Datuk Seri Najib Razak hari ini enggan mendedahkan mengenai sumbangan politik yang diterima Umno, walaupun terpalit dengan skandal derma RM2.6 bilion, kerana katanya, parti pembangkang juga tidak mendedahkan dana yang diterima mereka.
Presiden Umno itu berkata, beliau sudah menjelaskan kepada ahli Majlis
Tertinggi (MT) dalam mesyuarat yang berlangsung hari ini yang tidak ada
keperluan mendedahkan sumbangan politik itu.
Ini kerana, kata perdana menteri, tidak ada peruntukan undang-undang
yang menyatakan mengenai keperluan mendedahkan dana yang diterima
sesebuah parti politik.
“MT ambil maklum tidak
ada undang-undang guna pakai berhubung dengan sumbangan politik dan
tidak ada keperluan untuk buat pendedahan dari segi undang-undang.
“MT juga ambil maklum semua parti politik mengamalkan sumbangan dan
kutipan derma, termasuk pembangkang,” kata Najib pada sidang media
selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Menara Dato’ Onn, Pusat
Perdagangan Antarabangsa Putra di Kuala Lumpur petang ini.
Najib dikaitkan dengan dana RM2.6 bilion, yang disahkan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai derma politik, susulan pendedahan
mengenai wang itu dibuat The Wall Street Journal (WSJ) awal Julai lalu.
Bagaimanapun, pemimpin Umno sendiri dilaporkan tidak mengetahui
kewujudan wang tersebut dan timbul perbalahan pendapat di kalangan ahli
parti sendiri sama ada ia sewajarnya dimasukkan ke akaun peribadi
beliau.
Najib hari ini turut mempersoalkan desakan pembangkang yang mahu
sumbangan politik itu didedahkan walhal katanya, penganjur perhimpunan
Bersih 4 juga tidak mendedahkan sumbangan yang mereka perolehi.
“Mereka enggan dedahkan sumber dana. Bila sampai kepada mereka, mereka
tuntut ditunaikan, tetapi bila kepada kita, macam-macam dipersoalkan.
“Kita tidak boleh ‘double standard’,” kata Najib mengulas mengenai
sumbangan untuk perhimpunan pada hujung Ogos anjuran pemantau pilihan
raya Bersih 2.0 itu, berjumlah kira-kira RM2.5 juta.
Najib sebelum ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif
Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) selepas pendedahan derma
RM2.6 bilion yang mencetuskan kontroversi.
Pengumuman itu dibuat ketika perdebatan sedang hangat diperkatakan
mengenai amalan pembiayaan politik di Malaysia, di mana tidak ada
undang-undang untuk mengawal derma kepada parti politik, atau
mendedahkan identiti penderma.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.