengawal ketat perdagangan candu. Bilamana candu semakin menjadi ketagihan orang China begitu juga dengan aliran keluar duit perak, kerajaan China di bawah Dinasti Qing telah mengambil tindakan tegas menutup perdagangan dan merampas candu yang diseludup oleh BEIC.

Kerajaan British mengambil langkah drastik menggunakan alasan sekatan perdagangan bebas oleh China untuk melancarkan serangan ketenteraan laut yang memulakan Perang Candu Pertama (1839-42). Kekalahan China di tangan British inilah menatijahkan Perjanjian Nanking yang berat sebelah yang memaksa China membuka pelabuhannya untuk Britain, perlindungan perundangan khusus untuk warga Britain juga hilangnya Hong Kong kepada Britain.

Selepas Perang Candu Kedua, perdagangan Candu telah dipaksa halalkan (legalized) melalui Perjanjian Tianjin 1858 yang bukan saja membuka lebih luas ruang pasaran untuk kuasa Eropah, meningkatkan kadar kemasukan candu ke China yang merosakkan masyarakatnya tapi juga membuka jalan kepada mubaligh Kristian untuk menyebarkan agama Kristian di China secara rasmi!

Malah bank tersohor dunia iaitu Hong Kong and Shaghai Banking Corporation (HSBC) muncul selepas Perang Candu Kedua untuk mengurus simpanan kekayaan BEIC hasil dagangan candu. Disinilah bermula saat pengubahan wang haram (money laundering) melalui bank!

Apa kesannya kepada China? 100 tahun penuh kehinaan yang membuka kepada kejatuhan Dinasti Qing, penjajahan Jepun sampailah kepada Revolusi Budaya Mao Zedong. Semuanya bermula dengan alasan “Perdagangan Bebas”.

APA JADI PADA BEIC?

BEIC memang luput dari segi rupa dan bentuk bilamana kerajaan British mengambil alih jajahan mereka di Timur tetapi semangat dan citra mereka masih mekar di The City of London dan seterusnya mula bertapak di Wall Street, Amerika Syarikat.

BEIC adalah benih dan model “Joint Stock Company” (JSC) kepada lahirnya syarikat multinasional gergasi (MNC) yang ada pada hari ini.

Dan syarikat-syarikat inilah yang merangka agenda “Perdagangan Bebas” (Free Trade) dunia bermula dengan General Agreement on Tariffs and Trade (GATT) pada 1947, sampailah kepada NAFTA, WTO dan kini TPPA.

Mereka inilah yang melobi dan mendanai kongres Amerika yang dipimpin oleh Presiden Obama. Maka agenda TPPA ini sebenarnya adalah agenda pewaris BEIC. Mereka ada pengalaman yang panjang dan luas, kelicikan yang tajam dan kepandaian untuk menggunakan jalan perundangan untuk mengaut keuntungan secara tidak adil dengan berselindung di balik nama “Free Trade”.

Merekalah yang menjadi “fronts” kepada para bankers di Wall Street dan The City of London.

Mereka juga yang menjadi tiang seri Trilateral Commission dan Bildeberg.

Maka dengan ini saya mengajak para pembaca dan juga DS Mustapa untuk menilai semula hujah bahawa TPPA tidak membawa kepada penjajahan itu adalah satu “underestimation” akan kemampuan pengatur cara perjanjian TPPA yang terdiri daripada pewaris BEIC yang menjajah 2/3 dunia pada satu ketika – termasuklah di Alam Melayu.

Perdagangan adalah peperangan. Nabi Muhammad SAW berpesan bahawa “al-Ḥarb Khadʿah” (peperangan itu adalah tipu daya). Berperang pada zaman moden tidak semestinya dengan senjata tetapi juga melalui “lawfare” iaitu jalan perundangan seperti TPPA.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.