Followers

Friday, September 4, 2015

APA KATA DATO MAHFUZ OMAR.....



TINTA UCAPAN TERBUKA MAHFUZ OMAR (PAS) KEPADA PARTI PEKERJA (GHB) MEMBERI CONTOH BUAT SEMUA BAHAWA BELIAU SEORANG PEMIMPIN YANG PROFESIONAL & BERJIWA RAKYAT ...

1. Saya mengambil kesempatan sebagai Ahli Parlimen mengucapkan selamat datang kepada Parti Politik baru dalam negara Malaysia. Kelahiran Parti Pekerja Pekerja Malaysia (Amanah Negara) pada waktu Negara Malaysia sedang dilanda krisis politik dan ekonomi akibat daripada salahguna kuasa dan korupsi kepimpinan negara diharap dapat membantu usaha pemulihan yang sedang dilakukan oleh semua pihak termasuk parti-parti pembangkang PAS,PKR, DAP, NGO dan Individu rakyat Malaysia untuk melihat negara kembali berada di landasan yang sebenar.

2. Kemunculan Parti Amanah Negara melalui pengambil alihan Parti Pekerja Pekerja Malaysia yang diusahakan oleh rakan-rakan saya tidak seharusnya dilihat sebagai suatu ancaman pada mana- mana parti politik yang sedia ada, sebaliknya kemunculan Amanah hendaklah diterima baik sebagai persaingan yang sihat daripada sudut politik dalam proses pemurnian demokrasi di Malaysia yang akhirnya akan memberikan keuntungan pada negara dan rakyat.

3. Kepada parti pembangkang yang sedia ada, dengan Kehadiran Amanah sebagai keluarga baru dalam kelompok pembangkang yang menjadi kerajaan menanti, jadikan lah perbincangan dan meja rundingan sebagai ruang mencari kata sepakat dalam mengurus dan menerajui perubahan baru Politik Malaysia.

4. Politik Malaysia memerlukan perubahan,yang seharusnya permulaan perubahan adalah daripada kepimpinan yang menerajui parti-parti politik yang ada khusus parti pembangkang. Politik Malaysia memerlukan kepimpinan politik jujur yang penuh beramanah dan bertanggungjawab untuk mengeluarkan Malaysia daripada krisis yang berpunca akibat salah guna kuasa dan ketamakan pemimpin negara.

5. Sebagai kerajaan menanti pemimpin parti-parti politik pembangkang sebijaknya tampil dengan wajah baru untuk Malaysia dengan menjauhi dari terjebak dengan permainan politik perkauman dan keagamaan sempit, amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,sebalik membawa misi politik damai, berintegriti dan rahmat untuk semua.

6. Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak dan P ilihan Raya Umum yang ke 14, parti- parti pembangkang sudah seharusnya memulakan rundingan dan perbincangan untuk mencapai kata sepakat yang membawa kepada situasi menang - menang yang akan memberi kebaikan kepada rakyat dan Malaysia tercinta. 
 
Demikian, PAS dan Amanah juga tidak terkecuali daripada memikul tanggungjawab ini untuk duduk di meja rundingan dan perbincangan dengan lapang dada , fikiran terbuka dan merendahkan ego masing masing. Pertembungan sesama sendiri di dalam pilihan raya di kalangan parti pembangkang akan menyebabkan hancur berkecailah harapan rakyat yang mengharapkan sinar dan wajah Malaysia baru.

7. Kepada pemimpin parti pembangkang ingatan jujur saya pada anda semua jangan sampai rakyat juga muak dan meluat kepada anda semua hanya kerana keegoan dan kedegilan anda seperti mana rakyat muak dan meluat kepada kepimpinan negara kerana ketamakan dan salah guna kuasa. Jika ini yang berlaku rakyat akan hilang kepercayaan kepada kepimpinan politik

8. Kepada rakan-rakan saya yang mendukung Amanah saya ucapkan selamat maju jaya dan terus Istiqamah dengan Islam. Siiru A'la barokatillah.

Kepada yang terus kekal dalam PAS usah gusar dengan perkembangan, usah risau apa di hadapan, cabaran pasti mendatang. Tidak cukup kita hanya sekadar berslogan "Istiqamah Hingga Kemenangan" tetapi rakyat sekali lagi terlepas daripada kemenangan untuk perubahan yang diharapkan. Semua pihak perlu bersama rakyat untuk bersama menukar angan-angan menjadi realiti dan mengubah impian menjadi kenyataan.

"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA"
"INILAH SLOGAN KITA"


DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.