Followers

Thursday, October 29, 2015

Guru Besar Hilang Ingatan Ketuk Pintu Rumah Orang Asli Minta Makanan


 

KUALA KUBU BHARU: Selepas enam hari dilaporkan hilang, guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, dikatakan pernah beberapa kali meminta makanan daripada penduduk Kampung Orang Asli Buluh Telur di sini.

Anak ketiga mangsa Mohamad Irfan Ruzilan, 20, yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat, berkata beberapa penduduk kampung menyatakan ibunya mengetuk pintu rumah penduduk untuk meminta makanan.

"Mereka kata ibu pernah ketuk pintu rumah pada sebelah malam meminta makanan...malangnya mereka hanya memberikan makanan tetapi tidak tahu ibu sebenarnya hilang dan tidak sihat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jashiah, 53, kali terakhir dilihat jiran keluar dari rumahnya petang Jumaat lepas, dan apabila suaminya Ruzilan Omar, 57, pulang didapati pintu rumah terbuka dan Jashiah tiada di rumah.

Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan hutan simpan Bukit Kutu selepas keluar daripada rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain kira-kira 10km.

Mohamad Irfan berkata selepas mengetahui ibunya hilang, dia segera pulang ke rumah pada Ahad lepas.

"Saya sepatutnya mengambil bahagian dalam Karnival Sukan Mahasiswa UiTM di Kedah tetapi saya tarik diri sebab nak cari ibu," katanya.

Beliau berkata sejak ibunya menjalani rawatan kimoterapi Mac lepas akibat barah payudara yang dihidapinya sejak dua tahun lepas, ibunya kelihatan murung dan pernah menghilangkan diri pada Ogos lepas, dan ditemui di Seremban.

"Ibu memang sedikit emosi selepas menjalani rawatan kimoterapi apatah lagi apabila kami adik-beradik masing-masing sudah bekerja dan belajar, dan hanya pulang sekali sekala.

"Ibu pernah hilang sehari dan ditemui di Seremban dengan memandu keretanya," kata Mohamad Irfan yang kali terakhir berbual dengan ibunya menerusi telefon, sehari sebelum Jashiah dilaporkan hilang.

Mohamad Irfan berkata ibunya sudah tidak ke sekolah sejak Mei lepas, dan perkara berkaitan tugasan, guru lain akan datang ke rumah.

"Ibu bertugas di Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu dan tinggal di kuarters bersama ayah yang merupakan pesara tentera...seminggu sekali ibu dan ayah akan pulang ke rumah kami di Taman Seri Seruling," katanya.

Menceritakan mengenai sifat Jashiah, Mohamad Irfan berkata ibunya merupakan seorang yang ceria dan suka berbual serta berkongsi cerita dengan mereka empat beradik.

"Kalau kami balik rumah bawa makanan, ibu kelihatan berselera menjamah makanan yang kami bawa," katanya.

Anak sulung mangsa Mohamad Syahidzul Izuan Ruzilan, 22, pula berkata kali terakhir dia bertemu ibunya sebulan lepas, sebelum bertolak ke Pulau Pangkor, Perak memulakan tugas di tempat baharu.

"Ibu beri saya duit untuk beli barang dan pakaian. Sebelum ini saya bekerja di Kajang dan tinggal di Kajang," katanya.

Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri yang turut menyertai operasi berkata pada Sabtu lepas, iparnya ada memberikan makanan kepada mangsa.

"Ipar saya kata Jashiah meminta makanan dan kemudian meminta untuk dihantar ke kawasan berhampiran hutan simpan (Bukit Kutu)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R Supramaniam berkata lokasi pencarian dibahagikan kepada utara, selatan, timur dan barat.

"Untuk semalam, kita sudah buat pencarian di bahagian utara serta selatan dan hari ini, kita buat pencarian di bahagian timur dan barat.

"Tetapi setakat ini, tiada lagi sebarang petunjuk yang diperoleh. Saksi kejadian ada yang kata mangsa memberitahu ingin ke hutan simpan Bukit Kutu.

"Kita telah kumpulkan maklumat daripada tiga saksi di kawasan sekitar yang dipercayai dapat membantu kita dalam usaha pencarian," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan setakat ini, diklasifikasikan sebagai orang hilang dan operasi pencarian masih diteruskan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.