Followers

Saturday, September 5, 2015

Lagi tekanan antarabangsa untuk penjelasan ‘derma RM2.6 bilion’ Najib


Seorang lagi aktivis anti-rasuah global memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berterus-terang mengenai derma RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, berkata “taktik melambat-lambatkan” yang digunakan untuk menghalang siasatan tidak akan berkesan dalam jangka masa panjang.
Pengasas Bersama Transparency International (TI) Michael J. Hershman berkata, ketidakupayaan Najib menangani soalan mengenai sumbangan itu menjejaskan kredibiliti sebagai perdana menteri.

“Nasihat saya kepada perdana menteri adalah jangan berselindung, tidak menghalang keadilan kerana ia tidak berkesan.

“Katakan yang sebenarnya tentang dari mana wang itu datang dan tangani tuduhan itu. Dan jika beliau melakukan sesuatu yang salah, minta maaf dan berhadapan dengan akibatnya,” kata Hershman di Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah 16 (IACC) di mana Malaysia menjadi tuan rumah.Katanya, sebarang penangguhan tidak akan menghilangkan semua dakwaan.

“Perkara sebenar akan diketahui dan daripada pengalaman saya, lebih cepat ia dikeluarkan adalah lebih baik bagi tertuduh dan negara,” katanya.

Hershman berkata penjelasan yang diberikan setakat ini tidak cukup baik.

“Jika ia datang dari Timur Tengah, daripada siapa? Bila ia diterima dan untuk tujuan apa? Ini adalah soalan yang sangat mudah,” kata Hershman.

Tambahnya, memandangkan Najib mempunyai kawalan akaun, beliau pasti tahu dari mana ia datang.

“Tiada sebab menubuhkan panel untuk siasatan. Hanya beritahu kebenaran. Nyatakannya secara publik,” katanya.

Reaksi awal Najib terhadap laporan The Wall Street Journal berhubung wang dalam akaun beliau pada awal Julai adalah penafian mengambil dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk kepentingan peribadi.

Kemudian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dana sebagai sumbangan politik daripada seorang penderma Timur Tengah.

Najib dan pemimpin Umno yang lain kemudian mula mengatakan dana itu adalah untuk kepentingan parti, dan beliau sebagai presiden parti mempunyai kuasa memegang wang sebagai amanah bagi pihak Umno.

Tetapi Hershman berkata Najib terlepas peluang bercakap kepada penonton global pada IACC.

“Beliau terlepas peluang menjelaskan kebenaran di sini. Saya menghormati beliau dan percaya terhadap integriti beliau. Saya masih bersedia untuk mempercayainya tetapi beliau perlu tampil ke hadapan dan bercakap benar,” kata pegawai TI.

Beliau juga menegaskan Najib melakukan banyak perkara bagi SPRM, sambil menambah ia adalah salah sebuah agensi anti rasuah dibiayai terbaik di dunia dan ia sebahagiannya disebabkan dasar-dasar Najib.

Hershman ialah seorang daripada ahli panel pada sesi bertajuk “Fighting Corruption by Authorities: What worked and what went wrong” di IACC yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Persidangan 3 hari ini dihadiri 1,000 perwakilan dari 130 buah negara berakhir esok.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.