Followers

Wednesday, November 11, 2015

Pemotongan drastik Bajet 2016, Suhakam ingin penjelasan Putrajaya - OLEH ELIZABETH ZACHARIAH

 Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Tan Sri Hasmy Agam melahirkan kebimbangan berhubung pengurangan peruntukan bajet bagi 2016 yang pasti akan menjejaskan program dan aktiviti dirancang suruhanjaya itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 November, 2015.
 
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Tan Sri Hasmy Agam melahirkan kebimbangan berhubung pengurangan peruntukan bajet bagi 2016 yang pasti akan menjejaskan program dan aktiviti dirancang suruhanjaya itu

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Tan Sri Hasmy Agam melahirkan kebimbangan berhubung pengurangan peruntukan bajet bagi 2016 yang pasti akan menjejaskan program dan aktiviti dirancang suruhanjaya itu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menyoal Putrajaya berhubung keputusan mengurangkan secara drastik peruntukan bajet untuknya bagi tahun 2016, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bulan lalu.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, suruhanjaya itu amat bimbang kerana ini bermakna program-program tertentu yang dirancang sebelum ini tidak boleh dilaksanakan.

Bajet Suhakam untuk tahun depan dipotong sebanyak 50% iaitu daripada RM10,986,200 pada 2015 kepada RM5,509,400 pada 2016.

"Kami tentunya sangat bimbang mengenai potongan drastik bajet itu kerana ia akan memberi kesan buruk kepada program dan aktiviti yang dirancang," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Kami akan mengambil perkara itu ke perhatian kerajaan seawal esok hari. Kami akan memaklumkan kepada orang ramai perkembangan mengenai perkara ini."

Suhakam ialah institusi hak asasi manusia kebangsaan yang diberi mandat oleh Parlimen mempromosi pendidikan mengenai hak asasi manusia, memberi nasihat mengenai dasar dan perkara berkaitan perundangan dan melakukan siasatan.

Ia selama ini vokal terhadap beberapa dasar dan undang-undang kerajaan yang dianggap kejam dan tidak adil.

Suhakam pernah menggesa Putrajaya memansuhkan Akta Hasutan dan mengkritik kerajaan kerana menggunakannya bagi mendiamkan mereka yang berbeza pendapat di kalangan pembangkang, aktivis dan wartawan, antara lain.

Terdahulu, kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyelar Najib kerana mengurangkan bajet Suhakam untuk 2016, mengatakan ia akan menyukarkan suruhanjaya itu menjalankan operasinya dan kempen awam.

"Selepas 15 tahun perjuangan, Suhakam mendapat sedikit pengiktirafan daripada rakyat Malaysia.

"Walaupun kejayaan mereka bukanlah tanpa kelemahan, impak mereka terhadap wacana hak asasi manusia di Malaysia tidak boleh sewenangnya disangkal," kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy.

"Walaupun dengan kejayaan mereka (atau mungkin disebabkan kejayaan mereka), kerajaan Malaysia membuat keputusan menyekat dan mengurangkan bajet Suhakam untuk 2016."

Beliau berkata, potongan terhadap bajet itu hanya menunjukkan kekurangan kesungguhan politik di pihak Putrajaya untuk memberi kuasa kepada suruhanjaya itu.

"Kerajaan Malaysia tidak boleh, dengan hati nurani yang baik, mengaku mereka memartabatkan hak asasi manusia dan kebebasan awam apabila ia tidak dicerminkan dalam peruntukan bajet untuk Suhakam," katanya.

Sevan menggesa Putrajaya mengkaji semula peruntukan bajet Suhakam serta memberi suruhanjaya itu lebih kuasa untuk campur tangan bagi menjalankan operasi dan kempennya.

"Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kerajaan gagal mematuhi Prinsip-prinsip Paris dan akhirnya mengakibatkan Suhakam jatuh daripada status 'A' yang dipegangnya ketika ini," katanya, merujuk kepada syarat yang diguna pakai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.