Followers

Saturday, October 31, 2015

DAP menangi hati penduduk kawasan terpencil Sarawak OLEH SHERIDAN MAHAVERA


Sukarelawan DAP dan penduduk kampung cuba mengalih sebuah batu besar bagi projek pemasangan paip air di Long Luping, Lawas, Sarawak. –

Sukarelawan DAP dan penduduk kampung cuba mengalih sebuah batu besar bagi projek pemasangan paip air di Long Luping, Lawas, Sarawak. –

Di kebanyakan kampung di Semenanjung Malaysia, DAP masih menerima reputasi buruk, tetapi semakin banyak tempat terpencil di Sarawak menerima dengan tangan terbuka kedatangan parti pembangkang itu.

Pada 27 September, parti itu menyiapkan projek bekalan air untuk Kampung Long Luping di Lawas, sebuah perkampungan desa Orang Ulu berhampiran sempadan Indonesia di Kalimantan tengah.

Projek itu siap hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya negeri di Sarawak, yang akan diadakan pada atau sebelum 20 September, 2016.

Selain calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13, DAP tidak mempunyai wakil tempatan atau pejabat di Lawas, yang terletak kira-kira 3 jam perjalanan menggunakan jalan tidak berturap, juga bandar terdekat dengan Long Luping.

Populariti DAP di kalangan puak Orang Ulu menunjukkan kejayaannya menembusi kawasan paling hulu di Sarawak, kata seorang sukarelawan Impian Sarawak.

Tetapi kejayaan itu ada kesannya. Rakan sekutu pembangkang PKR, yang juga banyak melakukan kerja untuk kalangan luar bandar, mula tidak selesa dengan kemungkinan DAP bertanding kerusi luar bandar.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak juga memperhebat kempen propaganda memburuk-burukkan DAP di kalangan rakyat negeri itu di luar bandar, sama seperti dilakukan di Semenanjung.

Dari mulut ke mulut
Jejak DAP paling besar di kalangan masyarakat luar bandar Sarawak ialah menerusi inisiatif Impian Sarawak, di mana mereka membantu komuniti miskin dengan projek infrastruktur berskala kecil.

Dalam kebanyakan projek itu, aktivis atau ahli mencadangkan kampung yang serba kekurangan kepada pasukan Impian Sarawak bagi mendapatkan bantuan.

Dalam kes kawasan Orang Ulu, skim itu dijalankan menerusi mulut ke mulut dan penduduk kampung sendiri yang minta bantuan, kata Dr Baru Langub atau Dr Bob (gambar, kiri), seorang pemimpin DAP Orang Ulu berpangkalan di Miri, Sarawak.

Pemimpin masyarakat di Kampung Long Luping mendengar kisah bagaimana Impian Sarawak membantu memasang sistem air graviti di kampung berhampiran, Kampung Long Sukang, dan meminta nombor telefon Impian Sarawak untuk dihubunginya.

Sistem air di Kampung Long Sukang juga dipasang selepas pemimpin di kampung itu terdengar mengenai program Impian Sarawak daripada seorang rakan di Limbang. Rakan dari Limbang itu tinggal di rumah panjang di mana Impian Sarawak memasang sistem air yang serupa.

Dalam kebanyakan projek Impian Sarawak sebelum ini, sukarelawan terpaksa berdepan dengan kebanyakan penduduk yang takut kerajaan BN negeri akan menghukum penduduk yang bekerja dengan parti pembangkang.

“Di Long Luping dan Long Sukang, penduduknya terbuka untuk bekerja dengan kita,” kata Dr Bob.

“Sudah 10 tahun kita minta BN bantu dengan bekalan air ke kampung kami. Mereka selalu kata tunggu, tunggu. Tidak pernah sampai,” kata Balang Lawai, pemimpin masyarakat dari Long Luping.

Dua kampung itu menghadapi masalah serupa. Setiap kampung hanya ada satu sistem air yang dikongsi antara sekolah rendah dan rumah.

Antara jam 6 petang dan 6 pagi, tidak ada bekalan air di rumah kerana ia disalurkan ke sekolah, di mana terdapat asrama di sana.

Dari 6 pagi hingga 6 petang, semua bekalan air akan disalurkan ke kampung, dan sekolah tidak ada air langsung.

Pada musim kemarau, guru terpaksa membawa murid mandi di sungai berhampiran kerana air tidak mencukupi, kata seorang bapa Leban Sakai.

Dengan adanya sistem baharu itu, kedua-dua kampung dan sekolah masing-masing mempunyai bekalan air 24 jam.

Pemimpin masyarakat Long Sukang Yaris Semayong mendakwa DAP dihormati disebabkan 2 projek air itu dan penduduk kampung akhirnya sedar kemungkinan memilih seseorang yang lain daripada BN untuk mentadbir.

“Bagi Orang Ulu, kita tidak memilih berdasarkan bangsa atau agama, hanya siapa yang terbaik dalam berkhidmat kepada rakyat,” kata petani berusia 54 tahun itu.

Tindak balas dan akibat

Tetapi wujud tindak balas daripada pihak berkuasa Sarawak dan menteri negeri yang berusaha menyerang Impian Sarawak di media tempatan.

Kanak-kanak Bidayuh menyalakan pelita menandakan berakhirnya projek Impian Sarawak di Long Luping, Lawas.

Kanak-kanak Bidayuh menyalakan pelita menandakan berakhirnya projek Impian Sarawak di Long Luping, Lawas. –

Yaris dari Long Sukang mendakwa mendapat tekanan pejabat daerah Lawas untuk membatalkan projek kampung itu. Beliau bertegas dan penduduk kampung serta pasukan Impian Sarawak berjaya menyiapkannya.

Reputasi lebih baik dengan masyarakat kampung menerusi Impian Sarawak mendorong DAP mempertimbangkan untuk bertanding di kawasan luar bandar Sarawak dan ini akan menyebabkan kemungkinan wujudnya pertembungan dengan PKR.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jien mengesahkan parti itu menyasarkan untuk bertanding di 30 kerusi dalam pilihan raya negeri tahun depan, naik daripada 11 kerusi yang dipegang sekarang.

DAP menang hampir semua kerusi di kawasan bandar, di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

“Jadi andaian logik ialah, DAP kini melihat untuk mengembangkan ke kawasan bandar lebih kecil Sarawak, di kawasan pedalaman, kalau tidak di mana lagi mereka hendak cari tambahan 19 kerusi?,” kata seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan.

Kemungkinan pertembungan antara 2 parti pembangkang itu sangat tinggi kerana tidak seperti di Semenanjung, DAP bukan gabungan rasmi dengan PKR.

“PKR sudah banyak berusaha untuk membina pangkalan parti di kawasan luar bandar sejak pilihan raya negeri sebelum ini (pada 2011). Mereka kini mempunyai ramai ahli di kalangan suku Sarawak,” kata seorang pemimpin DAP dari selatan Sarawak yang juga enggan dinamakan.

“Jika kita tidak menyelesaikan konflik kerusi kita dan berdepan dengan mereka dan BN, ia boleh jadi sangat teruk.”

BN Sarawak masih menjadi halangan terbesar.

Dr Bob mendakwa menteri BN Sarawak menuduh projek Impian Sarawak sebagai cacat. Malah ada laporan di akhbar Sarawak mendakwa penduduk sebenarnya terpaksa membayar yuran pendahuluan RM250 seorang bagi setiap projek.

Secara realitinya, kos bahan dan operasi bagi projek Impian Sarawak ditanggung DAP menerusi derma orang ramai. Penduduk kampung hanya perlu membantu memasang projek itu bersama sukarelawan DAP yang datang untuk melaksanakannya.

“BN kata mereka mahu buat semuanya untuk ambil balik kerusi pembangkang,” kata Dr Bob, menambah kebimbangan yang bertambah itu bukan perkara buruk.

“Saya beritahu penduduk kampung, jika BN mahu melakukannya, baguslah. Minta semuanya daripada mereka, jalan, air, bekalan elektrik dan pastikan mereka melaksanakannya semua sebelum anda mengundi. Lebih pun, semua benda itu daripada duit rakyat, bukan mereka,” katanya. – 31 Oktober, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.