Followers

Wednesday, October 7, 2015

Sanusi Junid tak kisah dipanggil 84 Zulaikha Zulkifli



Veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya dipanggil oleh parti untuk memberi sebarang keterangan.

Malah bekas setiausaha agung Umno itu secara berseloroh berkata, beliau tiada masalah untuk memberi penerangan kepada parti memandangkan beliau suka bersyarah.

"Biarlah. Itu kerja dia (setiausaha agung). Kalau dia tak buat (kerja), dia nak buat apa lagi.

"Kalau nak panggil, saya tak kisah. Saya memang suka bersyarah," katanya sambil tersenyum ketika ditemui pemberita selepas program Bicara Minda di Karangkraf hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung kemungkinan dipanggil oleh Umno berikutan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan tujuh pemimpin Umno dipantau kerana dikatakan melanggar disiplin parti.

Bagaimanapun, menteri Wilayah Persekutuan itu tidak menamakan siapa tujuh individu tersebut.

Selain itu, sekalipun Tengku Adnan itu tidak mendedahkan individu yang terlibat dan sebabnya, namun umum boleh mencongak pemimpin yang dimaksudkan berdasarkan perkembangan semasa, aktiviti dan kenyataan masing-masing.

Setakat ini masih belum jelas pemimpin terbabit sama ada di peringkat atasan ataupun akar umbi.

Pemimpin lain yang mungkin terlibat ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri kabinet Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.