Followers

Wednesday, September 30, 2015

Saya tersilap, tiada niat campur tangan, kata Nazri Aziz


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengakui kesilapannya berhubung kekeliruan insiden jemputan duta China ke Malaysia dan tidak berniat untuk campur tangan urusan Wisma Putra. –

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengakui kesilapannya berhubung kekeliruan insiden jemputan duta China ke Malaysia dan tidak berniat untuk campur tangan urusan Wisma Putra.

Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, beliau tidak berniat untuk campur tangan urusan Wisma Putra selepas duta China ke Malaysia dipanggil berhubung kenyataannya semasa membuat lawatan ke Jalan Petaling Jumaat lalu.

Bercakap kepada The Star Online, menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, beliau memberitahu Dr Huang Huikang agar tidak bimbang kerana amalan biasa adalah menteri luar, dan bukannya timbalan menteri, yang memanggil duta.

"Amalan biasa Kabinet, apabila seorang menteri tiada dalam negara, hanya menteri lain boleh mewakili beliau, bukan timbalannya," beliau dipetik berkata portal berita itu hari ini.

Katanya, atas sebab itu, beliau menyangkakan Kementerian Luar tidak membuat keputusan memanggil Huang, memandangkan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ketika ini berada di New York bagi menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Saya berpendapat menteri luar akan memanggil sendiri duta itu sekembalinya beliau kerana itu adalah dalam bidang kuasanya, bukan timbalan.

"Ternyata saya tersilap dan tidak mengetahui menteri luar sudah mengarahkan timbalannya," katanya.

Nazri berkata, selama 16 tahun sebagai menteri, beliau beranggapan hanya menteri yang boleh bertindak bagi pihak Wisma Putra, yang mempunyai protokol yang ketat.

"Nampaknya sekarang semua itu sudah berubah dan saya tidak menyedarinya, tapi apa yang pasti, saya menteri yang sangat berpengalaman dan bukan niat saya untuk campur tangan," beliau dipetik berkata.

Semalam, Nazri mendakwa, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak mengikut protokol apabila memanggil Huang bagi memberi penjelasan berhubung kenyataannya.

Susulan itu, terdahulu hari ini, Anifah mengecam anggota Kabinet yang "campur tangan" dalam keputusan Wisma Putra memanggil Huang, mengatakan menjadi amalan biasa bagi kementeriannya untuk memanggil duta.

Katanya, ia tidak memerlukan campur tangan daripada anggota Kabinet lain, sambil menambah, campur tangan pihak lain hanya memberikan persepsi yang negatif pada pandangan orang ramai.

Huang dilaporkan bertemu Datuk Hamzah Zainuddin tengahari semalam atas kapasitinya sebagai pemangku menteri luar.

Duta itu pada Jumaat dilaporkan berkata, China menentang ekstremisme dan diskriminasi kaum, dan memberi amaran terhadap sebarang percubaan menggunakan kekerasan untuk mengganggu gugat ketenteraman awam.

Kenyataan beliau itu dibuat selepas sekumpulan penunjuk perasaan cuba memasuki kawasan Jalan Petaling yang tidak dibenarkan pada perhimpunan baju merah 16 September, menyebabkan keadaan jadi tidak terkawal dan polis terpaksa menggunakan meriam air menyuraikan mereka.

Kumpulan baju merah itu juga dikatakan merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan pada Sabtu lalu, di kawasan destinasi pelancongan yang dikuasai peniaga Cina dan dikenali sebagai Chinatown itu, tetapi ia dibatalkan.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.