Followers

Saturday, October 17, 2015

Matthias henti mogok lapar, kumpul tenaga lawan Najib


Peguam Matthias Chang menamatkan mogok laparnya semalam kerana tidak ada pemimpin Umno yang menyahut cabarannya untuk sanggup mati demi perjuangan masing-masing.

Antara mereka yang dicabarnya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pemimpin Umno Tan Sri Mohd Ali Rustam, Datuk Ahmad Maslan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Azalina Othman.

"Memandangkan tidak ada mereka yang dinamakan itu (menyahut cabaran saya) dan kerana saya telah mogok lapar selama tujuh hari dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius kepada kesihatan saya, ini adalah bukti bahawa Allah telah melindungi saya," kata Chang dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman webnya.

Katanya, beliau telah menunjukkan keadilan dalam perjuangannya - keadilan, kebenaran dan maruah dan berkata Najib telah gagal untuk berbuat demikian.

Oleh itu, katanya beliau tidak perlu lagi untuk meneruskan mogok lapar.

Chang mengadakan mogok lapar ketika beliau ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 8 Oktober.

Beliau telah pun didakwa bersama dengan anak guamnya Datuk Khairuddin Abu Hassan kerana dituduh cuba mensabotaj sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan negara ini.

Pendakwaan mereka kerana membuat laporan polis terhadap 1MDB di luar negara, telah dikritik sebagai satu percubaan untuk menutup mulut pengkritik Najib.

Chang, yang kini menerima rawatan di rumah sakit penjara Sungai Buloh, berkata, beliau akan mengumpul kekuatan untuk melawan perdana menteri.

Katanya, beliau akan menumpukan segala kekuatan dan tenaganya dengan Khairuddin untuk mendedahkan dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh rejim Najib sehingga mencapai kemenangan untuk semua rakyat Malaysia demi nilai, kebenaran, keadilan dan maruah.

Chang, yang juga seorang Katolik, berkata beliau percaya Allah, dewi Kali Hindu dan dewa-dewa Tao akan melindunginya dan memberinya kekuatan dalam perjuangannya menentang Najib.



Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.