Followers

Wednesday, October 21, 2015

Keputusan ‘sukar’ bagi capai bajet seimbang, kata Najib


Kerajaan terpaksa membuat keputusan 'sukar', seperti memansuhkan subsidi bahan api dan memperkenal Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), bagi membolehkan negara merealisasikan bajet seimbang.

"Seperti sasaran, kita yakin menjayakan bajet seimbang, atau hampir sedekat mungkin, pada 2020," katanya dalam ucapan pada Forum Transformasi Global di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam merealisasikan sasaran itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata beberapa keputusan sukar perlu diambil, termasuk memansuhkan subsidi bahan api, dan pelaksanaan GST, pada April tahun ini.

Kedua-duanya kata Perdana Menteri merupakan antara keputusan paling sukar yang diambil oleh kerajaan bagi menggalakkan daya saing serta meningkatkan asas percukaian dengan ketara.

"Bukan semua orang suka dengan langkah ini. Namun tindakan itu perlu untuk kita meneruskan transformasi," katanya.

Strategi perlu disusun semula bagi memastikan objektif dan hasrat negara kekal teguh serta mengekalkan wawasan jangka panjang untuk Malaysia dalam kekangan ekonomi global semasa, kata Najib.

Penurunan harga minyak dan komoditi, jangkaan peningkatan kadar faedah oleh US serta penyusutan nilai Yuan China, sukar untuk negara dagangan seperti Malaysia, katanya.

"Pelaburan semakin berkurangan. Saingan untuk pelabur global semakin meningkat, dan ekonomi kita dalam kedudukan bahaya terperangkap dalam kedudukan pendapatan sederhana. Perlu ada enjin pertumbuhan dan pencergasan," katanya.

Najib berkata negara perlu keluar daripada perangkap pendapatan sederhana untuk meneruskan matlamatnya menjadi negara berstatus pendapatan tinggi pada 2020.

"Kita perlu galakkan pertumbuhan, dan pada masa yang sama mengurangkan ketidakcekapan - tanpa berkompromi ke atas taraf hidup. Kita perlukan transformasi," katanya.

Najib berkata defisit fiskal Malaysia melalui momentum positif setiap tahun sejak bermulanya Program Transformasi Nasional pada 2010, susut kepada 3.4 peratus tahun lalu berbanding 6.7 peratus pada 2009, permulaan tahun pelaksanaan transformasi.

Pencapaian baharu dari segi defisit fiskal akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini semasa pembentangan Bajet 2016, katanya.

Pelan transformasi nasional yang meliputi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, membantu menangani pembangunan luar bandar, pengangkutan awam bandar dan membantu isi rumah berpendapatan rendah.

"Ini menjadi inti pati transformasi kita memandangkan ia mesti berkekalan dan terangkum. Kita mahu semuanya dikongsi bersama, tanpa mengira usia, lokasi, kepercayaan dan etnik, kerana transformasi adalah untuk semua rakyat Malaysia," katanya.


- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.