Followers

Saturday, November 7, 2015

Kumpulan pengguna bantah kenaikan tambang, mahu panel kaji semula OLEH MELATI A. JALIL



Tambang LRT akan naik dari Disember 2, menambahkan beban pengguna.

Tambang LRT akan naik dari Disember 2, menambahkan beban pengguna.

Kenaikan satu demi satu tambang pengangkutan awam beberapa bulan kebelakangan ini mendorong kumpulan pengguna mencadangkan agar Putrajaya menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelia tambang sistem pengangkutan serta menimbang keperluan dan asas sebarang kenaikan.

Presiden Persatuan Pengguna Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) Ajit Johl berkata, kumpulan itu mahu kerajaan membekukan kenaikan itu kerana masanya yang tidak sesuai, sambil menambah, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak sepatutnya menjadi pihak berkuasa tunggal dalam membuat keputusan mengenai kenaikan tambang.

“Peranan jawatankuasa ini adalah untuk menubuhkan sebuah metodologi adil, saksama dan telus bagi tambang. Jawatankuasa itu akan mempunyai kuasa dalam semakan semula tambang dan SPAD perlu memberi tumpuan kepada mengawal selia industri.

“Ia sepatutnya menjadi sebuah jawatankuasa bebas kaji semula tambang yang melapor terus kepada Pejabat Perdana Menteri kerana pengangkutan awam, meliputi kereta api, bas dan teksi, adalah di bawah bidang kuasa pejabat itu,” kata Ajit kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga perlu terdiri daripada semua pihak berkepentingan dan perlu menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menentukan asas kenaikan tambang.

"Jawatankuasa ini akan menetapkan KPI dan jika anda mahu menaikkan tambang, anda tidak sepatutnya menerima sebarang aduan. Jika ada aduan, saya minta maaf, anda tidak boleh menaikkan tambang. Ia perlu bebas dan telus," katanya.

Beliau juga mendakwa SPAD mempunyai terlalu banyak kuasa dalam menentukan tambang.

"Anda perlu satu badan mengawal selia SPAD, yang merupakan jawatankuasa semakan semula tambang dan kami menggesa perdana menteri segera menubuhkan jawatankuasa ini yang terdiri daripada semua pihak berkepentingan."

Kenaikan tambang bermula pada Mac tahun ini apabila SPAD mengumumkan kenaikan tambang teksi dan bas ekspres, masing-masing sebanyak 49% dan 22%.

Pada Isnin, Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad mengumumkan kadar tambang baharu, meningkatkan harga daripada 11 sen bagi setiap kilometer, kepada 15 sen bagi setiap kilometer, 12 tahun selepas semakan terakhir.
 
 

Kadar kenaikan tambang baharu ini adalah adalah dari RM0/trip hingga RM7.10/trip (mengikut perjalanan stesen ke stesen) dan dikecualikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) juga mengumumkan rasionalisasi tambang LRT dan monorel, yang akan menyaksikan tambang dikira mengikut jarak.

Tambang bagi LRT akan bermula dengan bayaran rata 70 sen dan 30 sen bagi 4km pertama.

Kadar ini berkurangan bagi setiap 5km hingga 24km, di mana kadarnya menjadi 10 sen.

Penumpang monorel akan dikenakan tambang bermula pada kadar 70 sen dan RM0.58 bagi 4km pertama dan RM0.37 bagi 5km seterusnya.

Tambang baharu bagi komuter KTM, LRT dan monorel akan berkuatkuasa pada 2 Disember.

Kenaikan tambang diumumkan selepas sebulan peningkatan kadar tol yang menyaksikan kenaikan antara 10 sen dan RM6 pada 12 lebuh raya utama di Lembah Klang.

Ajit berkata hujah mengatakan kenaikan ini perlu kerana ia sudah lama tertangguh adalah tidak masuk akal, kerana rakyat tidak mempunyai pilihan memandangkan kenaikan tol dan tambang pengangkutan awam dilaksanakan dalam jarak beberapa minggu sahaja.

"Kami menggalakkan kenaikan kadar tol kerana ia melibatkan kenderaan persendirian dan tiada kaitan dengan pengangkutan awam, selagi kadar tambang pengangkutan awam tidak terjejas.

"Mereka yang terkesan dengan kenaikan tol akan mencari alternatif, tetapi apabila melihat kepada alternatif, ia (tambang pengangkutan awam) juga semakin meningkat.

"Mereka sepatutnya mengekalkan kadar untuk setahun lagi, supaya pihak yang terkesan dengan kadar tol boleh menggunakan laluan alternatif."

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selvaraj berkata, pengguna jalan raya terkesan dari semua arah, terutamanya apabila kenaikan dilaksanakan tidak berapa lama selepas kerajaan memperkenalkan GST pada April.

Beliau berkata sistem pengangkutan awam yang baik akan memberi pengguna banyak pilihan, tetapi keadaan hari ini tidak meninggalkan rakyat dengan sebarang pilihan.

"Jika pengangkutan awam baik, anda boleh (pilih) untuk menggunakan kereta dan membayar kenaikan tol, tetapi apabila pengangkutan awam tidak baik, anda terpaksa menggunakan kereta dan membayar kenaikan tol.

"Saya rasa mereka (kerajaan) benar-benar memandang remeh kesan kos sara hidup kepada rakyat, dan memandang rendah mereka yang tidak menggunakan pengangkutan awam kerana terpaksa menggunakan kereta."

Beliau berkata daripada meningkatkan tambang, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti perkhidmatan terlebih dulu dan membuatkan pengangkutan awam pilihan pertama rakyat.

"Apabila kita mencapai tahap sistem pengangkutan awam yang baik, maka kita boleh bercakap mengenai kenaikan harga, kerana anda meletakkan tekanan ke atas semua pihak tanpa menangani keperluan rakyat.

Komen beliau ekoran kenyataan Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Abdul Rahman Dahlan yang pengguna jalan raya di Lembah Klang harus membuat perancangan dengan lebih baik dan menggunakan laluan alternatif jika mahu mengelak daripada membayar tol.

Rahman berkata, pemilik kenderaan boleh menggunakan jalan alternatif bebas tol jika mereka tidak mahu berbelanja banyak, yang memerlukan mereka sama ada mengharungi kesesakan lalu lintas atau bangun awal untuk mengelakkannya.

Kenyataannya itu menyebabkan kekecohan di kalangan pengguna media sosial yang menyatakan dengan tegas beliau tidak sensitif terhadap rakyat biasa.

Selvaraj berkata pada masa ini, khususnya, kerajaan tidak membantu mengurangkan kos sara hidup, dan sebaliknya membuatkan ia lebih sukar kepada rakyat, sambil menambah selepas mengutip GST, keutamaan perlu diberikan kepada menyediakan perumahan, pengangkutan awam dan penjagaan kesihatan untuk rakyat.

Beliau berkata apabila sistem pengangkutan awam yang boleh diharap dan mampu milik boleh menjadi tulang belakang kepada sebuah bandar, rakyat akan mula tinggal di pinggir Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar.

"Anda tidak menangani masalah ini sama sekali. Kini kita ada kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam yang tidak boleh diharap dan kita membelanjakan terlalu banyak wang untuk pengangkutan apabila sepatutnya sistem pengangkutan awam mampu milik yang baik menjadi keutamaan kerajaan." – 7 November, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.