Followers

Tuesday, August 4, 2015

S'pura belum terima permohonan Johor


 

Singapura belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Johor bagi persetujuan membenarkan operasi pembenihan awan di ruang udara Empangan Sungai Lebam dan Upper Layang, di Johor Bahru.

Konsulat Jenderal Singapura di Johor Baharu, dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya setakat ini, tidak dihubungi mana-mana pihak berkaitan perkara tersebut.

"Tetapi kami sedia bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam hal ini. Singapura menyokong penuh usaha seumpama itu di Johor, terutama semasa musim kemarau," katanya.

Konsulat itu mengulas beberapa laporan yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad sebagai berkata pihaknya telah menulis surat kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA)
Malaysia bagi mendapatkan kebenaran membuat operasi itu daripada republik berkenaan.

Paras air di dua empangan tersebut yang membekalkan keperluan air di daerah Johor Bahru dan sebahagian Kota Tinggi itu, kini mencapai tahap kritikal.

Semalam, Hasni mengumumkan SAJ Holdings Sdn Bhd akan mengeluarkan jadual bekalan air secara berkala dalam tempoh terdekat kepada kira-kira 500,000 pemilik akaun di kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang, sebagai memastikan mereka mendapat bekalan air mencukupi.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.