Followers

Wednesday, November 18, 2015

Shahnaz berhak terima mutaah RM100 juta – peguam Ho Kit Yen


Shahnaz-A-Majid-dan-Mahmud-Abu-Bekir-Taib

Peguam Mahmud Bekir membantah tuntutan itu kerana melampau dan aset yang dimiliki anak guamnya tidak mengambil kira liabiliti yang ditanggung.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah diberitahu Shahnaz Majid berhak menerima tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta daripada bekas suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.


Peguam Shahnaz, Akberdin Abdul Kadir ketika berhujah di hadapan Hakim Syariah, Abdul Karim Wahab berkata, anak guamnya (Shahnaz) berhak terima mutaah atau hadiah kerana menanggung derita selama 19 tahun perkahwinan mereka.

“Dia didera secara fizikal dan mental oleh suaminya,” katanya sambil menambah Shahnaz enggan bercerai ketika itu kerana mahu menjaga nama baik keluarga bekas suaminya yang dikenali ramai.

Mahmud merupakan anak lelaki kepada bekas Ketua Menteri Sarawak yang kini menjadi Gabenor Sarawak, Tun Taib Mahmud.

“Selain mendera, bekas suaminya juga memalukan dia di hadapan kaum keluarga dalam sebuah majlis perkahwinan dengan membawa isteri keduanya warga Australia ke majlis perkahwinan itu.

“Anak guam saya sangat malu apabila suaminya (ketika itu) memperkenalkan wanita berkenaan sebagai isterinya,” katanya ketika penggulungan hujah pada hari terakhir selepas empat tahun kes perceraian itu dibicarakan.

Akberdin berkata, Shahnaz tidak tahu bekas suaminya berkahwin dengan wanita itu di Thailand tetapi pada masa mempunyai hubungan dengan wanita Rusia yang juga berada di Thailand.

Dia turut mengaitkan kekayaan Mahmud Bekir memiliki saham dalam lebih 40 syarikat dan mempunyai pelbagai kereta berjenama mewah seperti Ferrari, Bentley dan Lamborghini.

Akberdin berkata, seorang saksi, akauntan Andrew Heng telah memberitahu mahkamah Mahmud Bekir mempunyai aset dianggarkan melebihi RM1 billion.
“RM100 juta bukan jumlah melampau dan mutaah dibenarkan dalam Islam sebagai hadiah daripada suami kepada isterinya yang diceraikan kerana sikap suami yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, peguam Mahmud Bekir, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, jumlah tuntutan RM100 juta itu melampau.
“Ia bertentangan dengan undang-undang Islam untuk mendapat mutaah sebanyak itu,” katanya yang mendakwa Shahnaz gagal membuktikan dakwaan yang dibuat terhadap bekas suaminya.

“Shahnaz gagal mengemukakan dokumen yang membuktikan dia menderika kerana didera dan tiada laporan polis atau laporan perubatan yang membuktikan dia cedera,” katanya.

Katanya, Mahmud Bekir telah melaksanakan tanggungjawab mengikut Undang-undang Keluarga Islam dengan memberi nafkah, rumah banglo dan kereta walaupun mereka telah tinggal berasingan.

“Shahnaz juga gagal menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dengan menjaga keperluan suami selepas dia dan anak guam saya hidup berasingan,” kata Zainul.

Zainul berkata, anggaran aset yang dimiliki Mahmud Bekir hanya anggaran kasar tanpa mengambil kira liabiliti yang ditanggung anak guamnya.

Hakim menetapkan 28 Januari tahun depan untuk membuat keputusan.

Shahnaz dan Mahmud berkahwin pada 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Mereka bercerai pada 2011 selepas hidup berasingan selama 11 tahun.

Kes penceraian mereka mendapat perhatian kerana keduanya-duanya daripada keluarga yang dikenali di samping menjadi kes penceraian antara termahal di Malaysia.

Shahnaz adalah kakak kepada penyanyi terkenal tempatan, Datuk Sheila Majid.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.