ULASAN Cubaan untuk tidak bersama Persekutuan Malaysia bukanlah polemik baharu. Yang pertama seumpamanya adalah sebelum pengisytiharan Persekutuan ini pada tahun 1963 yang dikemukakan oleh Sultan Kelantan terhadap kerajaan Persekutuan Malaya pada ketika itu.
Polemik ini muncul untuk beberapa ketika dan mutakhir ini, ia muncul sekali lagi, bukan dari Kelantan tapi dari Johor dan Sarawak. Pastinya, ia muncul bersebab, sebagaimana Sultan Kelantan pada tahun 1963 begitu juga dengan Gerakan Sarawak for Sarawakian dan suara para putera Diraja Johor.
Menjawab TMJ
Saya ingin merujuk kembali kepada kursus Pengenalan Undang-undang Antarabangsa tahun lalu tentang hak bernegara. Fokusnya kepada cubaan dan usaha yang seumpamanya di Scotland dan Timor-Timor (kini dikenali sebagai Timor Leste).
Dua entiti ini mempunyai azam yang sama, untuk menegakkan hak bernegara mereka (Dewan Bahasa dan Pustaka menetapkan takrifnya sebagai hak penentuan kebebasan) tapi dengan proses yang sangat berbeza.
Secara ringkas, kedua-duanya mulai usaha untuk berkerajaan sendiri sejak 1970-an. Bezanya antara Scotland dan Timor-Timor; yang pertama diusahakan dengan proses demokratik manakala yang kedua melalui proses pertumpahan darah setelah proses demokratik dinafikan.
Bagi Scotland dan juga Britain, suara rakyat merupakan nadi demokrasi, makanya, ia tidak dinafikan meskipun terdapat usaha politik untuk mengelak. Lantas, referendum digubal bagi membenarkan rakyat menyuarakan hak mereka; sama ada mahu terus bersama atau berpisah.
Usaha pertama gagal tanpa sebarang pertumpahan darah. Usaha tak pernah berhenti dan ia digagaskan sekali lagi pada tahun 2000; diberi pilihan sama ada diberi kuasa autonomi atau bebas merdeka, sekali lagi gagal untuk bebas sebaliknya rakyat Scotland memilih untuk mendapatkan hak autonomi dalam bidang kuasa tertentu.
Tahun lalu, nasionalis Scotland sekali lagi menggembleng usaha untuk merdeka juga melalui referendum rakyat; untung nasib mereka kekal; rakyat mengundi untuk kekal bersama.
Berbeza pula dengan proses seumpamanya di Timor Timor, asalnya mahu merdeka dari penjajah Portugis, sebaliknya ditawan oleh kerajaan Indonesia. Sejak itu, usaha ke arah berkerajaan sendiri bermandikan darah.
Timor-Timor juga telah menjadi model krisis kemanusiaan bagi ASEAN yang mendapat perhatian dunia. Penafian hak rakyat Timor-Timor diperhebat di bawah rejim Suharto dan sebaik kuasa beliau rebah, Pak Habibie mengambil tampuk kuasa dan menjalankan proses demokratik dalam menyelesaikan krisis Timor-Timor.
Dua pilihan diberikan melalui referendum rakyat; autonomi atau bebas merdeka – majoriti rakyat bersuara untuk membentuk sebuah Timor Leste yang bebas merdeka pada tahun 2002.
Yang pasti, ia bukanlah hak suara individu atau keluarga nasionalis mahupun diraja, tetapi merupakan hak rakyat sebagaimana penghakiman oleh Hakim Dillard dalam kes Sahara melalui referendum. Prosesnya terlalu teknikal sebagaimana yang diulas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.
Sekali lagi, perbezaan ketara antara Scotland dan Timor Leste adalah soal kematangan demokrasi dan kesediaan rakyatnya. Persoalan pokok, sudah bersediakah rakyat Sarawak dan Johor untuk berkerajaan sendiri? Adakah demokrasi di Malaysia sudah benar-benar matang untuk meraikan hak bernegara ini?
Hasil menegakkan hak bernegara ini melibatkan jangka masa panjang bagi kelangsungan rakyat dan negara. Ia juga soal hak asasi manusia. Jangan kalut keluar dari mulut buaya, tapi akhirnya terperangkap dalam mulut naga.
Sindrom negara dunia ketiga
Senada dengan jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamad, saya berpendapat bahawa rakyat Johor malah TMJ berhak untuk berkerajaan sendiri. Perkara ini tidak dinafikan, tapi biarlah melalui saluran demokratik.
Majoriti rakyat Johor mungkin tidak bersetuju dengan suara putera raja Johor ini kerana semangat kebangsaan masih menebal dalam kalangan anak Johor sebagaimana semangat kenegerian mereka.
Sepertimana yang dinyatakan Nur Jazlan, polemik seperti ini juga pasti menjejaskan usaha mengukuhkan kestabilan sosial di Malaysia.
Berdasarkan pelajaran yang saya ikuti dalam kursus Politik di Negara Membangun pada semester lalu, peranan elitis tradisional juga signifikan dalam menjamin kelangsungan negara bangsa pasca perang dunia kedua meskipun keterlibatan mereka terhad.
Suara mereka ini juga berpengaruh. Jika silap pencaturan, sebagaimana amaran Nur Jazlan Mohamad, bisa menggugat usaha penyatuan dan pengukuhan negara bangsa.
Kerajaan mengenakan tindakan undang-undang ke atas gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), maka tindakan serupa wajar juga dikenakan kepada para putera raja ini, selari dengan cadangan pakar perlembagaan, Dr Aziz Bari.
Hak bernegara ini akan gagal jika rakyat tidak celik dan faham tentang konsep demokrasi. Akhirnya, usaha seperti ini sekadar menguntungkan sesetengah pihak sahaja atas nama rakyat.
MUHAMMAD ARIFF MOHAMAD NIZAM siswa program kajian antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.