Followers

Friday, August 7, 2015

Polis Pertahan Tindakan Siasat SPRM


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim mempertahankan tindakan polis melakukan siasatan dan serbuan ke atas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM baru-baru ini.

Tegasnya, ia berikutan tindakan itu dilakukan mengikut bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa sama katanya, siasatan itu hanya tertumpu kepada kes kebocoran maklumat siasatan SPRM mengenai SRC International, yang dahulunya antara entiti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Fokus kami adalah isu kebocoran maklumat mengikut seksyen yang terkandung dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) iaitu tidak boleh mengeluarkan sebarang maklumat. Jadi, fokus kami adalah kebocoran maklumat dan tiada kaitan dengan isu lain," katanya semasa sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

"Kamu kena faham di sini, ia (pegawai terlibat) telah mendedahkan maklumat. Maklumat dan siasatan adalah dua perkara berbeza. Kamu tidak sepatutnya membocorkan maklumat kepada awam iaitu melibatkan dokumen-dokumen sulit .Jadi, ikut undang-undang iaitu berdasarkan BAFIA," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, siasatan PDRM hanya tertumpu kepada isu pembocoran maklumat sulit dan tiada kaitan dengan isu lain.

"Kami tidak akan menyentuh dan mengganggu isu (siasatan) lain, kami menghormati bidang tugas SPRM dan kami fokuskan bidang kuasa kami," ujar beliau.

"Individu berkenaan telah mendedahkan maklumat di tempat yang tidak sepatutnya iaitu kepada orang awam," katanya.

Tambah beliau, sebarang maklumat sulit tidak sepatutnya didedahkan kepada pihak media.

"Dalam Whistleblower Act, pihak media bukan agensi yang sepatutnya menerima maklumat berkenaan buat masa ini," ujarnya.

Beliau pada masa sama enggan mengulas mengenai dakwaan Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin bahawa polis bertindak atas arahan individu tertentu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.