PAS tidak perlu dalam Pakatan baru
Secara peribadi, saya amat menyokong desakan Gerakan Harapan Baru (GHB) atau kini dikenali sebagai Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mencadangkan supaya komposisi baru Pakatan Rakyat tidak disertai oleh parti PAS.
Sampai bilakah harapan rakyat terus dikhianati hanya kerana kerakusan segelintir ulama yang mensia-siakan peluang dan amanat?
Pilihan raya umum ke-13 mengajar kita erti pengkhianatan. Apakah kita ingin mengulangi kesilapan yang sama dalam pilihan raya akan datang?
PRU-13 dianggap sebagai peperangan paling sengit merebut demokrasi menyelamatkan negara walaupun di padang yang tidak rata, di antara kuasa dunia terhadap kuasa rakyat.
BN menikmati kelengkapan insfrastruktur peperangan termasuk kawalan ke atas media, dan satu pihak lagi hanya bermodalkan harapan rakyat untuk perubahan. Masihkah kalian lupa bagaimana peperangan ini dimenangkan kepada penyandangnya?
Paling yang kita tidak patut lupa, bagaimana presiden parti itu sanggup menuduh calon Pakatan Rakyat lain sebagai penjual pil kuda, penyembah Karl Marx dan pendokong ajaran komunisme?
Tuduhan dibuat kerana ingin menutup kesilapan mengeluarkan watikah yang menyebabkan pertembungan tiga penjuru di beberapa kerusi penting.
Secara langsung dan tidak langsung, tindakan gopoh presiden parti ini mengundang krisis kepercayaan terhadap Pakatan Rakyat.
Susuk yang membuat tuduhan tanpa bukti ini bukan ketua cawangan atau yang dipertua kawasan, tetapi presiden parti. Maka sudah pasti ia mempunyai kesan nasional yang menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat.
Bayangkan, sedang persiapan perang berada pada saat paling kritikal, tiba-tiba salah seorang jeneral mengarahkan pengeboman di kawasan sendiri yang akhirnya melibatkan kasualti agak parah. Siapa boleh beri jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang? Anwar Ibrahim?
Sudah terlalu banyak sebab sebuah parti ini tidak lagi layak untuk diberi peluang lagi untuk bersama. Watak yang dibawa oleh PAS sangat mengecewakan dan amat berlainan sekali hingga tergamak mengakui bahawa kemenangan BN diraih dalam sistem demokrasi yang adil.
Saya pernah mendesak suatu ketika dulu, jika PAS tidak mahu keluar Pakatan Rakyat, maka PKR dan DAP harus keluar Pakatan Rakyat meninggalkan PAS. Akhirnya, PAS boleh bertanding di semua kerusi yang diingin.
Tidak perlu saya cerita mengenai tuntutan hudud yang akhirnya membawa kepada kehancuran, sedangkan agama mencerca kita membiarkan kekufuran melanda, tetapi jalan kehancuran ini juga dipilih PAS dari selambak pilihan yang ada.
Tidak perlu saya cerita mengenai bah kuning, yang sehingga hari ini masih ada yang tidur dalam khemah.
Tidak perlu saya cerita mengenai hilangnya sifat zuhud selepas tidak sampai sepenggal memegang kuasa. Ada yang sudah memiliki kereta mewah Toyota Vellfire, Range Rover, Porsche Cayenne, dengan nombor plat superstar.
Bila ditanya mengapa pilih kemewahan demikian, mereka jual nama nabi, kononnya nabi dulu pilih kuda terbaik untuk berjuang. Masalahnya, mereka ini taraf nabi kah?
Ketika rakyat berkira-kira membeli lauk, duit tak cukup sampai hujung bulan, mereka pula dilihat bermewah-mewahan. Maka boleh saya bermewah dan meninggalkan sifat zuhud dalam perjuangan.
Saya tidak terkejut bilamana Anwar bersuara dari penjara mencadangkan Pakatan Rakyat yang baru disertai oleh PAS. Hasrat supaya PAS berada dalam Pakatan Rakyat baru ini bukan hanya dari Anwar semata-mata, tetapi juga dari dari luar penjara.
Hanya perjuangan membebaskan rakyat dari kesengsaraan dan penindasan adalah wadah terbaik untuk diangkat bersama. Sasaran paling tepat ialah perubahan sistem dan polisi tanahair.
Apakah hanya kerana PAS mengaku berjuang atas nama Islam, dan nama partinya pun Islam, maka kita harus biarkan diri kita dicandu dan terus mempercayai mereka? Wahai teman, pengalaman banyak mengajar kita, betapa dalam politik rakus mempertahankan kuasa ini apa saja boleh dijual.
Saya ingin imbas semula bagaimana Mat Sabu yang juga timbalan presiden PAS tewas dalam pilihan raya umum ke-13. Begitu juga dengan Dr Dzulkefly Ahmad dan beberapa lagi heavyweight PAS yang sengaja dibiarkan kalah.
Bayangkan, jika jemaah dalam PAS sanggup melakukan khianat sesama mereka ketika berperang dengan Umni, inikan pula sesama Pakatan Rakyat.
Saya percaya PAS akan sanggup mengalahkan semua calon AMANAH, PKR dan DAP andai PAS berada dalam Pakatan baru.
Saya percaya akhirnya presiden mereka akan menjadi ketua pembangkang, dan turut menjadi pembangkang di Kelantan dan Selangor.
Jika PAS ditakdirkan mampu membentuk kerajaan, tidak mustahil jika kuasa tersebut akan dibenarkan menyebelahi rejim penindas, kerana saya melihat PAS amat benci pada DAP.
Saya melihat, prestasi DAP terhadap rakyat jauh lebih baik termasuklah soal penyediaan rumah mangsa banjir di Kelantan.
Jadi, masihkah kalian mahu PAS berada dalam Pakatan yang baru?
EDY NOOR REDUAN aktivis politik dan penulis blog.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.